Suasana meriah bakal bergema di Kelab Masyarakat (CC) Keat Hong pada 7 September apabila pertandingan muzik tahunan ‘Jamming with Dad’ kembali untuk tahun kelapan.
Acara itu, yang akan diadakan antara 2 petang hingga 5.30 petang, bakal menyaksikan bapa-bapa bergandingan dengan anak masing-masing untuk beraksi atas pentas – daripada vokal hingga ke petikan gitar dan ketukan dram – demi merebut hadiah tiga tempat teratas.
Edisi kelapan ‘Jamming with Dad’ dianjurkan Pusat Kebapaan (CFF), Bapa Sepanjang Hayat (BSH), dan Malay Youth Performing Art (MyPart), dengan sokongan M³@Chua Chu Kang.
Sebanyak lima pasangan bapa dan anak akan mempamerkan bakat muzik mereka, sambil diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada biduanita Mahani Mohd, pembuat filem Adi Yadoni, dan pemain dram kumpulan Lovehunters, Saharudin Jalil.
Selebriti Suhaimi Yusof akan mengacara acara itu.
‘Jamming with Dad’ dianjurkan bersempena pelancaran Bulan Kebapaan Melayu/Muslim, yang menekankan pentingnya peranan bapa sebagai insan penyayang, prihatin dan aktif dalam kehidupan anak-anak.
Selepas pertandingan muzik itu, Anugerah Bapa Teladan juga akan diberikan kepada bapa yang menonjolkan sifat kasih sayang serta dedikasi terhadap keluarga dan masyarakat.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang juga penasihat akar umbi Keat Hong, akan hadir selaku tetamu terhormat.
Kemasukan adalah percuma, namun tempat duduk adalah terhad, jadi jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kehebatan bapa dan anak beraksi di pentas sambil meraikan semangat kebapaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg