Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LBKM lantik pemangku presiden ganti Syed Harun

Djuanda Kamid ambil alih Syed Harun yang meletak jawatan untuk beri tumpuan kepada politik
Jun 9, 2025 | 6:38 PM
djuanda kamid, lbkm, presiden
Encik Djuanda Kamid akan memegang jawatan Pemangku Presiden di Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) sehingga Jun 2026. - Foto LBKM

Encik Djuanda Kamid telah dilantik sebagai Pemangku Presiden di Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) bagi baki penggal majlis semasa, sehingga Jun 2026.

Beliau mengambil alih daripada Dr Syed Harun Alhabsyi yang meletak jawatan sebagai presiden LBKM untuk memberi tumpuan kepada pelantikan politiknya baru-baru ini, menurut kenyataan LBKM pada 9 Jun.

Sebagai anggota LBKM yang telah lama berkhidmat, Encik Djuanda, seorang banker bersara, telah berkhidmat sebagai penolong bendahari kehormat (1994 hingga 1995, dan 2020 hingga 2022), bendahari kehormat (2016 hingga 2018) dan timbalan presiden (2018 hingga 2020, dan 2022 hingga kini) organisasi tersebut.

Beliau aktif dalam kerja kemasyarakatan termasuk berkhidmat dalam jawatankuasa kecil kewangan Mendaki, serta beberapa Lembaga Pengurusan Masjid seperti Masjid En Naeem dan Masjid Tentera.

Encik Djuanda juga berpengalaman menguruskan portfolio beberapa klien korporat dengan fokus terhadap keperluan mereka di Asia Tenggara, Jepun dan Australia.

Sebelum persaraannya sebagai jurubank, beliau merupakan naib presiden di Scandinaviska Enskilda Banken (SEB), salah sebuah bank terbesar Sweden.

Menurut kenyataan LBKM, Dr Djuanda melahirkan penghargaan beliau terhadap khidmat Dr Syed Harun sepanjang beliau di LBKM.

“Kepimpinan Dr Harun memang luar biasa. Beliau memimpin dengan rendah hati dan komitmen yang kuat terhadap kesaksamaan dalam pendidikan.

“Kami yakin beliau akan membawa dedikasi yang sama kepada perkhidmatan awam dan kami mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam memulakan babak perkhidmatan seterusnya,” katanya.

Tambah kenyataan itu, sebelum menjadi presiden LBKM, Dr Syed Harun telah berkhidmat sebagai anggota lembaga LBKM sejak 2012.

Sepanjang kepimpinannya pula, Dr Syed Harun memperkukuh penglibatan penderma dan mengembangkan perkongsian dan kerjasama LBKM.

Beliau juga secara aktif menyelia inisiatif yang memberi tumpuan kepada menyokong pendidikan dan meningkatkan kehidupan masyarakat.

Ini termasuk menubuhkan Endowmen Biasiswa Sains Sosial di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Nasional Singapura (NUS).

Selain itu, dua biasiswa baru dilancarkan dengan kerjasama Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Masjid Khalid di bawah kepimpinannnya.

LBKM juga telah diamanahkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk mentadbir Dermasiswa Muis-Madrasah.

Sebagai sebahagian legasi Dr Syed Harun, LBKM berkata di bawah model baru Tabung Wakaf 60 Tahun LBKM, penderma boleh menderma sebarang jumlah yang diinginkan dan LBKM akan memadankan 50 peratus daripada sumbangan tersebut, bagi setiap $100,000.

Badan tersebut juga telah memperuntuk jumlah awal $1 juta untuk memadankan sumbangan penderma.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg