Kontinjen Singapura seramai 80 orang yang dihantar untuk membantu Myanmar yang dilanda gempa bumi akan pulang pada 8 April, selepas menyelesaikan misi mencari dan menyelamat sekitar 10 hari.
Pasukan Operasi Lionheart telah menyumbangkan bekalan penting seperti khemah, makanan dalam tin, dan makanan siap dimakan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba Myanmar.
Demikian menurut satu hantaran di Facebook oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 7 April.
Ketua pasukan, Kolonel (COL) Tay Zhi Wei, turut menyampaikan pemotong hidraulik kepada pengarah umum perkhidmatan bomba Myanmar, sebagai wakil pasukan SCDF.
Pemotong itu sangat penting dalam menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan tiga tingkat, yang sebahagiannya musnah pada 30 Mac, lapor The Straits Times (ST).
Pemotong tersebut berjaya memotong ‘rebar’ atau besi penguat pada konkrit yang menimpa lelaki tersebut dalam ruang yang sangat sempit. Ia telah membantu membebaskannya, kata SCDF.
Alat itu kini menjadi lambang persahabatan antara SCDF dengan rakan sejawat mereka di Myanmar, yang akan terus menyelamatkan nyawa.
Pasukan Lionheart turut menyumbang dua khemah kepada Hospital Wanita Naypyidaw, serta lima khemah, ubat-ubatan, dan bekalan perubatan kepada Hospital Umum Naypyidaw.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Nasional di ibu kota Naypyidaw mengadakan majlis penghargaan untuk pasukan mencari dan menyelamat bandar antarabangsa dari Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina, dan Singapura.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 6 April, SCDF berkata Pasukan Operasi Lionheart telah menemui satu mayat dari runtuhan sebuah hotel yang musnah, terperangkap di bawah lapisan konkrit dan besi.
Pasukan yang dikerahkan sepenuhnya buat kali pertama sejak 2023 itu telah memeriksa 26 lokasi dan memberi bantuan perubatan kepada sekitar 130 penduduk tempatan setakat hari tersebut.
Mereka tiba di ibu kota Myanmar pada 29 Mac selepas gempa bumi terburuk yang melanda negara itu dalam satu abad.
Gempa sekuat 7.7 mengikut skala Richter itu telah meragut lebih 3,400 nyawa dan mencederakan 4,600 orang, dengan jumlah kematian masih dikemas kini.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 17 juta orang terjejas.
Antara anggota kontinjen Singapura yang terdiri daripada 80 orang itu adalah Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana elit, doktor Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa, paramedik, serta pakar carian dan bahan berbahaya.
Mereka dijangka pulang dengan pesawat Singapore Airlines (SIA) di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg