Jenama warisan fesyen batik tempatan Baju by Oniatta akan menutup kedainya di Kampong Gelam pada Disember 2026, sekali gus menamatkan kehadirannya selama enam tahun di kawasan warisan itu.

Jenama berusia 10 tahun yang dikenali dalam kalangan peminat batik di Singapura itu mengalami kemerosotan jualan yang ‘ketara’, menurut pengasasnya, Cik Oniatta Effendi, ketika dihubungi oleh Berita Harian (BH) pada 12 November.

Menurut beliau, kemerosotan jumlah pengunjung ke kedai itu mula dirasakan sekitar 2024 dan keadaan menjadi semakin buruk pada tahun ini (2026).

“Terdapat tempoh apabila kedai kami jelas lebih lengang, dengan semakin kurang pengunjung yang datang ke kawasan tersebut mahupun singgah ke kedai kami.

“Apabila jualan semakin merosot, kos mengekalkan ruang niaga fizikal juga semakin sukar untuk dipertahankan dari segi kewangan.

“Saya dan tuan tanah ada mengadakan perbincangan, dan beliau terbuka untuk mengurangkan kadar sewa. Saya amat menghargai kesediaan beliau itu... Namun, apabila kemerosotan perniagaan begitu ketara, pengurangan kadar sewa yang sedikit tidak semestinya dapat menampung jurang tersebut,” ujar Cik Oniatta.

Menurut beliau, beberapa faktor lain diambil kira dalam keputusannya untuk menutup kedainya di North Bridge Road itu.

Ini termasuk perubahan sikap pelanggan, persaingan yang semakin sengit daripada jenama batik yang menawarkan harga lebih rendah serta peningkatan dari segi kos penghasilan.

Mengulas lebih lanjut mengenai persaingan yang dihadapi, beliau berkata jenama batik dari Indonesia juga semakin mengukuhkan kehadiran mereka di Singapura, termasuk di ruang niaga yang secara tradisinya bertujuan menyokong pereka tempatan.

“Saya tidak mengatakan perkara ini sebagai satu kritikan. Ini merupakan pasaran bebas dan setiap pihak berhak untuk turut serta. Namun, kehadiran mereka tetap mengubah landskap persaingan yang perlu dihadapi oleh perniagaan bebas seperti kami.

“Selain itu, struktur kos bagi produk yang kami tawarkan juga berbeza. Kami menggunakan batik asli, dan kos bahan serta penghasilannya semakin meningkat… Kami tidak boleh sewenang-wenangnya meningkatkan skala pengeluaran atau mengurangkan kos tanpa menjejas prinsip dan mutu yang kami pegang.

“Oleh itu, kami berdepan dengan peningkatan kos pada satu pihak, sedang pelanggan pula semakin mementingkan harga pada pihak yang lain,” jelas Cik Oniatta.

Baju by Oniatta mengkhusus dalam penghasilan pakaian wanita batik eksklusif yang setiap satunya mempunyai rekaan tersendiri, dilukis tangan dan diterapkan menggunakan blok oleh penggiat seni di Malaysia dan Indonesia.
Baju by Oniatta mengkhusus dalam penghasilan pakaian wanita batik eksklusif yang setiap satunya mempunyai rekaan tersendiri, dilukis tangan dan diterapkan menggunakan blok oleh penggiat seni di Malaysia dan Indonesia. - Foto BAJU BY ONIATTA

Secara amnya, Baju by Oniatta menjual pakaian wanita batik eksklusif yang dihasilkan dalam satu rekaan sahaja, dengan teknik lukisan tangan dan terapan blok oleh penggiat seni di Malaysia dan Indonesia.

Antara produk terlaris jenama itu ialah seluar Utama, yang dijual pada harga bermula $300 dan direka agar kelihatan seperti kain sarung.

Versi seluar itu yang menggabungkan pelbagai corak pernah dipamerkan di #SGFashionNow pada 2024, merupakan satu pameran yang mengetengahkan karya fesyen kontemporari tempatan dan dikurasi oleh Muzium Tamadun Asia.

Pameran itu merupakan pameran fesyen Singapura kontemporari pertama dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang dibawa ke luar negara.

Ia mula dipamerkan di Busan, Korea Selatan, pada 2023 atas undangan pemerintah Korea Selatan.

Baju by Oniatta, yang menjalankan sebahagian besar perniagaannya menerusi kedai fizikal, turut mengadakan jualan pop-up di bandar-bandar fesyen utama seperti London dan Paris.

Batik, yang sering dianggap sebagai bentuk seni paling berkembang di Indonesia, merupakan teknik pencelupan kain menggunakan lilin sebagai bahan penghalang warna, yang telah wujud sejak sebelum kemunculan rekod bertulis.

Selain menghimpunkan koleksi baju batik, Cik Oniatta Effendi turut menganjurkan sesi perkongsian mengenai tekstil batik serta pelbagai acara di tingkat dua unit rumah kedai jenama itu di North Bridge Road.
Selain menghimpunkan koleksi baju batik, Cik Oniatta Effendi turut menganjurkan sesi perkongsian mengenai tekstil batik serta pelbagai acara di tingkat dua unit rumah kedai jenama itu di North Bridge Road. - Foto BAJU BY ONIATTA

Usahawan berusia 52 tahun itu turut menganjurkan sesi perkongsian mengenai tekstil batik serta pelbagai acara di tingkat dua unit rumah kedai jenama itu di North Bridge Road.

Dengan penutupan kedai Baju by Oniatta di Kampong Gelam, ruang komuniti yang dikenali sebagai Galeri Tokokita itu juga akan kehilangan tapaknya.

“Keputusan menutup kedai ini bukan sesuatu yang mudah, bukan sahaja kerana makna ruang niaga ini bagi diri saya, tetapi juga kerana hubungan yang telah terjalin antara saya dengan Kampong Gelam sepanjang enam tahun lalu.

“Saya faham bahawa sesebuah kawasan akan terus berubah mengikut peredaran masa, dan saya tidak mengharapkan Kampong Gelam kekal seperti dahulu. Namun, saya tetap merasakan adanya tanggungjawab untuk memelihara identiti kawasan itu serta kisah-kisah yang menjadikannya unik.

“Jadi, perkara yang paling saya akan rindui bukanlah kedai fizikal itu sendiri, tetapi orang ramai yang ditemui, hubungan yang terjalin serta interaksi seharian yang hadir sepanjang saya mempunyai kedai di sana,” ujar beliau.

Menurut Cik Oniatta, keutamaannya buat masa ini adalah untuk berehat. Namun, selepas berehat secukupnya, jenama batik itu akan terus beroperasi, sama ada menerusi jualan pop-up atau secara dalam talian, katanya.

“Saya memerlukan sedikit ruang dan masa untuk diri sendiri sebelum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.

“Saya ingin meneliti semula bagaimana jenama ini boleh terus berkembang dengan bentuk baharu yang mungkin dapat diketengahkan pada masa hadapan,” kongsi beliau.