Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu masjid, usaha perluas ruang solat sedang diteliti

Dr Faishal: Salah satu tumpuan ialah mencari ruang solat sementara bagi masjid-masjid yang sedang atau akan menjalani program peningkatan
Aug 30, 2025 | 12:00 AM
Wawancara khas sempena 100 hari dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Faishal Ibrahim, isu masjid
Usaha juga akan dijalankan untuk mencari ruang sementara bagi menyediakan tempat solat untuk masjid-masjid yang akan atau sedang menjalani kerja-kerja peningkatan seperti Masjid Darussalam di Clementi (dalam gambar), Masjid Alkaff Kampung Melayu di Bedok dan Masjid Ar-Raudhah di Bukit Batok, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim. - Foto fail

Pemerintah sedang meneliti isu-isu berkaitan masjid seperti usaha untuk memperluaskan ruang solat, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, sedang beliau memberikan komitmen menyokong kehidupan beragama masyarakat.

Menurut beliau, salah satu tumpuan ialah mencari ruang solat sementara bagi masjid-masjid yang sedang atau akan menjalani program peningkatan.

Berkongsi bersama media dalam satu wawancara yang diadakan di Wisma Geylang Serai pada 27 Ogos, Dr Faishal berkata beliau telah mendekati pelbagai masjid sepanjang 100 hari sejak menggalas peranan selaku pemangku menteri untuk mendapatkan maklum balas daripada jemaah dan anggota lembaga masjid serta mengetahui lebih lanjut tentang isu-isu yang dihadapi.

“Satu perkara yang saya rasa senang adalah masyarakat kita dapat pergi ke masjid-masjid di seluruh Singapura dengan fikiran tenang. Mereka rasa sangat bertuah mempunyai pelbagai pilihan masjid… Ini antara nikmat yang kita ada di Singapura, dan jemaah berkongsi dengan saya rasa syukur mereka tinggal di Singapura,” kata beliau.

“Terdapat juga mereka yang mengutarakan isu seperti bagaimana kita boleh menyediakan ruang solat tambahan. Saya sedang meneliti perkara ini dengan serius,” tambah Dr Faishal.

Contohnya, dua masjid baru bakal dibangunkan di kawasan Tampines North dan Tengah dalam usaha meningkatkan kapasiti ruang solat dan memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat di sana.

Berita Harian (BH) pada Julai telah melaporkan bahawa masjid baru di Tampines North dijangka siap menjelang 2029, dengan Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) Masjid Darul Ghufran akan menjadi jawatankuasa yang menerajui pembangunan masjid baru itu.

Sementara itu, sebuah tapak di Forest Drive di estet perumahan Tengah telah dikenal pasti sebagai lokasi masjid baru di situ, dengan lakaran reka bentuk masjid itu dijangka bermula pada 2027.

Usaha juga akan dijalankan untuk mencari ruang sementara bagi menyediakan tempat solat untuk masjid-masjid yang akan atau sedang menjalani kerja-kerja peningkatan seperti Masjid Alkaff Kampung Melayu di Bedok, Masjid Ar-Raudhah di Bukit Batok dan Masjid Darussalam di Clementi.

“Kami sedang melihat pada tempat solat sementara supaya kami dapat menyediakan ruang bagi jemaah menyesuaikan diri sementara kerja-kerja peningkatan dijalankan,” kata Dr Faishal.

Kerja peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu telah bermula sejak April dan dijangka selesai menjelang 2027, manakala bagi Masjid Ar-Raudhah akan bermula pada suku kedua 2026 dan selesai menjelang 2028.

Masjid Darussalam pula akan menjalani kerja penambahbaikan dalam dua fasa selama dua tahun bermula September 2025, dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Dr Faishal turut melahirkan rasa gembira sejumlah masjid di sini turut menawarkan sesi kedua solat Jumaat.

“Sedang kita terus membina dan mempertingkat masjid, ada beberapa penyesuaian yang perlu kita lakukan supaya dari segi kapasiti dan sumber yang kita ada, kita bukan hanya dapat menyediakan ruang solat, tetapi juga memenuhi keperluan masyarakat,” kata beliau.

Dr Faishal turut berkongsi tentang isu kuota haji semasa wawancara itu, sambil menambah bahawa Singapura akan terus memohon Arab Saudi bagi kuota lebih tinggi. Buat masa ini, kuota diberikan adalah 900 – kekal sama sejak 2018.

Berhubung Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) pula, Dr Faishal berkata beliau gembira panel penasihat kolej tersebut – yang bertemu buat julung-julung kalinya pada Jun – melihat institusi itu sebagai peluang untuk menyumbang kepada pembangunan pengajaran Islam dan pendidikan Islam yang tradisional dan kontemporari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg