Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga penerima zakat sumbang kembali, bantu masyarakat

Sekitar 40 keluarga guna sumber sendiri untuk beli, hantar beg barangan keperluan runcit
Mar 21, 2025 | 7:38 PM
Lebih 220 kanak-kanak dan ibu bapa daripada 160 keluarga yang terlibat dalam inisiatif Leap menyumbang kembali kepada masyarakat dengan mengagihkan barangan keperluan runcit kepada 43 penerima zakat di bawah jagaan Masjid Angullia pada 8 Mac.
Lebih 220 kanak-kanak dan ibu bapa daripada 160 keluarga yang terlibat dalam inisiatif Leap menyumbang kembali kepada masyarakat dengan mengagihkan barangan keperluan runcit kepada 43 penerima zakat di bawah jagaan Masjid Angullia pada 8 Mac. - Foto MUIS

Semangat memberi dapat dirasakan apabila lebih 220 kanak-kanak dan ibu bapa dalam program pengukuhan keluarga, Leap, berganding bahu untuk mengagih beg yang mengandungi keperluan runcit kepada 43 penerima zakat di bawah jagaan Masjid Angullia.

Leap yang kini dalam pusingan ketiga dengan penglibatan 160 keluarga, adalah program buat penerima zakat yang diusahakan Pusat Pelita, kendalian Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), untuk memperkasa keluarga agar dapat menyumbang semula kepada masyarakat.

Geran bagi keluarga memperbaiki diri menerusi enam domain kehidupan seperti pengukuhan keluarga, celik kewangan, pendidikan Islam, aset masyarakat, kanak-kanak dan belia serta pekerjaan dan kebolehgajian, ditawarkan kepada peserta Leap.

Pendekatan bersandarkan inovasi sosial pula dijalankan menerusi aplikasi Leap, membolehkan keluarga memuatnaikkan jurnal kegiatan mereka pada aplikasi tersebut untuk dapatkan geran

Acara pada 8 Mac lalu adalah satu usaha mendekati masyarakat, di mana keluarga dalam program Leap ini dianggap seperti aset masyarakat yang berbakti kepada golongan sekeliling mereka.

Inisiatif ini memupuk semangat beramal dan bermurah hati dengan keperluan orang lain sewaktu Ramadan. Ia juga menggalak kesyukuran dan refleksi diri tentang nilai seperti kesabaran, berbudi dan berihsan.

Dalam kalangan keluarga yang terlibat, 41 daripadanya tampil, menggunakan sumber mereka sendiri untuk membeli, membungkus dan menghantar beg berisi keperluan runcit itu.

Menurut kenyataan Muis pada 20 Mac, inisiatif itu memperlihatkan bagaimana keluarga yang turut menerima bantuan zakat dan geran daripada Muis juga dapat memainkan peranan aktif dalam membantu golongan lain yang memerlukan.

Antara barangan keperluan runcit yang diberi termasuk minuman coklat segera, gula, beras sekilo, minyak masak 2.5 liter, susu pekat, telur dan ketupat segera.

Mereka juga terlibat dalam pembungkusan dan penulisan nota peribadi yang dilakukan di Masjid Malabar sebelum pengagihan dibuat.  

Nota peribadi turut disertakan dalam beg yang diagihkan.
Nota peribadi turut disertakan dalam beg yang diagihkan. - Foto MUIS

Antara yang terlibat dalam program mendekati masyarakat ini ialah Cik Ernie Syuriana, 39 tahun, yang menjelaskan bahawa acara itu mendidik anak-anaknya mengenai bantuan yang boleh disalur bila-bila masa sahaja meskipun seseorang itu tidak kaya.

“Anak-anak saya boleh menjadi sukarelawan dan menghulurkan bantuan pada bila-bila masa.

“Mereka juga mula sedar bahawa walaupun berdepan dengan cabaran sendiri, masih ramai yang lebih memerlukan.

“Ini mengajar mereka untuk sentiasa bersyukur,” ujar beliau yang mendapat bantuan dan sokongan Leap sejak 2024.

Turut terlibat dalam menjayakan usaha tersebut ialah alumni, mentor dan pegawai kes Leap, serta beberapa pertubuhan seperti ejen perubahan (AOC), #hashtags, East-West United FC, HUFI dan HZS Traverse, yang menyediakan pengangkutan dari Masjid Malabar.

Selepas sesi pengagihan, kesemua keluarga berkumpul untuk majlis berbuka puasa yang diadakan di Hotel Furama Riverfront.

Sesi pengagihan diakhiri dengan majlis berbuka puasa secara beramai-ramai di Hotel Furama Riverfront.
Sesi pengagihan diakhiri dengan majlis berbuka puasa secara beramai-ramai di Hotel Furama Riverfront. - Foto MUIS

Mereka turut menerima senaskhah Al-Quran yang ditaja Global Trading serta baucar baju Raya bernilai $50 bagi setiap keluarga, yang boleh ditebus di kedai pakaian Kurta Boys.

“Anak-anak saya juga mula sedar bahawa walaupun berdepan dengan cabaran sendiri, masih ramai yang lebih memerlukan...Ini mengajar mereka untuk sentiasa bersyukur,” 
Cik Ernie Syuriana, sukarelawan dan penerima bantuan Leap sejak 2024.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg