Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wira kebakaran River Valley: Jangan terjun, saya akan bantu anda

Apr 9, 2025 | 8:31 PM
Seramai enam orang dewasa berumur antara 23 dengan 55 tahun, dan 16 kanak-kanak, berumur antara enam dengan 10 tahun, terjejas dalam kebakaran di 278 River Valley Road pada 8 April.
Seramai enam orang dewasa berumur antara 23 dengan 55 tahun, dan 16 kanak-kanak, berumur antara enam dengan 10 tahun, terjejas dalam kebakaran di 278 River Valley Road pada 8 April. - Foto ST

Jeritan kanak-kanak yang jelas ketakutan dan dalam bahaya menyentak seorang pekerja binaan, Encik Shakil Mohammad, yang sedang gigih bertugas berhampiran River Valley Road pada 8 April.

Pekerja warga Bangladesh itu terlihat sebuah rumah kedai berhampiran terbakar dan beberapa kanak-kanak berdiri di belebas bangunan di tingkat tiga, dan dengan segera berlari untuk membantu.

Encik Shakil, 35 tahun, memberitahu akhbar The Straits Times pada 9 April: “Kanak-kanak itu mahu terjun. Saya kata, ‘Jangan terjun! Saya akan tolong kamu.’”

Beliau dan beberapa pekerja lain menggunakan tangga dari tapak binaan untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

Tomato Cooking School, yang menganjurkan kursus memasak dan kem untuk kanak-kanak, terletak di rumah kedai itu.

Encik Shakil yang bekerja di Singapura sejak 2018, berkata: “Seorang budak perempuan dihulurkan kepada saya. Matanya tertutup dan dia tidak bergerak. Api sangat panas.

“Kalau saya mati, tidak mengapa. Yang penting, saya selamatkan mereka.”

Beliau yang memiliki semangat wira ini percaya mereka berjaya menyelamatkan 10 kanak-kanak. Malangnya, tiga lagi masih terperangkap di dalam bangunan.

“Saya nak masuk untuk tolong, tapi apinya terlalu berbahang dan besar. Saya tidak boleh jelaskan betapa sedihnya hati saya,” kataya dengan sebak.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dimaklumkan mengenai kebakaran di 278 River Valley Road kira-kira 9.45 pagi pada 8 April.

Polis berkata mangsa termasuk enam orang dewasa, berumur antara 23 dengan 55 tahun, di samping 16 kanak-kanak berusia antara enam dengan 10 tahun.

Salah seorang daripada orang dewasa itu kini berada dalam keadaan stabil, menurut anak perempuannya.

Anak perempuannya, yang enggan memberi nama sendiri dan nama ibunya, memberitahu Berita Harian (BH) ibunya dikejarkan ke hospital dan diletakkan dalam bilik pemerhatian untuk keseluruhan hari kejadian, iaitu 8 April.

Beliau juga enggan memberitahu hospital mana ibunya dirawat.

“Ibu saya baru sahaja dipindahkan ke wad hari ini (9 April). Doktor kata beliau dalam keadaan stabil.

“Doktor telah mengesan tahap karbon dioksida tinggi dalam badan ibu saya, tetapi ia kini telah berkurangan,” jelasnya.

Menurutnya, ibunya merupakan salah seorang kakitangan dan cikgu di Tomato Cooking School.

Sebelum kelas dimulakan, mereka terdengar letupan kuat di bahagian bawah bangunan, tambahnya.

“Menurut ibu saya, sekolah itu tidak dilengkapi dengan pemercik air di siling. Hanya ada satu pintu keluar, dan ia pula terbakar. Justeru, mereka terperangkap di sana.

“Jika bukan kerana tingkap itu, mereka semua mungkin sudah binasa,” kongsinya sambil menjelaskan ibunya mengalami kecederaan ringan ketika memanjat keluar dari tingkap bangunan itu.

Sementara itu, seorang budak perempuan berusia 10 tahun meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital. Jabatan Ehwal Luar dan Perdagangan Australia (DFAT) mengesahkan budak itu adalah warga Australia, dan ia sedang menyediakan bantuan konsular kepada keluarganya.

Pihak Tomato Cooking School berkata di Facebook mereka sedang bekerjasama dalam siasatan, dan memohon penghormatan dan privasi untuk keluarga mangsa.

Seorang lagi saksi, Encik Zainal Zin, 56 tahun, terlihat beberapa kanak-kanak berlari keluar dari bangunan dengan kesan terbakar. Ada yang pengsan dan dibawa keluar oleh anggota bomba.

“Saya takkan lupakan wajah mereka. Seorang budak perempuan tidak sedar... paramedik bergegas menjalankan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepadanya.

“Seorang budak lelaki kecil pula, kira-kira empat tahun, dibalut di kepala dan tangan, dan memeluk kuat seorang paramedik,” jelasnya.

Orang ramai termasuk pekerja asing menggunakan tangga dan perancah logam untuk membantu mereka yang terperangkap di tingkat tiga.

Encik Zainal menambah: “Saya tak dapat tidur malam tadi kerana terfikirkan kanak-kanak itu. Saya tak dapat bayangkan bagaimana perasaan ibu bapa mereka.”

Pegawai SCDF tiba di lokasi pada 9 April untuk melakukan siasatan. Lokasi itu kini telah dikepung.

Seorang jurucakap SCDF berkata ia akan memberikan Anugerah Penyelamat Masyarakat SCDF kepada mereka yang membantu.

Media India melaporkan salah seorang budak lelaki yang cedera ialah Mark Shankar, tujuh tahun, yang merupakan anak ahli politik India, Encik Pawan Kalyan.

Menurut parti politik, JanaSena, Mark mengalami kecederaan di kaki dan tangannya, dan telah menjalani rawatan bronkoskopi, iaitu prosedur yang melibatkan doktor memeriksa saluran pernafasan pesakit dengan menggunakan tiub dipasang dengan kamera.

Tambah parti itu, doktor berkata nyawa Mark tidak dalam bahaya.

Kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia itu adalah mangsa keempat kebakaran pada 2025. Pada Januari 2025, tiga sekeluarga maut dalam kebakaran di sebuah flat di Hougang.

Menurut data SCDF, lima orang meninggal dunia akibat kebakaran pada 2024, berbanding tiga orang pada 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg