Fatwa fidyah terbaru berlandas prinsip Islam; beri kemudahan, atasi kesukaran
Fatwa fidyah terbaru berlandas prinsip Islam; beri kemudahan, atasi kesukaran
Muis: Perubahan didorong maklum balas kos fidyah terlalu tinggi bagi sesetengah pihak, ambil kira kos sara hidup masa kini
Jawatankuasa Fatwa pada 16 Februari menekankan penilaian kadar fidyah dan kafarah harus mengambil kira kos sara hidup, terutamanya dari aspek pemakanan dan keperluan asas golongan fakir miskin masa kini.
Penetapan ini juga bersandarkan teks klasik Islam, pandangan para ulama tentang asas pengiraan fidyah, merentasi tafsir tradisional, mazhab utama dan pandangan ulama kontemporari.
Ini bagi menjelaskan fatwa baru – kadar fidyah disemak daripada $1.40 kepada $4, dan diselaraskan dengan kafarah yang sebelum ini $10.
Selain itu, bayaran fidyah secara berganda tidak lagi diwajibkan.
Mengulas pembaharuan itu selepas taklimat di Muis pada 16 Februari, Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustazah Dr Rohana Ithnin, berkata penukaran ini berlandaskan prinsip penting hukum Islam, ‘al-taysir dan raf al-haraj’, aspek kemudahan dan penghapusan kesukaran.
“Kita akur bahawa bayaran fidyah itu suatu perkara yang menjadi kewajipan agama.
“Jadi, dari sini kita dapati bahawa Jawatankuasa Fatwa telah menetapkan bahawa bayaran secara berganda tidak lagi menjadi keperluan kerana memberi kemudahan kepada masyarakat awam,” ujar beliau.
Muis berkata perubahan tersebut didorong maklum balas bahawa kos fidyah terlalu tinggi untuk sesetengah pihak.
Semakan bermakna pengiraan fidyah kini beralih daripada berdasarkan berat – satu mudd beras atau 600 gram – kepada satu hidangan makanan sederhana di Singapura.
Menjelaskan lebih lanjut, Anggota Jawatankuasa Fatwa Muis, Ustaz Fathurrahman Dawoed, menukil surah Al-Baqarah dan Al-Ma’ida sebagai sandaran fatwa dan penyelarasan kadar kafarah.
Mengenai kadar fidyah dan kafarah yang kini $4, Ustaz Fathurrahman menjelaskan walaupun ayat-ayat tersebut mewajibkan pemberian makanan kepada golongan miskin, namun tiada penetapan khusus mengenai jenis makanan.
“Ulama berbeza pandangan dalam menetapkan kadar tersebut.
“Antaranya, khususnya ulama kontemporari, berpendapat bahawa kadarnya boleh disesuaikan berdasarkan jenis makanan yang biasa kita makan di sini,” ujar beliau.
Justeru, Jawatankuasa Fatwa turut merujuk kajian Institut Pengajian Dasar (IPS), seperti ‘Kos Makan Di Luar – Indeks Makan 2.0’, untuk menetapkan kadar purata hidangan makanan di sini, iaitu $4.
Menerusi kenyataan Jawatankuasa Fatwa pada 16 Februari, ia menambah disebabkan kos sara hidup – terutamanya bagi keperluan asas seperti makanan – meningkat akibat inflasi ataupun faktor-faktor lain, jawatankuasa itu berpendapat bahawa kadar fidyah perlu disemak semula sekiranya terdapat perubahan yang ketara.
Ini agar keperluan golongan miskin dapat terus dipenuhi.
Selain itu, menurut Jawatankuasa Fatwa, terdapat beberapa tokoh agama yang membahaskan mengenai kadar fidyah.
Antara tokoh mazhab Shafi’i kontemporari, seperti Sheikh Muutafa al-Bugha, berpendapat bahawa yang diwajibkan dalam pemberian makanan ialah perbelanjaan makanan sederhana dalam sehari bagi individu yang mengeluarkan kafarah.
Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa seseorang itu perlu memberi makan dua hidangan yang mengenyangkan, tambahnya.
“Pandangan yang menekankan aspek kecukupan makanan sehari ini turut dipersetujui oleh Majlis Fatwa dan Kajian Eropah dalam penetapan kadar fidyah,” tambah kenyataan itu.
Jawatankuasa Fatwa berkata prinsip ‘urf (kebiasaan) memainkan peranan utama dalam menetapkan kadar fidyah dan kafarah kerana ia juga merupakan salah satu sumber hukum syariat yang diterima.
“Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa kadar yang sesuai bagi masyarakat Singapura adalah satu hidangan makanan daripada jenis makanan yang sederhana, yang biasa dimakan di Singapura.
“Tidak terlalu rendah mutunya, begitu juga ia tidak terlalu mahal,” kata jawatankuasa itu.

