Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenang jiwa masyarakat dalam sambutan ulang tahun S’pura ke-60

Aug 9, 2025 | 5:30 AM
Syed Muhammad Firdaus, ndp
Wartawan Berita Harian (BH), Syed Muhammad Firdaus, menyaksikan persembahan bunga api semasa pertunjukan Pendidikan Nasional di Padang pada 19 Julai. - Foto ihsan SYED MUHAMMAD FIRDAUS

Dari tempat duduk saya, berlatarbelakangkan kawasan bandar Singapura, kelihatan kilauan cahaya menyinari kegelapan malam.

Tidak saya lupa juga akan pertunjukan bunga api, yang menyemarakkan lagi langit malam menandakan penutup tirai acara itu.

Itulah pemandangan saya ketika menghadiri pertunjukan Pendidikan Nasional (NE) pada 19 Julai.

Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air – saya berada di sana bukan sekadar sebagai penonton, bahkan sebagai wartawan Berita Harian (BH) yang meninjau pertunjukan NE itu.

Maklumlah, ia memberi gambaran awal tentang apa yang boleh dijangkakan dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) sebenar pada 9 Ogos.

Acara tersebut merupakan bahan rujukan dalam rangkaian liputan kami di BH untuk NDP 2025, yang seiring dengan sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60).

Daripada acara media tentang tema dan logo rasmi NDP, pengenalan Komander Perbarisan NDP, kepada lintas hormat udara pelbagai arah, ia telah memberi saya peluang untuk mengikuti secara lebih dekat acara kebangsaan negara ini dan bagaimana ia dibentuk sedikit demi sedikit.

Ini di samping bekerjasama dengan rakan BH lain dalam mengatur dan menyajikan kandungan yang menyentuh penyertaan rakyat Singapura dan keupayaan masing-masing.

Sebagai seorang wartawan muda yang berpeluang membesar dalam era digital dan menikmati hasil kemajuan negara ini, menelusuri sejarah NDP memberi saya perspektif mendalam tentang erti sebenar kenegaraan atau patriotisme.

Saya masih ingat lagi ketika mengkaji evolusi beg cenderahati NDP atau funpack dari 1991 hingga kini.

Daripada beg asas yang sekadar berisi barang keperluan seperti snek dan air minuman, ia kini menjadi simbol kenangan.

Tidak kira dalam memperingati detik penting seperti pelancaran AirBaru pada 2002, atau menambah unsur interaktif seperti lampu suluh atau alat bunyi seperti shakers untuk melibatkan penonton dalam segmen persembahan.

Bagi saya, evolusi funpack itu mencerminkan bagaimana semangat sambutan Hari Kebangsaan juga telah berubah dan matang bersama rakyatnya.

Mentelah lagi dengan 41 artis kurang upaya menyumbangkan kreativiti mereka dalam menghasilkan tujuh rekaan istimewa bagi beg cenderahati NDP 2025.

Selain itu, sebahagian daripada liputan NDP juga melibatkan usaha menyelami nadi masyarakat.

Ini termasuk menemu bual tukang gunting rambut veteran daripada kedai gunting yang telah beroperasi sejak 1971, pemilik kedai runcit tradisional yang kini diberi nafas baru, serta meneliti barangan klasik yang mencetus nostalgia zaman Singapura.

Dalam menyampaikan kisah-kisah ini, saya teringat pandangan ahli sains politik, Encik Benedict Anderson, dalam bukunya Imagined Communities bahawa akhbar memainkan peranan dalam membentuk rasa kebangsaan.

Meskipun rakyat mungkin tidak saling mengenali atau bersua muka antara satu sama lain, tetapi merasa bersatu kerana membaca berita yang sama, pada masa yang sama, dalam mewujudkan masyarakat yang ‘dibayangkan’.

Oleh itu, saya semakin faham bahawa patriotisme tidak semestinya bersifat megah.

Ia juga tampil dalam bentuk yang senyap dan sederhana, dalam kisah-kisah kecil yang menyatukan generasi lama dan baru, mencerminkan siapa kita sebagai sebuah negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg