Si adik siap berbaju Melayu dan bersongkok, sementara kakaknya lengkap berjubah.
Megat Muhammad Eshan Muhammad Eusoff, enam tahun, dan Anggun Qaisarah Mohammed Fitri, 11 tahun, menyangka mereka akan berjalan Raya bersama ibu mereka.
Namun, tanpa diduga, kededua beradik itu mendapat kejutan daripada ibu mereka, Cik Tengku Azreena Herdawati Tengku Azmanshah – mereka sebenarnya ke Lapangan Terbang Changi untuk menyambut ketibaan ayah tersayang yang dijadual pulang daripada misi mencari dan menyelamat di Myanmar.
Bapa mereka, Kapten (NS) Muhammad Eusoff Muhammad Idris, dan 79 anggota pasukan Operasi Lionheart lain pulang ke pangkuan anggota keluarga pada 8 April selepas 11 hari menjalankan misi tersebut menyusuli gempa kuat yang melanda Myanmar.
Kepulangan pasukan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) itu turut disambut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, serta Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Semasa ditemui wartawan, Cik Tengku Azreena Herdawati, berkata:
“Anak-anak pada awalnya tidak tahu rancangan sebenar. Mereka menyangka akan pergi beraya, tapi sebenarnya nak sambut ayah mereka di lapangan terbang.”
Gempa sekuat 7.7 mengikut skala Richter itu yang berlaku pada 28 Mac telah meragut lebih 3,400 nyawa dan mencederakan 4,600 orang, dengan jumlah kematian masih dikemas kini.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 17 juta orang terjejas dalam kejadian tersebut.
Antara anggota kontinjen Singapura, yang terdiri daripada 80 orang itu, termasuk Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana elit, doktor Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa, paramedik, serta pakar carian dan bahan berbahaya.
Sementara itu, Kapten (NS) Muhammad Eusoff menyifatkan misi tersebut sebagai penuh emosi, namun beliau melahirkan rasa bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga.
“Sekarang, saya dah bersedia untuk pulang dan habiskan masa bersama mereka,” katanya, yang akan pulang ke rumah dan menikmati lauk Hari Raya yang dimasak isterinya.
Semasa ditemui media, Encik Shanmugam meluahkan penghargaan terhadap pasukan tersebut dan menyifatkan usaha mereka itu sebagai “satu pengorbanan” terutama bagi 48 pegawai Melayu/Islam.
“Anda berdepan risiko besar – dengan gegaran susulan, keadaan geografi dan binaan di kawasan tersebut.
“Namun dalam situasi berisiko itu, anda tetap melaksanakan tugas. Anda menyelamatkan nyawa, menubuhkan pos perubatan dan mengagihkan ubat kepada penduduk,” ujar beliau.
Sama ada di luar mahupun di dalam negara, Encik Shanmugam berkata SCDF sentiasa bersiap sedia sambil memetik kejadian kebakaran yang berlaku pada 8 April di sebuah rumah kedai tiga tingkat di River Valley yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
Beliau berkata: “Tetapi SCDF bertindak pantas untuk menyelamatkan dan membantu sedaya upaya...
“Namun pada bila-bila masa, sama ada di Singapura – terutamanya untuk Singapura – mahupun di luar negara, SCDF sentiasa bersiap sedia untuk berkhidmat.”
Dr Faishal, yang turut berkongsi rasa bangganya, menyifatkan misi kemanusiaan tersebut sebagai cerminan nilai yang dipegang oleh masyarakat Singapura.
“Ini menunjukkan bahawa Singapura bukan sahaja mempunyai daya tahan dan kecekapan, malah semangat untuk melakukan kerja-kerja baik – bukan sekadar menyelamatkan nyawa di negara kita, bahkan juga memberi sokongan dan pemulihan kepada mereka yang dilanda bencana di luar negara,” kata beliau selepas pasukan tersebut bertemu semula dengan anggota keluarga masing-masing.
Kesiapsiagaan sedemikian akan terus diamalkan, dengan latihan harian yang membantu anggota SCDF memperkukuh kemahiran serta ketahanan fizikal mereka, tambah Dr Faishal, apatah lagi “dengan dunia yang semakin berubah, dan bencana pula semakin kompleks”.
Seorang lagi isteri kepada seorang anggota Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (SCDF) (Dart), Cik Nur Izyan Zainudin, 37 tahun, turut menyambut kepulangan suaminya, Pegawai Waran 1 (WO1) Encik Muhammad Halifi Sulaiman.
“Saya rasa bangga. Pertama sekali, beliau telah menyelamatkan seseorang, jadi kami rasa bangga dan gembira kerana beliau telah membanggakan negara kita,” ujar beliau yang hadir bersama anaknya, ibu bapa mentua serta adik iparnya.
Kontinjen Singapura itu dikerah untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.
Mereka tiba di Yangon pada 29 Mac dan meneruskan perjalanan ke Naypyidaw.
Pasukan Operasi Lionheart telah menyumbangkan bekalan penting seperti khemah, makanan dalam tin dan makanan siap dimakan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba Myanmar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg