SPH Logo mobile
Langgan|

Rahayu: Tidak semua sempurna, tapi pemimpin harap dekati masyarakat secara lebih terbuka

Rahayu: Tidak semua sempurna, tapi pemimpin harap dekati masyarakat secara lebih terbuka

Dialog, perbincangan dengan masyarakat antara usaha yang akan diperkasa dan diperkuat
Apr 17, 2025 | 6:05 PM

Rahayu: Tidak semua sempurna, tapi pemimpin harap dekati masyarakat secara lebih terbuka

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam bertemu wartawan setelah pelancaran manifesto Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Infinite Studios, daerah one-north pada 17 April.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam bertemu wartawan setelah pelancaran manifesto Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Infinite Studios, daerah one-north pada 17 April. - Foto ST

Barisan kepimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) akur bahawa ia tidak sempurna tetapi akan berusaha lebih gigih untuk mendekati masyarakat menerusi dialog dan perbincangan, termasuk bersifat lebih terbuka dalam mendekati isu yang dekat dengan hati masyarakat, menurut Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Dengan kehadiran muka baru, pemerintah berharap dapat mengubah strategi jika diberi peluang untuk terus mewakili masyarakat dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan datang.

Demikian menurut Cik Rahayu ketika menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai bagaimana PAP merancang menangani keprihatinan masyarakat Melayu/Islam terutama sekali jika ia melibatkan topik sensitif.

Ini menyusuli beberapa isu yang membuat masyarakat Melayu/Islam rasa terkesan termasuk catatan media sosial mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, yang menjadi tumpuan sebahagian besar masyarakat.

Ketika ditemui setelah pelancaran manifesto PAP di Infinite Studios yang terletak di daerah one-north, Cik Rahayu berkata:

“Memang kita sedar ada beberapa isu yang menjadi keprihatinan masyarakat kita dan membuat masyarakat mungkin rasa sedikit kesal dan tidak senang, mungkin dengan pemerintah juga dan ini adalah usaha yang berterusan yang harus dilakukan.

“Kita masih meneruskan dialog, perbincangan dan ini tentu sekali satu usaha yang harus kita perkasakan dan perkuatkan.

“Diharapkan dengan adanya muka baru, adanya strategi baru dan juga cara untuk kita dekati masyarakat dengan lebih terbuka dan mendalam.

“Saya harap dengan rendah hati kita dapat diberi peluang untuk meneruskan usaha ini.

“Mungkin tidak semua yang dilakukan sempurna, tetapi ini adalah usaha yang kita akan terus cuba untuk memperbaiki.

Cik Rahayu selanjutnya menarik perhatian kepada isu yang menjejas kehidupan harian yang PAP telah berusaha menangani dan menyokong buat sekian lama.

Ini termasuk isu berhubung pembangunan masyarakat, membantu penduduk mengharungi masa yang sukar, golongan belia, serta hal kesihatan.

“Ia juga telah menunjukkan hasil kerana kalau kita lihat masyarakat kita, (ia) masyarakat yang amat kita banggakan.

“Berpendidikan, maju dan kini mempunyai kemampuan untuk menimbulkan isu-isu baru, yang menjadi keprihatinan masyarakat dunia,” katanya.

Ini, katanya tidak mungkin berlaku tanpa usaha yang dijalankan sepanjang PAP menjadi tunggak pemerintah.

Menyentuh pula tentang bidang kesihatan, Cik Rahayu berkata mereka akan terus cari cara bagaimana untuk membantu masyarakat Melayu/Islam memanfaatkan sumber nasional untuk membaiki gaya hidup terutamanya dalam sekitaran penduduk semakin menua di Singapura.

“Kita sememangnya telah mengusahakan daripada menggunakan wadah M Kuasa Tiga (M³) dengan adanya tumpuan khusus pada kesihatan.

“Cara kita lakukannya adalah untuk mengenal pasti apa teras dan isu dalam masyarakat kita, di mana ada kekurangan, kemudian kita bawa sama rangkaian kerjasama untuk lakukan usaha ini bersama.

“Kemudian kita fikirkan apakah mesej yang mungkin bersesuaian dengan masyarakat.

“Jadi sudah adanya strategi, dan tentu sekali jika ada peluang, kita akan terus memperkasa usaha ini dan laksanakan idea yang telah pun difikirkan dengan masyarakat,” jelasnya.

MANIFESTO PAP

PAP mendedahkan manifesto dengan slogan ‘Dunia Berkisar. Barisan Segar. Azam Berkobar’

PAP akan memberi tumpuan terhadap bidang utama berikut:

– Perjuang kembangkan ekonomi yang berdaya maju dengan menyediakan pekerjaan dan peluang baik buat semua penduduk Singapura.

– Terus perkukuh sistem pendidikan supaya setiap anak boleh capai potensi mereka sepenuhnya, selain pastikan golongan dewasa dapat terus pertingkatkan kemahiran mereka dan mendapat pekerjaan lebih baik.

– Pastikan rumah dimampui dan bermutu di samping memperkasa warga Singapura supaya kekal sihat dan meniti hari tua dengan bermakna.

– Bina bandar yang lebih hijau dan mampan; bawa sukan, seni dan budaya kepada tahap lebih tinggi; jadikan ia lebih mudah diakses dan boleh dinikmati semua.

– Bina masyarakat saling menghormati dan setiap insan dihargai tidak kira siapa mereka.

Perkara PAP cuba baiki

Memang kita sedar ada beberapa isu yang menjadi keprihatinan masyarakat kita dan membuat masyarakat mungkin rasa sedikit kesal dan tidak senang, mungkin dengan pemerintah juga dan ini adalah usaha yang berterusan yang harus dilakukan.  Kita masih meneruskan dialog, perbincangan dan ini tentu sekali satu usaha yang harus kita perkasakan dan perkuatkan.
 Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg