Jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengukuhkan perlindungan dalam persekitaran keagamaan bakal mengkaji pelbagai risiko yang muncul dalam talian.

Tumpuan akan diberi kepada usaha memperkasa masyarakat agar dapat menilai maklumat keagamaan secara selamat.

Demikian dikongsi Pengerusi Bersama Jawatankuasa Memperkukuh Langkah Perlindungan dalam Persekitaran Keagamaan, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim.

Dalam wawancara dengan pihak media di pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 30 September, beliau menekankan bahawa keterbukaan ruang digital menuntut pendekatan yang melangkaui sekadar memantau penyedia kandungan.

Sebaliknya, ia bertujuan memperkasa penerima maklumat – seperti ibu bapa dan pendidik – supaya lebih berdaya tahan bijak menangani bahaya dalam talian, kata beliau yang juga Ketua Program Keselamatan Global dan Strategi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Perkembangan itu dikongsi susulan pengumuman sembilan anggota jawatankuasa tersebut, serta terma rujukan mereka.

Antaranya termasuk menyemak risiko yang muncul, termasuk pengaruh keagamaan dalam talian, komunikasi digital serta interaksi yang melibatkan kanak-kanak dan golongan belia.

Menurut Dr Razwana, jawatankuasa itu tidak bermula daripada sifar, sebaliknya akan membina di atas usaha sedia ada dan amalan terbaik bagi mengukuhkan kerangka perlindungan serta usulan penambahbaikan.

“Keselamatan kanak-kanak adalah keutamaan paling penting bagi semua orang dan kita mahu memastikan bahawa kanak-kanak berada dalam keadaan selamat dalam semua konteks, terutamanya dalam persekitaran pendidikan.

“Maka, susulan kejadian yang telah berlaku, kami berhasrat untuk meneliti bagaimana kami dapat memperkukuh lagi langkah perlindungan ini,” katanya.

Perkongsian Dr Razwana itu memberikan maklumat terkini berhubung pelaksanaan dan peranan jawatankuasa berkenaan.

Pada 8 September di Parlimen, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu yang akan mengkaji serta memperkukuh langkah perlindungan di semua institusi agama.

Penubuhan jawatankuasa tersebut dibuat susulan kes dua kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘pempengaruh agama’ dan mengadakan kelas agama di sebuah masjid tanpa kebenaran.

Mengenai langkah menangani risiko dalam talian, Dr Razwana menekankan bahawa perkara itu akan diberi perhatian khusus memandangkan potensi kesannya terhadap keselamatan kanak-kanak.

“Setakat ini, sudah ada langkah sedia ada seperti apa yang telah dilaksanakan oleh pemerintah, daripada Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Kementerian Pendidikan (MOE), dan kami akan menelitinya.

“Apa yang perlu kita lakukan dengan lebih (banyak) lagi adalah mendidik ibu bapa kerana mereka serta pendidik dan anggota masyarakat ialah pihak kepentingan terbesar,” katanya, sambil menyifatkan golongan itu sebagai tunjang utama yang membina daya ketahanan kanak-kanak.

Apabila ditanya sama ada risiko yang muncul itu turut merangkumi penceramah agama dalam talian yang tidak diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), Dr Razwana berkata:

“Kami baru sahaja ingin memulakan tugas kami. Jadi, apa yang akan kami lakukan adalah dengan meneliti tindakan sedia ada yang telah pun dilaksanakan.

“Kita sudah mempunyai kaedah kukuh dalam mendidik dan memastikan kelayakan asatizah kita. Maka, kami akan menjadikannya sebagai rujukan, dan meneliti apa lagi yang boleh diperbaiki.”

Beliau akur adalah sukar untuk memantau kelayakan semua penyedia maklumat dalam talian kerana masing-masing mempunyai ruang dan keupayaan untuk menyampaikan pandangan.

“Apa yang boleh kita lakukan adalah memperkasakan masyarakat, iaitu mereka yang menerima maklumat tersebut, dan bukannya hanya menumpukan kepada pihak yang menyediakan maklumat dalam talian sahaja,” kongsi beliau.

Berkongsi lanjut, Dr Razwana berkata anggota jawatankuasa itu baru sahaja ditubuhkan dan akan melaksanakan mesyuarat pertama pada ‘beberapa hari akan datang,’ tambahnya.

Anggota Jawatankuasa Memperkukuh Langkah Perlindungan dalam Persekitaran Keagamaan terdiri daripada:

– Ketua Program Keselamatan Global dan Strategi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) yang juga Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim (Pengerusi Bersama)

– Pengarah Eksekutif, Andalus Corporation Pte Ltd yang juga Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed (Pengerusi Bersama)

– Pensyarah bebas dan Anggota Jawatankuasa Fatwa MUIS, Ustazah Dr Rohana Ithnin

– Perunding Utama dan Pengurus Program di DigitalWell.ai, dan ahli Rangkaian Belia Asatizah (AYN), Ustaz Ridhwan Mohd Basor

– Pengetua Audit dan Cukai, Rohan Mah & Partners LLP, dan Anggota Lembaga Pengelola Politeknik Republic, Cik Suree Rohan

– Komander, Perintah Keselamatan Pengangkutan Awam, Pasukan Polis Singapura, Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Masagoes Idris Hussain

– Timbalan Pengarah Kanan (Operasi), Kumpulan Perkhidmatan Perlindungan dan Pemulihan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Cik Ravina Said Abdul Rahman

– Pakar Psikologi Klinikal Utama (Perkhidmatan Psikologi), Pusat Psikologi Masyarakat, Dr Quah Saw Han

– Pengarah Zon (Sekolah), bahagian Timur, Kementerian Pendidikan, Encik Krishnan Aravinthan.