Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua Pegawai Waran Melayu pertama SAF

Jun 27, 2025 | 8:00 PM
Singapura, SAF, Pegawai Waran Kanan, SWO Zulkarnaen Hussain, naik pangkat
Pegawai Waran Kanan (SWO) Zulkarnaen Hussain, 53 tahun, mengukir sejarah apabila dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Waran (CWO) Melayu pertama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) berkuat kuasa pada 1 Julai. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Di sebalik seragam mereka yang segak dan berwibawa, pegawai Polis Tentera (MP) seperti Pegawai Waran Kanan (SWO) Zulkarnaen Hussain sering disalah anggap. 

Dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), kehadiran mereka di kem lazimnya mencetuskan kegelisahan dalam diri anggota tentera – satu tanggapan bahawa MP hadir untuk menjalankan pemeriksaan mengejut atau mengambil tindakan disiplin. 

Namun, di sebalik imej yang tampak tegas dan berdisiplin itu, tersembunyi wajah mesra dan keihsanan pegawai MP ini. 

Dalam kebanyakan keadaan sedemikian, kehadiran SWO Zulkarnaen hanyalah untuk menghadiri mesyuarat, membuat lawatan rutin atau sekadar bertemu rakan setugas.

Perbezaan antara persepsi dengan realiti menjadi antara asam garam sepanjang kerjayanya. 

Pegawai Pemerintah Sekolah Vokasional Keselamatan dan Kepolisan di Institut Latihan Pertahanan Pulau (IDTI), SWO Zulkarnaen, 53 tahun, akan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Waran (CWO) pada 1 Julai – pangkat tertinggi yang boleh dicapai oleh pegawai waran dalam SAF.

Beliau antara sekitar 1,200 anggota SAF yang menerima sijil semasa Majlis Kenaikan Pangkat Kementerian Pertahanan (Mindef)/SAF daripada Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, yang berlangsung pada 26 dan 27 Jun di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) baru di Hillview Link.

Dalam satu wawancara dengan Berita Harian (BH), SWO Zulkarnaen berkongsi tanggapan terhadap peranan MP sering kali tidak selari dengan hakikat sebenar tugas mereka.

Beliau berkata: “Ramai yang melihat seragam kami lalu menyangka kami datang untuk melakukan pemeriksaan mengejut.

“Namun hakikatnya, itulah pakaian harian kami – sama seperti anggota lain yang datang menjalankan tugas. Kadangkala saya hanya datang untuk menghadiri mesyuarat, meninjau latihan atau sekadar bertemu rakan setugas.”

Beliau menjelaskan bahawa kekeliruan itu bukanlah sesuatu yang baru, malah ia sering tercetus setiap kali seorang pegawai MP melangkah masuk ke pekarangan kem.

Di samping melakukan pemeriksaan rasmi, SWO Zulkarnaen turut menjadi mentor, pendidik dan rakan seperjuangan.

Bagi beliau, memahami peranan sebenar MP adalah kunci untuk membina kepercayaan dalam kalangan warga SAF – satu langkah penting ke arah angkatan bersenjata yang lebih bersatu dan berdaya saing.

Perjalanan kerjayanya bermula pada 1991, dengan minat terhadap pakaian seragam berputik seawal bangku sekolah tatkala beliau menyertai kegiatan kokurikulum (CCA) Pasukan Kadet Polis Kebangsaan (NPCC).

“Saya selalu suka melihat orang berpakaian seragam.

“Di NPCC, saya diajar tentang disiplin, tanggungjawab dan cara menjaga imej – semuanya membentuk asas untuk saya masuk tentera,” katanya.

Apa yang bermula sebagai minat terhadap pakaian seragam akhirnya berkembang menjadi kerjaya jangka panjang.

Selama 34 tahun, SWO Zulkarnaen, beliau dinaikkan pangkat – daripada pasukan darat kepada ketua pasukan, daripada pengajar kepada pegawai memerintah.

Pada setiap peringkat, beliau bukan sahaja mengasah keupayaan sendiri bahkan memainkan peranan penting dalam membentuk generasi Polis Tentera dan pasukan keselamatan.

Salah satu detik paling membanggakan dalam kerjayanya ialah penglibatannya dalam perbarisan Hari SAF atau SAF Day Trooping of Colours, satu acara istiadat tertinggi dalam SAF.

Malah beliau menyertai acara tersebut dalam tiga peranan berbeza – sebagai tentera atau ‘trooper’, Sarjan Mejar Kompeni (CSM) dan Sarjan Mejar Bertauliah.

“Saya rasa tidak ramai yang berpeluang untuk melalui ketiga-tiga peranan itu, dan bagi saya, ia sesuatu yang amat membanggakan,” katanya.

Sepanjang kerjayanya, CWO Zulkarnaen menyifatkan isteri serta tiga orang anaknya – dua anak perempuan berusia 28 dan 24 tahun, dan seorang anak lelaki berusia 26 tahun – sebagai tunjang sokongan yang tidak ternilai.

“Sejak awal perkahwinan, isteri saya tetap menjalankan tanggungjawab menguruskan rumah tangga, meskipun turut mempunyai kerjaya sendiri.

“Asas inilah yang membolehkan saya memberi sepenuh tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab dalam perkhidmatan negara.

“Apabila saya tahu segala-galanya di rumah sudah teratur, barulah saya boleh fokus sepenuhnya pada tugas saya,” ujar beliau.

SWO Zulkarnaen mencatat sejarah apabila dinaikkan pangkat kepada CWO, sekali gus menjadi pegawai Melayu pertama yang menyandang pangkat tertinggi dalam hierarki pegawai waran SAF.

“Saya berasa rendah hati dengan pengiktirafan ini kerana segala usaha dan kerja keras saya selama ini akhirnya diiktiraf dan diberi penghargaan,” katanya.

Menjelang kenaikan pangkatnya Ketua Pegawai Waran pada 1 Julai, SWO Zulkarnaen bertekad untuk terus berkhidmat dengan lebih gigih termasuk menyepadukan teknologi sedia ada ke dalam sistem latihan.

“Matlamatnya ialah untuk melengkapkan para pelatih dengan kemahiran teknologi yang terkait, agar mereka lebih bersedia untuk melaksanakan operasi masa hadapan dengan lebih cekap dan berkesan,” ujar beliau.

Saya berasa rendah hati dengan pengiktirafan ini kerana segala usaha dan kerja keras saya selama ini akhirnya diiktiraf dan diberi penghargaan.
Pegawai Waran Kanan (SWO) Zulkarnaen Hussain.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg