Bukan sahaja penting bagi seorang bapa mengekalkan ikatan akrab dengan anak-anak mereka, malah dari hubungan seharian, si bapa turut belajar bagaimana menyelesaikan konflik demi kebaikan bersama, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Beliau menambah peranan bapa dalam keluarga tidak lagi terhad sebagai pencari nafkah semata-mata, malah meliputi aspek mendidik akhlak, menjadi penaung semangat dan pembimbing kepada anak-anak.
Beliau berkata demikian selepas acara pelancaran Bulan Kebapaan Melayu/ Islam pada 7 September yang berlangsung di Kelab Masyarakat Keat Hong.
Encik Zhulkarnain, yang juga Pengerusi Nakhoda, menekankan bahawa inisiatif Bulan Kebapaan Melayu/Islam perlu dilihat sebagai lebih daripada sekadar acara tahunan.
Ditubuhkan sejak Februari 2022, Pasukan Bertindak Nakhoda bagi Kebapaan dibangunkan bagi membangun strategi-strategi bagi menggalak kaum bapa agar memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan anak mereka.
“Dalam masyarakat kita, kita lihat bagaimana bapa bukan sahaja perlu rapat dengan anak-anak, tetapi juga berperanan mengurus pertikaian atau salah faham dengan bijaksana.
“Dari situ, kanak-kanak belajar tentang disiplin, kesabaran dan bagaimana sesuatu masalah boleh diselesaikan dengan baik,” jelas beliau.
Inisiatif Bulan Kebapaan Melayu/Islam lebih daripada sekadar acara tahunan, malah titik permulaan kepada usaha berterusan dalam memperkukuh unit keluarga agar nilai kekeluargaan dapat diwarisi generasi seterusnya.
Kini mencecah ke edisi kesembilan, acara tahunan itu merupakan hasil usaha Pusat Kebapaan (CFF) dan gerakan Bapa Sepanjang Hayat (BSH).
Tema tahun ini – Membina Legasi, Memupuk Masa Depan – menekankan pengaruh berpanjangan seorang bapa serta kepentingan mewariskan nilai, kebijaksanaan dan kasih sayang kepada generasi seterusnya.
Terdapat pelbagai aktiviti seperti futsal, boling dan pertandingan memancing yang bakal diadakan dalam acara sebulan dari 7 hingga 28 September di serata Singapura.
Ini termasuk kegiatan rekreasi seperti permainan futsal pada 13 September di Kallang; bowling di Orchid Country Club pada 14 September; dan Pertandingan Memancing pada 21 September di D’Best Premium Pond.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Pusat Kebapaan (CFF), Dr Xander Ong, berkata peranan bapa kini menjadi tanggungjawab berat bagi ramai dalam kalangan masyarakat Melayu/ Islam, tidak kira yang muda atau lanjut usia.
“Tanggungjawab seorang bapa adalah bagi menanam sifat sayang, kebijaksanaan dan ketabahan yang bakal membentuk generasi masa depan.
“Melalui aktiviti sempena Bulan Kebapaan, diharapkan bapa di luar sana dapat memimpin dengan tujuan, dan bina legasi yang mengukuhkan keluarga dan masyarakat yang ada,” tambahnya
Dalam acara pembukaan di Kelab Masyarakat Keat Hong pada 7 September, segmen pertandingan Jamming with Dad telah dianjurkan bagi memberi peluang kepada bapa dan anak-anak mereka mempererat hubungan melalui persembahan muzik.
Sebanyak lima kumpulan gandingan bapa dan anak tampil mempamerkan bakat muzik masing-masing.
Antara persembahan yang mencuri perhatian juri ialah daripada Encik Fuad Abdul Rahman, 58 tahun, bersama dua orang anaknya, Cik Noor El Iman, 30 tahun, dan Encik Mohamed Faheem, 26 tahun, yang muncul sebagai pemenang utama pertandingan itu.
Mengimbas kembali pengalamannya, Encik Fuad berkata acara seumpama ini membuka mata beliau tentang erti sebenar kebapaan.
“Saya sangka perjalanan seorang bapa berakhir apabila anak-anak meningkat dewasa. Rupanya tidak, kerana ikatan kasih itu kekal dan merentas masa.
“Sewaktu membuat persiapan untuk acara ini, kami sekeluarga berdepan cabaran, daripada memilih lagu hinggalah mencari masa untuk berlatih bersama kerana kekangan kerja.
“Namun, di penghujung perjalanan ini, saya sedar pengalaman itu sebenarnya mendekatkan kami dan mengingatkan saya kembali kepada zaman kecil anak-anak.
“Pengajaran terbesar yang saya perolehi ialah agar lebih bertekad untuk terus rapat dengan keluarga dan tidak mengambil mudah hubungan ini hanya kerana anak-anak kini sudah dewasa,” kata anggota pengurusan asrama pekerja asing itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg