Kepimpinan yang diterajui Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad sepanjang tujuh tahun lalu telah memainkan peranan penting dalam membantu mempertingkat masyarakat Melayu/Islam dalam pelbagai aspek, termasuk pendidikan, agama dan kebajikan, kata pemimpin masyarakat.
Bahkan, kepimpinannya juga telah menyatupadukan masyarakat untuk bukan hanya membantu golongan memerlukan di dalam negara, bahkan mereka yang kurang bernasib baik di luar negara, contohnya, sokongan bantuan kemanusiaan untuk mangsa konflik di Gaza, tambah pemimpin masyarakat itu yang dihubungi Berita Harian (BH) pada 22 Mei.
“Kepimpinan beliau telah membawa pelbagai pencapaian bermakna kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura, termasuk dalam aspek perpaduan, pendidikan, kebajikan dan pembangunan jangka panjang,” kata Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Encik Abdul Halim Kader.
Beliau memberi contoh inisiatif seperti M Kuasa Tiga (M³), meneruskan rancangan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), usaha memperteguh perpaduan dan kesedaran melawan radikalisasi, dan juga menyokong isu kemanusiaan di Gaza.
“Beliau memimpin inisiatif besar menggerakkan kutipan jutaan dolar melalui tabung-tabung masjid bagi membantu rakyat Gaza, mencerminkan keprihatinan masyarakat Islam Singapura terhadap isu antarabangsa yang dekat di hati umat,” tambah Encik Abdul Halim.
Presiden Pertapis, Encik Mohamed Shaharin Mohamed Nordin, berkata sebagai penaung badan itu sejak 2018, Encik Masagos secara konsisten memberi tumpuan pada usaha memperkasa masyarakat untuk “bangkit mengatasi keadaan kami sebelum ini dan memastikan kanak-kanak, wanita, keluarga dan warga emas dijaga dan diutamakan”.
“Di bawah bimbingannya, masyarakat telah mengharungi cabaran besar, seperti Covid-19, di mana badan-badan Islam seperti Pertapis menerima sokongan penting untuk meneruskan perkhidmatan kami.
“Sokongannya bagi badan seperti Pertapis dalam menangani cabaran masyarakat dalam beberapa cara telah memainkan peranan penting untuk memperkukuhkan daya tahan masyarakat kita dan memupuk perpaduan,” kata beliau.
Encik Masagos akan melepaskan portfolionya sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada 23 Mei, digantikan oleh Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang akan dilantik sebagai Pemangku Menteri.
Perubahan itu adalah sebahagian daripada pengumuman barisan Kabinet baru oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 21 Mei, menyusuli Pilihan Raya Umum (GE) 2025 pada 3 Mei.
Menyentuh tentang SCIS, presiden pertubuhan antara agama, hash.peace, Cik Nazhath Faheema, berkata kolej tersebut adalah langkah yang perlu dan tepat pada masanya untuk memupuk pemimpin agama masa depan yang bukan hanya berpengetahuan dalam ilmu agama, malah peka dengan cabaran hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Saya berterima kasih kepada Encik Masagos atas pandangan jauh dan kepimpinannya dalam membentuk usaha asas ini.
“Saya berharap kepimpinan baru akan membina legasinya – dan Encik Masagos akan terus menyokong pertumbuhan inisiatif ini dalam cara lain yang bermakna,” kata beliau.
Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, pula berkata sepanjang perkhidmatan beliau, Encik Masagos telah cuba memperkasa golongan agamawan dan menyatukan sumber masyarakat melalui M³.
“Untuk itu, kita berterima kasih atas titik peluh dan keikhlasan beliau walaupun ada yang mungkin berbeza pandangan dalam gerak kerja mahupun pandangan politik,” kata beliau.
Anggota Majlis Penyelaras Harmony Circle, Encik Fazlur Rahman Kamsani, pula mengucapkan terima kasih kepada Encik Masagos atas sumbangan beliau dan usaha lanjutan untuk memajukan masyarakat dalam mengharungi cabaran yang dihadapi.
Beliau berkata dua inisiatif di bawah kepimpinannya – Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) dan M³ – merupakan strategi dan langkah proaktif dalam memenuhi keperluan masjid dan madrasah, pembangunan asatizah dan keperluan masyarakat.
Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, pula mengimbas kembali kenangan Encik Masagos menghadiri pelbagai sesi dialog dan pendekatan masyarakat, di mana beliau mengambil masa untuk mendengar dengan penuh perhatian dan bercakap dengan ikhlas.
Satu detik bermakna adalah kunjungan beliau ke ibu pejabat Persatuan Muhammadiyah pada 2021, dengan Encik Masagos mengambil masa untuk memahami tugas yang dilakukan badan itu.
Beliau turut memberi galakan dan sokongan bagi kegiatan dan rancangan mereka untuk menaik taraf bangunan ibu pejabat supaya dapat memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Masagos atas perkhidmatan beliau yang berdedikasi selama bertahun-tahun.
“Kepimpinan beliau telah menjadi sumber kestabilan dan inspirasi kepada masyarakat Islam, terutama pada waktu yang mencabar,” kata beliau.
“
“Di bawah bimbingannya, masyarakat telah mengharungi cabaran besar, seperti Covid-19, di mana badan-badan Islam seperti Pertapis menerima sokongan penting untuk meneruskan perkhidmatan kami. Sokongannya bagi badan seperti Pertapis dalam menangani cabaran masyarakat dalam beberapa cara telah memainkan peranan penting untuk memperkukuhkan daya tahan masyarakat kita dan memupuk perpaduan.”“
“Saya berterima kasih kepada Encik Masagos atas pandangan jauh dan kepimpinannya dalam membentuk usaha asas ini (meliputi apa jua perkara). Saya berharap kepimpinan baru akan membina legasinya – dan Encik Masagos akan terus menyokong pertumbuhan inisiatif ini dalam cara lain yang bermakna.”“
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Masagos atas perkhidmatan beliau yang berdedikasi selama bertahun-tahun. Kepimpinan beliau telah menjadi sumber kestabilan dan inspirasi kepada masyarakat Islam, terutama pada waktu yang mencabar.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg