Penghuni RKM ‘jalan Raya’ di Jewel
Kesayuan begitu dirasakan penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), Amir (bukan nama sebenar), dek tidak dapat kembali ke pangkuan keluarga pada Hari Raya 2026.
Namun, kesedihan remaja berusia 17 tahun itu terubat dengan peluang menyambut Aidilfitri di pusat beli-belah dan daya tarikan alam dan riadah, Jewel Lapangan Terbang Changi, pada 21 Mac.
Kunjungan itu begitu menggembirakan hati Amir dan 11 lagi penghuni RKM, yang tidak dapat beraya dengan keluarga.
Sambutan Raya di Jewel Lapangan Terbang Changi menyeronokkan kerana ia diisi dengan kegiatan riadah dan makan tengah hari yang membuka selera, dirancang dan dianjurkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), sempena Hari Raya Aidilfitri.
Para penghuni telah dibawa ke kawasan jaring lantun, atau bouncing net, di Jewel Lapangan Terbang Changi untuk bersuka ria sesama mereka dan turut menikmati jamuan makan tengah hari di Restoran Sampanman Kelong.
Sambutan yang kelihatan sederhana ini telah membawa makna yang besar bagi penghuni RKM.
Sedikit sebanyak, ia dapat menggantikan rasa kehilangan dengan keceriaan walaupun sekadar untuk seketika.
Amir yang telah menetap di RKM selama lima tahun, berkata:
“Memang saya rasa sedih tak dapat beraya dengan keluarga dan saya rindu mereka. Tapi di sini, saya ada kawan-kawan dan pegawai yang jaga kami seperti keluarga sendiri. Hari ini seronok, lain daripada biasa.”
Pada Aidilfitri 2026, 12 penghuni tidak berpeluang menyambut Raya dengan keluarga kerana kehilangan ibu bapa atau penjaga, ibu bapa di penjara, atau situasi yang belum sesuai dan selamat untuk mereka pulang.
Cik Indranee berkata: “Hari Raya adalah masa untuk keluarga bersama-sama meraikan hari yang penuh bermakna ini.
“Namun, tidak semua berpeluang bersama keluarga untuk menyambut Hari Raya, seperti sebahagian anak-anak di RKM.
“Oleh itu, kami menganjurkan lawatan ini agar mereka dapat meraikan bersama sebagai sebahagian daripada keluarga komuniti yang lebih besar.
“Saya berharap pengalaman hari ini akan menjadi kenangan Hari Raya yang indah buat mereka dan kami menantikan peluang untuk mencipta lebih banyak kenangan manis bersama mereka di masa hadapan.”
Justeru, bagi 12 penghuni yang tidak dapat pulang beraya tahun ini, kesejahteraan emosi mereka dipastikan kekal terjaga.
Malah, ahli Jawatankuasa Pengurusan RKM dan pegawai kes turut meluangkan masa untuk berinteraksi dan memantau keadaan emosi mereka serta memberikan sokongan yang diperlukan.
Hal itu sekali gus dapat membawa suasana kemesraan dan sokongan pada musim perayaan ini.
Presiden Persatuan Muhammadiyah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan RKM, Ustaz Muhammad Azri Azman, berkata:
“Kami amat menghargai sokongan sebegini daripada Cik Indranee. Ia membawa kegembiraan kepada penghuni kami dan memberi makna yang besar, khususnya kepada mereka yang menyambut Raya tanpa keluarga.”

