Pekerjaan pertama mungkin bukan pilihan utama, dan itu tidak mengapa.

Demikian mesej utama majikan dan pakar sumber manusia kepada pencari kerja muda, di Ekspo Kerjaya SPH Media, yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 22 Ogos.

Daripada memburu pekerjaan idaman atau gaji permulaan yang tinggi, mereka boleh menilai peranan tersebut secara lebih meluas, kata Ketua Eksekutif agensi penyelesaian tenaga kerja Elitez Group, Encik Derrick Teo.

Ia seperti sama ada terdapat peluang untuk belajar, berkembang dan bekerja rapat dengan pucuk pimpinan yang membuat keputusan.

“Tidak mengapa jika pekerjaan pertama anda bukanlah pekerjaan impian anda,” kata Encik Teo semasa perbincangan panel mengenai ciri pemohon kerja atau lulusan baharu serta kriteria calon pilihan majikan.

Beliau juga menggalak pemohon kerja supaya berpandangan jauh apabila menimbang peluang yang ada.

Turut menyertai Encik Teo dalam panel tersebut ialah Pengarah Pengurusan Tenaga Kerja SMRT, Encik Terence Low; dan Pengasas serta Ketua Eksekutif Skills Development Academy, Encik Jim Giam.

Panel tersebut dikendalikan oleh Penolong Editor Perniagaan The Straits Times, Cik Cheong Poh Kwan.

Bagi syarikat besar seperti SMRT, yang menawarkan pelbagai peranan merentasi banyak fungsi, pengurus pengambilan pekerja juga melihat keupayaan calon pada masa mereka diambil bekerja.

Menurut Encik Low, calon yang menonjol ialah mereka yang mempunyai sikap yang betul, sanggup belajar, bekerjasama dan memikul tanggungjawab.

Di samping itu, calon juga perlu menunjukkan potensi untuk berkembang bersama syarikat.

Encik Low berkata kebanyakan resume yang diterimanya kini kelihatan sangat baik kerana calon boleh menghasilkannya dengan bantuan AI.

Untuk menonjol, calon perlu berkongsi tentang latihan industri atau pengalaman kerja mereka yang lain.

Encik Giam berkongsi bahawa calon harus melakukan lebih daripada sekadar menyenaraikan perisian AI yang boleh mereka gunakan di dalam resume.

Tunjukkan bukti mereka telah menggunakan AI untuk meningkatkan mutu kerja mereka atau menghasilkan penyelesaian, katanya, sambil menambah bahawa calon yang menunjukkan daya inisiatif akan lebih menonjol.

Ekspo kerjaya selama dua hari itu menghimpunkan 34 majikan, agensi dan penyedia latihan yang mengambil bahagian merentasi pelbagai sektor daripada penerbangan dan penjagaan kesihatan hinggalah kepada pengangkutan, keselamatan dan hartanah.

Ia berlangsung sehingga 23 Ogos, dari 10 pagi hingga 6 petang.

Pengunjung boleh meneroka peluang latihan dan kerjaya di reruai yang disediakan dan menghadiri perbincangan panel dan taklimat kerjaya.