Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jalan ditutup pada tiga Sabtu sempena raptai NDP, pertunjukan NE

Jun 12, 2025 | 4:21 PM
NDP, jalan ditutup, pertunjukan NE
Hanya kenderaan yang dibenarkan, serta kenderaan polis dan kecemasan, akan dibenarkan masuk ke jalan ini semasa penutupan.  - Foto ZAOBAO

Beberapa jalan dan lorong akan ditutup kepada kendaraan pada tiga Sabtu dalam Jun untuk memberi laluan kepada raptai Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang akan diadakan di Padang.

Tarikh yang terjejas oleh penutupan jalan ialah 14 Jun, 21 Jun dan 28 Jun, apabila raptai dan Pertunjukan Pendidikan Nasional (NE) pertama akan dijalankan.

Hanya kenderaan yang mendapat kebenaran, serta kenderaan polis dan kecemasan, akan dibenarkan masuk semasa penutupan, menurut polis pada 12 Jun.

Pegawai polis, pegawai polis tambahan, pegawai keselamatan dan marshal Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan ditempatkan di persimpangan yang terjejas untuk membantu dan mengarahkan pemandu, lapor The Straits Times (ST).

Kelewatan trafik dijangka berlaku di Beach Road, Bras Basah Road, Collyer Quay, Guillemard Road, Hill Street, Mountbatten Road, North Bridge Road, Raffles Avenue, Raffles Boulevard, Republic Boulevard, Temasek Avenue, Temasek Boulevard dan Victoria Street.

Polis menasihatkan pemandu untuk merancang laluan awal dan mengelakkan jalan tersebut. Orang awam yang hendak ke kawasan terjejas digalakkan menggunakan pengangkutan awam.

Pemandu yang menuju ke Suntec City dan Marina Square dari Bras Basah Road, Esplanade Drive atau Nicoll Highway perlu menggunakan laluan alternatif melalui Bayfront Avenue atau Rochor Road menuju ke Temasek Boulevard.

Polis berkata sekatan tempat letak kereta sepanjang jalan yang terjejas akan dikuat kuasa dengan ketat, dan kenderaan yang didapati meletak secara haram atau menyebabkan halangan akan ditunda.

Orang awam boleh menghubungi pihak penganjur di talian 1800-637-2025 untuk sebarang pertanyaan.

Selain itu, lima perkhidmatan bas yang melalui kawasan pusat bandar akan dilencongkan pada Sabtu yang sama bagi raptai NDP.

Perkhidmatan bas 61, 502, 960, 960e dan 961 akan melangkau beberapa hentian di Bayfront Avenue, Beach Road, Bras Basah Road, Central Boulevard, North Bridge Road, Parliament Place, Raffles Avenue, Raffles Boulevard, Temasek Avenue dan Temasek Boulevard.

Hentian bas yang terjejas termasuk di stesen MRT Bayfront, City Hall, Downtown, Esplanade, Marina Bay dan Promenade, The Float @ Marina Bay dan Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg