Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 di Padang akan diketuai oleh komander perbarisan, Leftenan Kolonel (LTC) Firdaus Ghazali dan sarjan-mejar rejimen perbarisan, Pegawai Waran Master Lim Jie Hui.
Semasa bertemu media pada 12 Jun, LTC Firdaus berkata menjadi komander perbarisan NDP adalah impiannya sejak kecil.
Beliau pernah menyertai NDP dalam satu segmen dalam acara penutup pada 2002.
Pengalaman itu menanam impian memainkan peranan lebih utama dalam perbarisan NDP.
“Saya amat-amat menghargai maksud perbarisan dan peri pentingnya sebagai teras dan jiwa NDP yang kita adakan,” ujar beliau.
LTC Firdaus akan memimpin 2,100 peserta perbarisan yang mewakili 40 kontinjen di NDP 2025 - jumlah kontinjen terbesar di Padang sejak 1990, apabila 70 kontinjen mengambil bahagian.
Buat julung-julung kali dalam sejarah NDP, perbarisan dan upacara tahun ini akan menampilkan kontinjen kawalan kehormatan daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
NDP 2025, yang diadakan sempena Singapura menyambut ulang tahun ke-60 juga akan menampilkan kontinjen penuh daripada Kor Relawan Angkatan Bersenjata Singapura (SAFVC). SAFVC menyambut ulang tahun ke-10 tahun ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg