Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah penerima bantuan ComCare merosot ke kadar terendah dalam lima tahun pada 2024

Sebanyak 20,825 isi rumah terima Bantuan Jangka Pendek hingga Jangka Sederhana (SMTA) ComCare pada 2024, berbanding 34,858 pada 2020; kemerosotan hampir 40 peratus dalam lima tahun.
Dec 16, 2025 | 10:00 AM
Bilangan isi rumah yang menerima bantuan sosial ComCare mencatatkan penurunan pada 2024 berbanding 2020, sungguhpun terdapat perubahan had kelayakan pada 2023 agar lebih banyak isi rumah dapat memanfaatkan bantuan di bawah skim itu.
Bilangan isi rumah yang menerima bantuan sosial ComCare mencatatkan penurunan pada 2024 berbanding 2020, sungguhpun terdapat perubahan had kelayakan pada 2023 agar lebih banyak isi rumah dapat memanfaatkan bantuan di bawah skim itu. - Foto fail

Bilangan isi rumah yang menerima bantuan sosial ComCare berkurangan pada 2024 berbanding 2020, meskipun dengan perubahan had kelayakan pada 2023 bagi membolehkan lebih banyak isi rumah menerima bantuan di bawah skim itu, menurut laporan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Pada masa yang sama, laporan itu menyatakan bilangan isi rumah yang kembali mendapatkan Bantuan Jangka Pendek hingga Jangka Sederhana (SMTA) ComCare dalam tiga tahun selepas mereka dianggap sebagai berdikari juga telah merosot.

MSF mendedahkan hasil dapatan ini dalam Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah yang diterbitkan pada 16 Disember.

ComCare ialah skim bantuan sosial Singapura yang menyediakan bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah untuk memenuhi perbelanjaan sara hidup asas mereka.

Ia dilakukan melalui bantuan seperti SMTA ComCare, yang memberi sokongan sementara kepada golongan berpendapatan rendah, yang tidak dapat bekerja untuk tempoh masa tertentu.

Ini di samping Bantuan Jangka Panjang (LTA) ComCare, yang tertumpu pada warga yang tidak dapat bekerja secara tetap disebabkan faktor lanjut usia dan kesihatan, antara lain.

Menurut laporan tersebut, bilangan isi rumah yang dibantu menerusi SMTA ComCare mencatatkan penurunan daripada 34,858 pada 2020 kepada 20,825 pada 2024 – iaitu kemerosotan hampir 40 peratus dalam lima tahun.

Bilangan isi rumah yang dibantu melalui LTA ComCare juga turun kepada 3,240 pada 2024 berbanding 4,067 pada 2020.

Ini meskipun terdapat semakan kepada pendapatan isi rumah per kapita (PCHI) yang dinaikkan daripada $650 kepada $800 pada Julai 2023, bagi membolehkan lebih ramai rakyat Singapura layak menerima bantuan.

Dalam kenyataan MSF menyusuli penerbitan laporan itu pada 16 Disember, kementerian itu berkata penurunan sedemikian “mencerminkan pengembangan ekonomi dan pasaran buruh dalam beberapa tahun sejak kebelakangan ini, dan sokongan yang dipertingkatkan daripada skim lain oleh pemerintah”.

Laporan itu menambah perkadaran isi rumah yang mendapatkan bantuan SMTA ComCare dalam tempoh tiga tahun selepas dianggap telah berdikari, merosot kepada 49 peratus – atau hampir 1 daripada 2 isi rumah – bagi kohort yang telah berhenti menerima SMTA ComCare pada 2021.

Ini berbanding 61 peratus, atau 3 daripada 5 isi rumah, bagi kohort yang telah berhenti menerima SMTA ComCare pada 2018.

MSF berkata sebahagian besar kohort yang berhenti menerima SMTA ComCare pada 2021 merupakan penerima kali pertama yang mendapatkan bantuan dek kesan ekonomi akibat Covid-19.

“Sebahagian besar isi rumah (kohort ini), secara umumnya, lebih berdikari – sebagai contoh secara purata, mereka mempunyai tanggungan lebih kecil dan kelayakan pendidikan lebih tinggi.

“Oleh demikian, bilangan isi rumah yang kembali lagi mendapatkan SMTA ComCare (bagi kohort ini) adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kohort-kohort lebih awal,” ujar MSF.

Ini mengikuti trend penurunan pada perkadaran isi rumah yang kembali lagi mendapatkan SMTA ComCare bagi kohort yang berhenti menerima SMTA ComCare pada 2019 dan 2020 secara berasingan.

MSF menambah perkadaran isi rumah yang kembali lagi mendapatkan SMTA ComCare selepas berhenti menerima SMTA ComCare pada 2022 dan 2023 secara berasingan barangkali akan mencatatkan peningkatan.

Ini berdasarkan perkadaran bahagian kohort yang berhenti menerima SMTA ComCare pada 2022 atau 2023 dan kembali lagi mendapatkan SMTA ComCare dalam tempoh setahun dan dua tahun selepas itu.

Sementara itu, MSF menjelaskan ciri-ciri sebahagian besar isi rumah yang mendapatkan lagi bantuan SMTA ComCare – berdasarkan kohort yang berhenti menerima SMTA ComCare pada 2021 – mempunyai anggota keluarga dengan kelayakan pendidikan yang rendah, ada sekurang-kurangnya seorang anak kecil dan berdepan masalah kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg