Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian: Isu keyakinan diri keprihatinan utama belia Melayu/Islam

Kajian bersama Mendaki, SUSS ketengah tiga pemacu utama dalam pembangunan belia yang positif
Jul 7, 2025 | 5:22 PM
Zuldanial Anxary Zulkarnain, Simposium Mendaki 2025
Penganalisis data utama di Pejabat Penyelidikan dan Penilaian Program Mendaki, Encik Zuldanial Anxary Zulkarnain, berkongsi dapatan kajian berhubung pembangunan belia di Simposium Mendaki 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 7 Julai. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Belia Melayu/Islam didapati mempunyai perspektif yang lemah dalam pandangan dan penilaian diri mereka sendiri, dengan keyakinan diri dilihat sebagai keprihatinan utama dalam golongan itu, menurut dapatan satu kajian baru mengenai pembangunan belia.

Kajian yang sama itu juga mendapati terdapat tiga pemacu utama dalam pembangunan belia yang positif – rasa dihargai oleh orang lain, sokongan daripada orang dewasa lain dan adanya peranan contoh orang dewasa yang positif.

Dapatan kajian itu, yang melibatkan lebih 615 belia berusia 13 hingga 17 tahun di bawah Program Tuisyen Mendaki, telah dikongsi semasa satu penyampaian di Simposium Mendaki 2025 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 7 Julai.

Penganalisis data utama di Pejabat Penyelidikan dan Penilaian Program Mendaki, Encik Zuldanial Anxary Zulkarnain, berkata tahap keyakinan diri yang rendah dalam golongan belia itu bukan kerana mereka kurang kebolehan.

Tetapi, beliau menerangkan bahawa ini kerana “mungkin mereka tidak cukup diberitahu bahawa mereka melakukan tugas yang baik, atau kadangkala mereka membandingkan diri dengan orang lain dan sentiasa berfikir, ada orang yang lebih baik daripada mereka”.

Namun begitu, Encik Zuldanial menambah, rasa kurang keyakinan diri itu tidak hanya terdapat di kalangan belia Melayu/Islam.

“Terdapat kajian sebelum ini yang menunjukkan bahawa konsep diri (cara individu memandang dan menilai diri sendiri) dalam kalangan belia Singapura adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan belia di negara-negara jiran kita, seperti Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

“Meskipun belia Singapura ini, dalam kajian sebelum ini, lebih berpendidikan daripada rakan-rakan sebaya mereka dari negara lain, mereka menilai diri mereka lebih rendah dari segi kecekapan dan keyakinan.

“Oleh itu, ini menunjukkan bahawa ia bukan isu yang hanya menjejas belia Melayu/Islam. Ia isu dalam konteks lebih luas Singapura yang perlu dikaji dan difahami lebih lanjut,” kata beliau.

Kajian tersebut, yang dijalankan bersama oleh Mendaki dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), merupakan bahagian pertama dalam dua bahagian, dengan penyelidikan kualitatif kini sedang dijalankan dan dijadual berakhir pada Ogos 2025.

Kajian penuh dijangka selesai pada 2026, dan dapatannya akan membantu dalam mereka program belia yang lebih berkesan dan terangkum, kata Mendaki dalam kenyataannya.

Menurut kajian itu, meskipun kedua-dua belia lelaki dan wanita menyatakan bahawa rasa dihargai oleh orang lain dan masyarakat adalah faktor penting dalam pembangunan belia, terdapat beberapa perbezaan antara dua golongan tersebut.

Misalnya, kaum Adam menyatakan bahawa sokongan daripada orang dewasa lain seperti guru dan mentor, dan juga langkah mengambil bahagian dalam keputusan dan hal keluarga, adalah faktor penting yang mendatangkan kesan ke atas pembangunan.

Sementara itu, kaum Hawa pula lebih menghargai pengiktirafan emosi dan peranan contoh orang dewasa yang memberi inspirasi, selain mahu idea mereka didengari.

Perbezaan juga dilihat dalam ukuran lain, seperti saiz isi rumah yang berlainan.

Sebagai contoh, belia daripada isi rumah dengan lima atau kurang anggota keluarga, didapati lebih mengutamakan rasa dihargai oleh orang lain dan masyarakat, kerana kurang interaksi berasaskan keluarga.

Ini berbeza dengan belia dari isi rumah dengan enam atau lebih anggota keluarga, dengan dapatan menunjukkan tiada keutamaan jelas dalam faktor yang menjejas tahap keyakinan diri mereka.

“Pembangunan belia yang berkesan bukan hanya mengenai pendekatan yang sama untuk semua lapisan, tetapi untuk mengiktiraf bahawa setiap belia, sama ada dikategorikan oleh jantina, usia atau keadaan keluarga, mempunyai keperluan berbeza yang memerlukan strategi yang disesuaikan,” kata Encik Zuldanial.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg