Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemeriahan NDP dibawa ke lima kejiranan 10 Ogos

Bishan, Punggol, Geylang Serai, Yishun dan Bukit Gombak bakal meriah
Jul 8, 2025 | 9:00 PM

Kontinjen kenderaan kembali beraksi di kejiranan sejak penampilan terakhirnya pada 2020, sewaktu perayaan NDP diadakan secara kecil-kecilan memandangkan pandemik Covid-19.
Kontinjen kenderaan kembali beraksi di kejiranan sejak penampilan terakhirnya pada 2020, sewaktu perayaan NDP diadakan secara kecil-kecilan memandangkan pandemik Covid-19. - Foto fail ST

Warga Singapura boleh nantikan sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 lebih dekat dengan kediaman masing-masing pada 10 Ogos, dengan ia turut diraikan di kejiranan Bishan, Punggol, Yishun, Geylang Serai dan Bukit Gombak.

Sempena ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60), perarakan kenderaan tentera atau ‘mobile column’ juga akan kembali mewarnai NDP, sejak penampilan terakhirnya pada 2020.

Dalam satu taklimat media di ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) pada 8 Julai, Pengerusi Kontinjen Kenderaan daripada jawatankuasa sambutan NDP di kawasan kejiranan bagi 2025, Leftenan-Kolonel (LTC) Chek Wei Lun, berkata:

“Rakyat Singapura akan lebih dekat dengan kontinjen kenderaan. Sebanyak 60 kenderaan daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan pasukan HomeTeam akan mengunjungi beberapa kawasan kejiranan melalui lima laluan tertentu,” jelasnya.

Kali ini, perarakan kenderaan tentera akan singgah dan berhenti di ‘pitstop’ atau ruang henti khusus, bagi warga Singapura berinteraksi dengan pegawai yang mengendalikan kenderaan berkenaan sambil meninjau peralatan kenderaannya sekali gus.

Kontinjen kenderaan berkenaan akan berhenti selama 90 minit di Pusat Pertukaran Bas Jurong Town Hall, Sekolah Rendah Kranji, Sekolah Rendah CHIJ (Toa Payoh) dan Sekolah Menengah CHIJ, serta Taman Bas Hougang dan Pusat Pertukaran Bas Tampines Concourse.

Setelah itu, kontinjen kenderaan akan menyambung perjalanan hingga ke lima tapak sambutan NDP di kawasan kejiranan.

Warga Singapura juga boleh menjejak pergerakan kontinjen itu kenderaan secara langsung melalui laman web NDP 2025.

LTC Chek menambah yang jawatankuasanya memastikan kenderaan kontinjen dapat melalui kawasan yang ada paling ramai orang, dan juga boleh menampung ukuran kenderaan SAF dan HomeTeam.

Dari 4 petang hingga 9 malam, lima lokasi berbeza, iaitu bersebelahan pusat beli-belah Bishan Junction 8, padang terbuka bersebelahan One Punggol, padang terbuka bersebelahan FutsalArena @ Yishun, padang terbuka bersebelahan Wisma Geylang Serai dan di Stadium ActiveSG Bukit Gombak, akan meriah dengan sambutan NDP.

Para penduduk boleh menyaksikan empat jet pejuang F-16 melintas lalu dua kali di setiap kejiranan, dengan bentuk corak berlian di udara, antara 6 dengan 6.30 petang.

Pasukan payung terjun, Red Lions, seramai tujuh orang pula akan mendarat di Bishan pada 4 petang.

Bishan adalah satu-satunya kawasan kejiranan yang memaparkan segmen Red Lions kerana kawasan itu didapati paling sesuai bagi ahli payung terjun mendarat.

Pada masa yang sama, penduduk boleh meyertai pelbagai kegiatan interaktif dan menikmati persembahan secara langsung.

Tiket bagi sambutan di kawasan kejiranan ini boleh diperolehi secara percuma di salah satu daripada 113 kelab masyarakat di Singapura, mulai 8 Julai, selagi tiket masih ada.

Di Wisma Geylang Serai pula, terdapat gelanggang luncur yang menyala, manakala di Bukit Gombak pula, penduduk boleh mencipta lampu tanglung elektronik menggunakan cahaya LED, dalam satu usaha mencipta sejumlah 6,000 tanglung untuk disenaraikan dalam Buku Rekod Singapura.

Kelima-lima tapak sambutan kejiranan NDP Heartlands akan mengadakan kegiatan interaktif tertumpu pada penglibatan masyarakat dan keterangkuman. Ini termasuk aktiviti seni dan kraftangan serta persembahan secara langsung.
Kelima-lima tapak sambutan kejiranan NDP Heartlands akan mengadakan kegiatan interaktif tertumpu pada penglibatan masyarakat dan keterangkuman. Ini termasuk aktiviti seni dan kraftangan serta persembahan secara langsung. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pengerusi Perayaan Kejiranan NDP 2025 bagi Bukit Gombak dan Yishun, Anggota Kolonel (COL) (Kerahan) Halmie Hussein Mattar, pula berkata SG60 merupakan satu detik yang bermakna untuk kemerdekaan Singapura.

Tahun ini adalah kali kedua Pengerusi perayaan NDP Heartlands 2025 untuk Bukit Gombak dan Yishun, Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) Kolonel (COL) Halmie Hussein Mattar, terlibat dalam perancangan sambutan NDP di kejiranan.
Tahun ini adalah kali kedua Pengerusi perayaan NDP Heartlands 2025 untuk Bukit Gombak dan Yishun, Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) Kolonel (COL) Halmie Hussein Mattar, terlibat dalam perancangan sambutan NDP di kejiranan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Tujuan utama adalah menyatukan warga Singapura... kami berharap dapat membawa suasana sambutan NDP di Padang lebih dekat kepada rakyat Singapura... Saya selalu terharu apabila melihat kakraban ahli keluarga semasa perayaan istimewa seperti NDP Heartlands.

“Saya yakin senarai acara tahun ini (2025) akan berjaya mengalihkan keistimewaan perayaan NDP di Padang ke kawasan kejiranan pula,” kata COL Halmie.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg