Isu dalam, luar negara bakal jadi pertimbangan pengundi Melayu/Islam
Isu dalam, luar negara bakal jadi pertimbangan pengundi Melayu/Islam
Kos sara hidup, isu Gaza antara keprihatinan menjelang GE2025
Isu dalam, luar negara bakal jadi pertimbangan pengundi Melayu/Islam
Seperti ramai warga Singapura, isu kos sara hidup merupakan antara kebimbangan besar masyarakat Melayu/Islam menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Bahkan, bagi golongan yang lebih terdedah seperti mereka yang berpendapatan rendah atau pekerja bebas, tidak menghairankan jika isu kos sara hidup merupakan kerisauan lebih besar.
Dalam rakaman podcast NoTapis BHerbual baru-baru ini, Aktivis Masyarakat, Encik Fazlur Rahman Kamsani; dan Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Imran Mohd Taib, telah membincangkan isu-isu yang menjadi pertimbangan masyarakat dalam GE2025.
Menyentuh isu kos sara hidup, Encik Fazlur berkata:
“Bukan orang lain, saya sendiri pun sama juga. Bila kita makan mi rebus, harga dah naik kan? Apa lagi barang-barang yang lain. Jadi memang semua penduduk terjejas juga... dan ini merupakan satu isu yang dekat dengan hati masyarakat.”
Encik Imran berkata kos sara hidup yang meningkat menjejas golongan penduduk secara berbeza, dengan mereka yang berpendapatan rendah lebih terjejas.
“Golongan bergaji rendah contohnya, mereka akan merasakan peningkatan itu secara keseluruhan. Contoh tadi mi rebus... tapi (harga) air, kopi juga meningkat, selain barangan dapur dan sebagainya.
“Jadi secara keseluruhan itu agak banyak bagi golongan berpendapatan rendah,” ujar Encik Imran.
Beliau akur isu itu menjadi persoalan pada setiap pilihan raya dan akan digunakan pelbagai pihak bagi kempen politik mereka.
Selain golongan bergaji rendah, golongan pekerja gig dan pekerja kolar biru turut terkesan dengan kos sara hidup yang meningkat.
“Gaji yang mereka dapat bawa pulang untuk membiayai taraf kehidupan di Singapura... kita pun tahu Singapura adalah negara yang kosnya adalah tinggi. Jadi ini menjadi satu keprihatinan dalam masyarakat – bagaimana mereka dapat... menampung kos kehidupan untuk membiayai keluarga mereka,” kata Encik Fazlur.
Bagi zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, pula, selain faktor domestik, faktor luaran boleh menjejas sentimen pengundi semasa GE2025.
Ini termasuk tarif yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
“Sebagai sebuah ekonomi terbuka dan berdagang, Singapura akan terjejas teruk oleh pergolakan dan gangguan dalam ekonomi global dan rantaian nilai.
“Dalam konteks ini, faktor luaran yang boleh mempengaruhi sentimen pengundi termasuk kesan tarif Trump, persaingan antara AS dengan China, konflik seperti Perang Ukraine-Russia, konflik Gaza di Timur Tengah, perang saudara di Sudan dan pemberontak Yaman-Houthi, yang menimbulkan korban kemanusiaan yang besar dan mengganggu perdagangan global.
“Pengundi perlu menilai bagaimana pemerintah semasa bertindak terhadap krisis antarabangsa,” kata Dr Faizal kepada Berita Harian (BH).
Beliau juga menyatakan bahawa pengundi, termasuk masyarakat Melayu/Islam, patut meneliti kedudukan parti politik berbeza terhadap konflik di Gaza.
“Melihat kedudukan parti politik berbeza dalam isu ini, nampaknya terdapat penumpuan mengenai keperluan mengekalkan perpaduan dan keharmonian sosial di Singapura, menyokong rangka kerja pelbagai hala dan kedaulatan undang-undang dan bantuan kemanusiaan.
“Pengundi, termasuk mereka dalam masyarakat Melayu/Islam, perlu menilai sama ada ini pendekatan yang betul dan sama ada apa yang dilakukan pemerintah hari ini cukup berbanding parti politik lain,” katanya.
Encik Fazlur dan Encik Imran juga akur isu Gaza mungkin dijadikan antara pertimbangan pengundi semasa GE2025.
Namun, meskipun isu tersebut merupakan isu yang sangat emosional, masyarakat mesti memahami keterbatasan Singapura sebagai negara kecil, kata mereka.
Encik Imran mengatakan masyarakat harus tahu membezakan prinsip moral dan penggubalan dasar luar negara.
“Saya rasa kalau dari segi prinsip moral, kita seharusnya teguh. Kita boleh mengatakan apa yang dilakukan di Gaza itu tidak berperikemanusiaan dan ia melanggar etika moral.
“Tetapi itu harus dibezakan dengan penggubalan dasar luar negara yang harus mengambil kira faktor-faktor lain.
“Kita harus sedar bahawa prinsip moral itu berbeza dengan keterbatasan untuk bertindak yang memerlukan perkiraan yang lebih luas dan mempunyai banyak faktor-faktor lain,” ujar beliau.
Semasa podcast NoTapis BHerbual itu, yang dihoskan Editor Berita BH, Encik Nazri Hadi Saparin, dan Koresponden BH, Cik Irma Kamarudin, Encik Imran dan Encik Fazlur turut membincangkan tentang golongan muda dan aspirasi mereka.
Golongan tersebut menginginkan wadah untuk menyuarakan pandangan mereka. Bahkan ruang-ruang untuk mereka berbuat sedemikian sudah pun tersedia.
Namun, persoalannya ialah sama ada ruang tersedia itu mencukupi?
Berkongsi pendapatnya, Encik Imran berkata:
“(Generasi muda) sudah terbiasa dengan ruang-ruang yang membolehkan mereka memberikan pendapat dengan terbuka. Apa yang menjadi persoalan adalah sama ada mereka rasa ruang-ruang ini ditutup atau dikecilkan untuk mereka.”
Di media sosial, mereka bebas menyuarakan pendapat masing-masing, tetapi kadangkala, di ruang awam di mana keadaannya lebih terkawal, mereka merasakan mungkin mereka tidak mempunyai kebebasan yang sama di media sosial, katanya.
Encik Imran menambah: “Kebebasan bersuara ini tidak sama dengan pendapat kita diterima.
“Kita harus berada di titik di mana kita boleh memberikan pandangan dan kalau pandangan kita tidak diterima, itu tidak mengapa. Kita juga harus mempunyai perasaan rendah diri untuk menerima pandangan orang lain juga.”
“
“Bukan orang lain, saya sendiri pun sama juga. Bila kita makan mi rebus, harga dah naik kan? Apa lagi barang-barang yang lain. Jadi memang semua penduduk terjejas juga... dan ini merupakan satu isu yang dekat dengan hati masyarakat.”“
“Sebagai sebuah ekonomi terbuka dan berdagang, Singapura akan terjejas teruk oleh pergolakan dan gangguan dalam ekonomi global dan rantaian nilai... Pengundi perlu menilai bagaimana pemerintah semasa bertindak terhadap krisis antarabangsa.”“
“Kebebasan bersuara ini tidak sama dengan pendapat kita diterima. Kita harus berada di titik di mana kita boleh memberikan pandangan dan kalau pandangan kita tidak diterima, itu tidak mengapa. Kita juga harus mempunyai perasaan rendah diri untuk menerima pandangan orang lain juga.”
