Pertumbuhan ekonomi Singapura mesti membawa kepada peluang lebih baik untuk semua rakyat, termasuk mewujudkan pekerjaan baik dan membolehkan setiap orang mempertingkat kehidupan mereka, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.
Pada masa yang sama, tumpuan juga harus diberikan pada usaha memecahkan lingkaran kesusahan, sambil memastikan tiada yang terpinggir, tambah beliau.
Kejayaan yang dikecapi bukan sahaja berdasarkan keupayaan dan kerja keras individu, bahkan juga dibina atas masyarakat dan bantuan yang diterima sepanjang jalan.
Oleh itu, apabila sudah berjaya, “kita harus ingat bahawa kita mempunyai tanggungjawab terhadap mereka yang ketinggalan di belakang”, kata Encik Chan di Parlimen pada 26 September, pada hari kelima dan terakhir perbahasan Amanat Presiden.
Sedang masyarakat menjadi matang dan lebih membangun, beliau berkata terdapat risiko bahawa sumber, serta kesusahan, diturunkan dari generasi ke generasi.
Ini menyerlahkan ketidaksamaan dan mengurangkan mobiliti sosial – sesuatu yang berlaku di banyak negara sepanjang sejarah, tambah Encik Chan.
“Kita tidak mahu melihat perkara ini berlaku di Singapura. Ini yang menjadikan Singapura istimewa.
“Oleh itu, lebih kita berjaya, lebih besar bahaya yang kita hadapi, dan kita akan perlu menggandakan usaha untuk menghentikan pemindahan kesusahan antara generasi,” kata beliau, yang juga Menteri Pertahanan.
Sebuah masyarakat “Kita Dahulu” – kali pertama disebut Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan 2025 – tidak bererti tiada tempat bagi aspirasi atau ekspresi individu, kata Encik Chan.
Sebaliknya, ia adalah mengenai menggerakkan seluruh keupayaan, kreativiti dan iltizam masyarakat untuk mengatasi cabaran di hadapan bersama.
“Pemerintah akan terus memimpin di mana ia perlu dan boleh. Kita akan berusaha untuk melakukan lebih banyak dan lebih baik.
“Namun, kami cukup realistik bahawa pemerintah kita tidak boleh melakukan semuanya, dan tentu sekali tidak bersendirian.
“Kami bercita-cita untuk berkembang daripada menyampaikan untuk rakyat Singapura kepada menyampaikan dengan rakyat Singapura,” kata beliau.
Dalam usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik dan mengurangkan jurang yang bermula awal dalam kehidupan, pemerintah telah melancarkan pelbagai program, termasuk KidSTART, Comcare dan ComLink+.
Namun, Encik Chan berkata program tersebut sahaja tidak mencukupi dan menggesa setiap individu perlu menyumbang dengan cara tersendiri untuk menyokong mereka yang kurang mampu.
Ini demi mempertingkat golongan kurang bernasib baik dan memastikan masyarakat boleh berkembang maju.
Beliau menambah bahawa sedang terdapat lebih banyak seruan untuk melakukan lebih banyak bagi pelbagai kumpulan, Singapura juga perlu berhati-hati kerana sumber adalah terhad dan perlu ada kata sepakat masyarakat tentang siapa yang harus dibantu lebih lanjut.
“Ini bermakna sesetengah daripada kita akan perlu menyederhanakan jangkaan kita kerana terdapat orang lain yang memerlukan bantuan lebih daripada kita.
“Setiap orang mendapat bantuan dan mendapat sesuatu. Tetapi tidak semua akan dapat yang sama. Tidak masuk akal bagi semua mendapat bantuan yang sama… Saya fikir kita semua boleh bersetuju mengenainya.
“Janganlah kita berpecah belah oleh perbandingan tidak adil apabila ia dilaksanakan,” kata beliau.
Dalam perbahasan itu, Encik Chan turut menyentuh tentang isu tadbir urus, dengan perkhidmatan awam Singapura akan memerlukan individu yang berkebolehan dengan latar belakang, kemahiran dan pendedahan yang pelbagai untuk menangani cabaran yang dihadapi negara.
Beliau juga berkata bahawa pemerintah mesti bijak dalam cara ia memutuskan perbelanjaan dana awam dan harus berhati-hati tentang keseimbangannya.
Cabaran dan keperluan Singapura semakin meningkat, namun sumber kekal terhad, dan setiap program bermakna akan ada sesuatu yang kurang untuk keperluan semasa atau masa hadapan.
“Setiap perbelanjaan geran dan subsidi mempunyai kesan berpanjangan. Apabila komitmen diberi, adalah sukar untuk dihapuskan,” kata Encik Chan.
“Kita mesti memberi tumpuan pada usaha mengembangkan pai ekonomi secara keseluruhan agar kita mempunyai pilihan dan kemewahan untuk membuat keputusan yang lebih mudah,” tambahnya.
“
“Pemerintah akan terus memimpin di mana ia perlu dan boleh. Kita akan berusaha untuk melakukan lebih banyak dan lebih baik. Namun, kami cukup realistik bahawa pemerintah kita tidak boleh melakukan semuanya, dan tentu sekali tidak bersendirian. Kami bercita-cita untuk berkembang daripada menyampaikan untuk rakyat Singapura kepada menyampaikan dengan rakyat Singapura.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg