Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seorang dihantar ke hospital dalam kebakaran pusat data Chai Chee

Mar 14, 2025 | 2:36 PM
Satu e-mel yang dihantar oleh SG.GS Pte Ltd, rakan kongsi penyedia pusat data awan Singapore Internet Exchange, mengatakan kebakaran itu berpunca daripada satu “letupan”.
Satu e-mel yang dihantar oleh SG.GS Pte Ltd, rakan kongsi penyedia pusat data awan Singapore Internet Exchange, mengatakan kebakaran itu berpunca daripada satu “letupan”. - Foto ST

Seorang mangsa dihantar ke hospital apabila sebuah pusat data di Chai Chee terbakar awal pagi 14 Mac.

Dalam jawapan kepada pertanyaan The Straits Times (ST), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia dimaklumkan mengenai kebakaran di 750C Chai Chee Road itu sekitar 6 pagi.

Satu e-mel yang dihantar oleh SG.GS Pte Ltd, rakan kongsi penyedia pusat data awan Singapore Internet Exchange, mengatakan kebakaran itu berpunca daripada satu “letupan”.

“Kami telah mengerahkan jurutera lapangan untuk menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan kerosakan (itu) dan akan memaklumkan anda apabila terdapat sebarang perkembangan,” ujar e-mel itu.

Pemeriksaan awal syarikat itu mendapati pelayan, atau ‘server’, di pusat data itu masih beroperasi, namun ia “memerlukan masa untuk pulih”.

SCDF berkata kebakaran itu melibatkan rak pelayan, atau ‘server rack’, dan dipadamkan menggunakan alat pemadam api serbuk kering.

Ia menambah bahawa sistem pemercik diaktifkan, dan seorang individu dihantar ke Hospital Besar Singapura (SGH) akibat terhidu asap.

Punca kebakaran sedang disiasat.

Pada September 2024, sebuah pusat data di Loyang, yang menempatkan sistem bagi syarikat teknologi seperti Lazada dan Alibaba, terbakar.

Operasi memadamkan api mengambil masa lebih 36 jam, dengan empat pancutan air digunakan untuk mengawal api.

Kebakaran itu dikaitkan dengan bateri litium-ion yang disimpan di bilik bateri di tingkat tiga bangunan tersebut.

Sekitar 20 orang meninggalkan bangunan itu sebelum pasukan bomba tiba, dan tiada kecederaan dilaporkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg