Pasukan payung terjun Red Lions dan pasukan penyelam tentera laut daripada Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) akan menyelaraskan satu pertunjukan udara buat julung-julung kalinya semasa segmen pra-perbarisan bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025.
Red Lions akan mendarat di Padang, manakala pasukan penyelam tentera laut akan terjun ke dalam perairan Marina Bay bagi segmen Jump of Unity.
Pakar kru udara helikopter ‘Medium Lift’ H225M Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Staf Sarjan (SSG) Kristian Jeremiah Joseph, yang ditemui media pada 5 Julai di Pangkalan Udara Sembawang, berkongsi bahawa terjunan yang bakal dilakukan mencerminkan kepentingan komunikasi yang jelas dalam memastikan ketepatan bagi operasi penyelam.
Menjelaskan tanggungjawabnya dalam memastikan penyelam tentera laut dapat menjalankan terjunan mereka dengan baik, SSG Kristian berkata:
“Peranan saya untuk NDP tahun ini (2025) sebenarnya adalah untuk menyelaras dan berkomunikasi antara juruterbang dan penyelam tentera laut untuk segmen Jump of Unity.
“Terutama sekali, peranan saya adalah untuk menyampaikan isyarat tangan daripada juruterbang atau kru darat kepada mereka yang akan melakukan terjunan.
“Ia akan diberikan melalui interkom daripada juruterbang, dan saya akan menyampaikan isyarat tangan kepada penyelam tentera laut supaya mereka boleh menjalankan operasi mereka.”
Memberi butiran lebih terperinci, Jawatankuasa Eksekutif (Exco) NDP 2025 berkata dalam satu kenyataan bahawa pasukan penyelam tentera laut akan keluar secara individu dari helikopter H225M pada ketinggian kira-kira 6,000 kaki dari paras bumi, setelah laluan penerbangan disahkan dan pemeriksaan keselamatan selesai.
Pasukan penyelam tersebut kemudian akan melakukan terjunan bebas secara berurutan sebelum mengembangkan payung terjun masing-masing pada ketinggian kira-kira 5,000 kaki.
Ketika menghampiri paras 300 kaki, mereka akan membentuk susunan untuk pendaratan berkumpulan, menuju ke kawasan sasaran tepat di perairan Marina Bay, berhampiran Jambatan Jubilee dan di hadapan Esplanade.
Di samping itu pasukan payung terjun Red Lions pula akan memulakan demonstrasi apabila mereka keluar serentak dari pesawat C-130 pada ketinggian kira-kira 10,000 kaki, setelah laluan penerbangan ditetapkan dan semua pemeriksaan keselamatan dilaksanakan.
Di udara, mereka membentuk formasi cincin sebelum ‘berpecah bak serpihan ledakan bom pada paras kira-kira 7,000 kaki untuk memastikan jarak selamat antara satu sama lain.
Payung terjun kemudian dibuka sekitar 4,000 kaki, diikuti dengan formasi penerbangan bertingkat.
Ketika menghampiri ketinggian 1,000 kaki, Red Lions bersedia untuk mendarat secara bergilir-gilir dengan tepat di kawasan sasaran yang telah ditetapkan di Padang.
“Berikutan pameran terjunan Red Lions dan terjunan profil operasi penyelam tentera laut, kededuanya akan melakukan gabungan tabik hormat secara serentak di Padang dan Marina Bay dalam detik perpaduan yang hebat,” jelas pihak Exco.
Menurut laporan terdahulu, anggota Unit Penyelam Tentera Laut (NDU) telah menyertai terjunan bersama pasukan Red Lions pada 2018, menggunakan helikopter Super Puma.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg