Meskipun penerbangan asal mereka dibatalkan, seramai 43 anggota jemaah di bawah firma ejen penjualan (GSA) pakej haji, Halijah Travels Pte Ltd itu tetap menerima sokongan dan layanan terbaik yang diperlukan sepanjang berada di Arab Saudi.
Mereka dijadual menaiki penerbangan penerbangan Scoot TR597 dari Jeddah ke Singapura pada malam 23 Jun, namun dimaklumkan pada pagi hari yang sama bahawa penerbangan tersebut telah dibatalkan secara mengejut oleh syarikat penerbangan itu.
Mengulas lanjut semasa dihubungi Berita Harian (BH), Pengurus Besar GSA itu, Encik Haffidz Abdul Hamid berkata: “Kami dengan segera mengambil tindakan proaktif untuk mencari penerbangan alternatif melalui pelbagai saluran – termasuk Scoot, Qatar Airways, Emirates dan Gulf Air – namun pelbagai kekangan teknikal, termasuk had bagasi dan ketersediaan tempat duduk kumpulan, menjejaskan usaha awal.
“Kami tekankan bahawa setiap (anggota) jemaah mesti dibenarkan membawa pulang sekurang-kurangnya 40 kilogram bagasi. Ini penting kerana jemaah membawa banyak barangan, termasuk air zamzam.”
Sementara menantikan pengesahan penerbangan gantian, Halijah Travels menanggung kos penginapan tambahan satu malam di Hotel The Oberoi, Madinah – sebuah hotel bertaraf lima bintang dengan kadar sekitar $1,100 untuk satu malam – termasuk hidangan makanan tiga kali sehari untuk kesemua jemaah.
“Kami tidak mahu membebankan jemaah dengan kos tambahan. Sebabnya kami berpegang pada prinsip bahawa ketenangan dan keselesaan mereka adalah keutamaan,” kata Encik Haffidz.
Selain penginapan, pihak Halijah Travels turut menganjurkan kegiatan tambahan untuk jemaah, termasuk lawatan malam ke Masjid Quba.
Setelah beberapa perundingan, Halijah Travels berjaya mendapatkan penerbangan pulang menerusi Malaysia Airlines dan kumpulan jemaah tersebut berlepas dari Jeddah (9 malam waktu di Jeddah) pada 24 Jun, dalam satu penerbangan transit ke Kuala Lumpur sebelum sampai ke Singapura.
Di Kuala Lumpur, jemaah dibahagikan kepada dua kumpulan dan diterbangkan menggunakan Malaysia Airlines – kumpulan pertama meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.30 petang dan kumpulan kedua kira-kira 2 petang.
“Walaupun terdapat cabaran tambahan – termasuk perubahan waktu berlepas dan keperluan memecah kumpulan kepada dua penerbangan berbeza dari Kuala Lumpur ke Singapura – semua jemaah berjaya pulang dengan selamat.
Encik Haffidz turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia Airlines atas komitmen mereka menyediakan penerbangan walaupun dalam suasana logistik yang mencabar.
Di samping itu, Halijah Travels telah bekerjasama rapat dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dan Konsulat Jeneral Singapura di Jeddah sepanjang tempoh penerbangan tertangguh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg