Keunikan identiti dan cabaran masyarakat India Muslim di Singapura terus menjadi antara isu yang dekat di hati Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak.

Sebagai seorang berbangsa India dan beragama Islam, beliau menyifatkan masyarakat tersebut sebagai kecil tetapi sangat pelbagai – bukan sahaja dari segi bahasa, malah latar budaya dan sejarah.

“Masyarakat India Muslim terdiri daripada pelbagai bahasa seperti Tamil, Malayalam, Hindi dan Urdu. Ini menunjukkan kepelbagaian dalam satu kelompok yang sama,” jelas beliau.

Walaupun berkongsi identiti agama dengan masyarakat Melayu/Islam, Dr Hamid menekankan bahawa kepelbagaian itu membawa keperluan berbeza, khususnya dalam aspek bahasa, sokongan sosial dan pendekatan masyarakat.

Menurut beliau, dalam rakaman podcast BHerbual Berita Harian (BH), sejarah pembentukan pertubuhan India Muslim juga unik – kebanyakannya berakar daripada kampung atau wilayah asal nenek moyang di India, yang menjadi asas kepada jaringan sokongan sosial dalam kalangan masyarakat tersebut.

AP GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak (kanan), dalam podcast BHerbual Berita Harian bersama Koresponden BH, Encik Anwar Saleh dan wartawan, Cik Shiqin Ramadan.
AP GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak (kanan), dalam podcast BHerbual Berita Harian bersama Koresponden BH, Encik Anwar Saleh dan wartawan, Cik Shiqin Ramadan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Namun, realiti hari ini telah berubah.

“Generasi kini kebanyakannya adalah generasi keempat rakyat Singapura. Kita bukan sahaja mempunyai identiti asal, bahkan juga identiti sebagai rakyat Singapura,” jelasnya.

Dalam konteks ini, beliau melihat peluang besar untuk memperkukuh kerjasama antara pertubuhan India Muslim (IMO) dengan pertubuhan Melayu/Muslim (MMO) di bawah rangka kerja M³+, bagi memastikan sokongan masyarakat lebih bersifat terangkum dan berkesan.

Masyarakat India Muslim di sini diwakili antara lain oleh Persekutuan India Muslim Singapura (FSIM).

Pengalaman beliau sebagai AP penggal pertama pula memperkukuh lagi kefahaman terhadap keperluan sebenar masyarakat di lapangan.

“Kebanyakan isu yang kami bangkitkan di Parlimen datang daripada kisah sebenar penduduk. Ia bukan teori, tetapi realiti kehidupan mereka,” ujar beliau.

Menurut Dr Hamid, antara kekuatan utama Parlimen ialah keupayaannya untuk menukar isu individu menjadi dasar yang memberi manfaat kepada kelompok lebih luas.

Beliau turut menekankan bahawa dalam usaha memperbaiki sistem, bukan sahaja perubahan struktur penting, malah, pengalaman sebenar rakyat dalam menerima bantuan.

“Bukan sekadar dasar yang baik, tetapi bagaimana ia dirasai oleh penduduk, dari segi empati dan keberkesanan penyampaian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pendekatan lebih menyeluruh melalui konsep “pusat sehenti”, yang menggabungkan klinik dan pejabat khidmat sosial di bawah satu bumbung.

Langkah itu, menurutnya, dapat membantu keluarga yang berdepan cabaran pelbagai aspek – kesihatan, kewangan dan sosial – mendapatkan bantuan dengan lebih mudah dan tersusun.

Pada masa sama, beliau turut menyorot keperluan memperhalusi dasar sedia ada, khususnya bagi golongan rentan seperti pesakit muda dengan penyakit kronik dan warga emas dengan pelbagai keperluan.

Sebagai AP baru, Dr Hamid mengakui perjalanannya masih panjang, namun beliau beriltizam dalam memastikan setiap dasar bukan sahaja bersifat terangkum, malah, benar-benar memberi kesan di peringkat akar umbi.

Dengan latar belakang sebagai AP dan pakar bedah ortopedik, Dr Hamid berkata beliau berharap dapat terus menjadi jambatan antara suara masyarakat dengan dasar negara.

Ia termasuk dalam memperkasa masyarakat India Muslim sebagai sebahagian daripada naratif lebih besar masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

“Matlamat kami adalah memastikan tiada siapa yang tercicir, bukan sahaja dalam dasar, malah juga dalam pelaksanaannya,” ujar beliau.