Pemimpin masyarakat Melayu/Islam mengalu-alukan perubahan kepimpinan dalam hal ehwal masyarakat Islam, sambil melahirkan keyakinan bahawa Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim akan terus memperjuangkan kepentingan masyarakat dan membina usaha yang telah dilakarkan Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Melahirkan penghargaan kepada Encik Masagos, pemimpin masyarakat yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata kepimpinan beliau selaku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam sepanjang tujuh tahun lalu telah membawa pelbagai pencapaian untuk masyarakat dalam bidang yang berbeza, termasuk pendidikan, kebajikan dan agama.
Mereka turut melahirkan harapan dapat bekerjasama dengan Dr Faishal, yang disifatkan sebagai individu yang dekat dengan masyarakat dan telah bekerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam sejak bertahun lalu.
Dr Faishal akan dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, sebagai sebahagian daripada pengumuman barisan Kabinet baru oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 21 Mei.
Encik Masagos akan melepaskan portfolionya sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada 23 Mei, tetapi akan kekal sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Presiden, Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, berkata kepimpinan Encik Masagos tiba pada masa kritikal, terutamanya semasa pandemik Covid-19 tatkala masyarakat memerlukan jaminan dan bimbingan kukuh.
“Satu legasi penting dalam tempoh perkhidmatan beliau ialah pengukuhan inisiatif M³ – yang menyatukan Muis, Mendaki dan PA Mesra – yang telah memainkan peranan penting dalam menyelaras perkhidmatan masyarakat, dan yang mana Muhammadiyah dapat bekerjasama.
“Selain itu, Menteri Masagos memperjuangkan beberapa inisiatif jangka panjang utama untuk masyarakat Islam, termasuk pembangunan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang meletakkan asas yang mampan bagi masa depan sosioagama dan dermawan masyarakat,” kata beliau.
Selain M³ dan WMS, usaha dan inisiatif lain di bawah kepimpinan Encik Masagos yang membawa peningkatan untuk pembangunan jangka panjang masyarakat termasuk meneruskan rancangan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dan usaha memperkukuh institusi masjid serta pembangunan asatizah, kata para pemimpin.
Presiden pertubuhan antara agama hash.peace, Cik Nazhath Faheema, berkata inisiatif sedemikian bukan hanya program, malah rangka kerja yang mencerminkan visi jangka panjang, dengan M³ terutamanya telah menjadi model strategik bagi kerjasama seluruh masyarakat.
“Semasa pendekatan saya bersama pemimpin masyarakat sivil serantau di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS), saya perhatikan bagaimana inisiatif M³ Singapura bukan hanya dikagumi tetapi dilihat sebagai aspirasi – menawarkan pengajaran berharga bagi masyarakat Islam minoriti lain di seluruh dunia,” kata beliau.
Para pemimpin masyarakat turut melahirkan sokongan mereka bagi Dr Faishal, sambil menambah bahawa mereka yakin beliau akan terus mendekati masyarakat dengan lebih rapat.
Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Encik Abdul Halim Kader, berkata pertubuhannya penuh yakin bahawa Dr Faishal akan dapat menggalas amanah yang pernah dipikul oleh mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam terdahulu – termasuk Dr Ahmad Mattar, Encik Abdullah Tarmugi, Dr Yaacob Ibrahim, dan Encik Masagos – untuk terus membawa masyarakat Melayu/Islam ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing dalam arus pembangunan negara.
“Taman Bacaan juga komited untuk terus bekerjasama erat dengan Dr Faishal dan agensi-agensi berkaitan dalam usaha memperkasa masyarakat melalui pendidikan, pemerkasaan belia dan pemupukan nilai integriti dalam kalangan generasi muda,” kata beliau.
Presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, pula berkata Dr Faishal rapat dengan masyarakat dan berinteraksi dengan badan-badan Melayu/Islam secara intensif.
“Beliau menghadiri acara dan berusaha memahami isu-isu dalam masyarakat. Beliau tidak pernah mengelak dalam menangani keperluan masyarakat kita.
“Saya menanti-nantikan dasar-dasar beliau memandang ke hadapan,” kata beliau.
Dalam sidang media pengumuman barisan Kabinet baru, Encik Wong telah memberikan jaminan bahawa Dr Faishal dan Menteri Negara Kanan, Encik Zaqy Mohamad – yang akan dilantik pengerusi Mendaki – akan bekerjasama dengan penjawat politik dan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam yang lain untuk mendekati masyarakat Melayu/Islam Singapura.
Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkata AP Melayu yang terlantik bertanggungjawab memajukan masyarakat Melayu/Islam secara kolektif.
Sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal berada di posisi paling penting dan kepimpinan beliau akan mempunyai impak jangka panjang, tambah beliau.
“Oleh itu, Dr Faishal harus mengambil kira perkembangan masyarakat yang lebih luas dan tidak hanya melihat masyarakat Melayu/Islam dalam lensa yang terpisah dari perkembangan luar dan di peringkat nasional.
“Untuk itu, harus ada koordinasi dengan agensi-agensi pemerintah lain di dalam pengintegrasian isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Melayu/Islam,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg