Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 50% haiwan korban sudah ditempah di bawah SalamSG

Cermin komitmen mendalam masyarakat terhadap ibadah, usaha kemanusiaan
May 8, 2025 | 8:33 PM
Masyarakat Islam boleh membuat tempahan korban secara dalam talian di laman web, SalamSG Korban. Setakat ini, lebih 50 peratus daripada haiwan korban ditawarkan telah ditempah melalui program kendalian Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Masyarakat Islam boleh membuat tempahan korban secara dalam talian di laman web, SalamSG Korban. Setakat ini, lebih 50 peratus daripada haiwan korban ditawarkan telah ditempah melalui program kendalian Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). - Foto SALAMSG

Lebih 50 peratus daripada ternakan korban yang ditawarkan telah ditempah melalui program, SalamSG Korban, yang dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) setakat ini.

Sambutan awal yang menggalakkan itu mencerminkan komitmen mendalam masyarakat terhadap ibadah serta usaha kemanusiaan, kata pengerusi bersama SalamSG Korban 2025, Encik Mohamed Imran Omar, dalam satu kenyataan pada 8 Mei.

Menurut kenyataan itu, ibadah korban bagi 2025 ini lebih signifikan kerana sebahagian daripada daging kambing biri-biri korban akan ditinkan dan disalurkan kepada masyarakat Palestin di Gaza.

Menjelaskan lanjut mengenai sambutan sejauh ini, Encik Mohamed Imran, berkata:

“Respons yang menggalakkan kepada SalamSG Korban mencerminkan komitmen mendalam masyarakat Islam setempat kepada tuntutan agama itu serta khidmat kemanusiaan.”

Tambah beliau lagi, dengan menyertai inisiatif ini, sohibul korban bukan sahaja menunaikan ibadah peribadi mereka, malah memperkasa masjid tempatan serta program kemasyarakatan mereka.

“Yang lebih penting, kemurahan hati mereka merentasi sempadan, memberi sokongan penting kepada penerima manfaat tempatan dan komuniti yang terjejas oleh konflik di Gaza dalam waktu yang mencabar ini.

“Ini menunjukkan bagaimana kehidupan beragama masyarakat kita boleh memberi kesan bermakna dan membawa perubahan positif kepada komuniti, baik yang dekat mahupun yang jauh,” ujar Encik Mohamed Imran.

Memandangkan tarikh akhir untuk tempahan korban adalah pada 31 Mei, masyarakat Islam yang belum menempah dengan masjid-masjid setempat, digalak supaya segera berbuat demikian.

Mereka boleh membuat tempahan secara dalam talian di laman web, Salam SG Korban (www.ourmasjid.sg/korban).

Tiga jenis ternakan – lembu, biri-biri dan anak biri-biri – ditawarkan untuk ibadah korban.

Seekor kambing biri-biri berharga $360; anak biri-biri berharga $365; dan satu pertujuh daripada seekor lembu berharga $365.

Untuk memudahkan urusan, bakal sohibul korban yang membuat tempahan dalam talian boleh membayar melalui PayNow, kad debit atau kredit.

Orang ramai juga boleh mendaftar di 53 masjid yang mengambil bahagian dan membuat pembayaran di kaunter.

Antara masjid yang masih mempunyai bekalan ternakan korban ialah Masjid Yusof Ishak di Woodlands, Masjid Abdul Aleem Siddique di Telok Kurau, dan Masjid Al-Khair di Teck Whye.

Pihak SalamSG memaklumkan bahawa bekalan ternakan adalah terhad dan yang dahulu, didahulukan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, SalamSG Korban telah melantik Pengendali Korban Bertauliah (AKO) untuk melaksanakan ibadah korban di Australia semasa Hari Raya Haji atau pada hari tasyrik.

Daging tersebut akan diterbangkan ke Singapura untuk dihantar kepada sohibul korban atau diagihkan kepada penerima manfaat tempatan.

Selain itu, sebahagian daripada daging biri-biri yang disumbangkan akan ditinkan untuk diagihkan kepada masyarakat di Gaza.

Bagi memastikan pematuhan dan ketelusan sepenuhnya, pegawai akan dihantar ke Australia pada Hari Raya Haji untuk menyaksikan pelaksanaan ibadah korban di rumah penyembelihan yang terpilih.

Pasukan itu akan mengesahkan bahawa semua keperluan peraturan dipatuhi, termasuk memastikan pelesenan sah dan pensijilan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Singapura dan Australia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg