Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih $1.3j dikumpul bantu anak pesalah dadah teruskan pendidikan

Lebih $819,000 telah diagihkan kepada pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga universiti
Oct 7, 2025 | 9:00 PM
golf amal orchid country club, dana pendidikan harun ghani
Seramai 141 pemain golf menyertai acara Golf Amal di Orchid Country Club pada 7 Oktober. Bersama mereka ialah mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim (baris depan, empat dari kanan) yang juga penaung HGEF; mantan Setiausaha Parlimen Kanan Encik Hawazi Daipi (baris depan, empat dari kiri) dan Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, (baris depan, lima dari kiri). Cik Haslinda Putri Harun (baris depan, enam dari kanan) turut menampilkan sokongan sebagai Setiausaha Kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Lebih $1.3 juta berjaya dikumpul Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) sejak ia ditubuhkan pada 2005 demi membantu anak-anak dari keluarga yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah dan jenayah.

Selama dua dekad, pertubuhan itu telah menyalurkan bantuan pendidikan, bimbingan mentor serta sokongan holistik kepada lebih 4,000 kanak-kanak yang berdepan cabaran sosial dan kewangan akibat latar belakang keluarga yang kurang bernasib baik.

Secara keseluruhan, lebih $819,000 telah diagihkan kepada pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga universiti buat masa ini.

Pencapaian tersebut diumumkan Pengerusi Pengumpulan Dana HGEF, Profesor Madya Dr Rashid Tahir, dalam ucapannya di Acara Golf Amal dan Makan Malam HGEF di Orchid Country Club pada 7 Oktober.

“Penerima bantuan kami bukan sahaja berdepan dengan kesempitan kewangan, malah turut menanggung beban emosi apabila melihat ibu atau bapa mereka dipenjara atau menjalani pemulihan.

“Sumbangan dana ini membolehkan kanak-kanak tersebut bangkit semula dalam kehidupan mereka sambil menyuntik semangat kepada anggota masyarakat lain,” kata Dr Rashid.

Acara golf amal itu disertai 141 pemain golf termasuk mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim yang juga penaung HGEF; mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Hawazi Daipi; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut hadir selaku tetamu terhormat bagi acara jamuan malam.

Dalam ucapannya, Dr Faishal mengalu-alukan sokongan orang ramai untuk terus membantu golongan tersebut.

“Acara amal seperti ini membuktikan bahawa akan sentiasa ada peluang untuk menampilkan sifat ihsan, demi membawa kegembiraan sambil menyentuh kehidupan antara satu sama lain.

“Saya yakin, nilai-nilai ini mampu membentuk sebuah masyarakat yang lebih baik, masyarakat yang penyayang dan inklusif,” katanya.

Inisiatif tersebut turut menerima sumbangan besar dari pasar raya Sheng Siong, Yayasan Salleh Marican dan Dana Bamboo Lotus.

Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun berkata:

“Pencapaian ini mencerminkan kebaikan, kemurahan hati dan keyakinan masyarakat terhadap usaha kami.

“Sumbangan sebanyak $1.3 juta juga menunjukkan kesan usaha kami dalam membantu pendidikan kanak-kanak.”

Tahun ini, pelajar sekolah rendah menerima bantuan bernilai $150, pelajar sekolah menengah menerima $200, manakala pelajar maktab rendah dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) menerima sebanyak $250.

Pelajar politeknik pula menerima $1,500 sementara mahasiswa universiti menerima $2,500.

Antara mereka yang pernah menerima bantuan tersebut ialah Encik Rizal Mustafa, 36 tahun, yang berkata bantuan daripada HGEF pada 2015 mencetuskan perubahan dalam kehidupannya dan mendorong beliau bangkit.

Membesar dalam keluarga yang terjejas akibat penyalahgunaan dadah, beliau berkata bapanya keluar masuk penjara lebih 10 kali ketika beliau masih kecil.

Ketika itu, beliau sedang menuntut di Politeknik Temasek (TP) dalam jurusan kejuruteraan elektronik.

Beliau menerima bantuan kewangan HGEF sebanyak $1,500 bagi menampung sebahagian daripada perbelanjaan keluarga.

“Ibu saya pastikan saya dan adik-beradik tidak berhenti sekolah walaupun hidup susah,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Beliau menambah bantuan HGEF bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarganya, malah memberi dorongan untuk terus menuntut ilmu.

“HGEF beri saya peluang untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat politeknik.

“Rakan-rakan yang saya temui di bawah bimbingan HGEF turut memberikan ruang selamat untuk saya membesar dan meluahkan perasaan ketika mengemudi kehidupan sendiri,” ujar beliau, yang kini bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Kanan Sumber Manusia di Darul Arqam Singapura (MCAS).

Acara jamuan malam itu turut diadakan sempena ulang tahun ke-20 HGEF.

“Sempena pencapaian 20 tahun, kami bukan sahaja mengenang apa yang telah dicapai tetapi juga menantikan lebih banyak usaha yang dapat kami lakukan pada masa hadapan,” kata Dr Rashid.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan pelancaran Dana Pembangunan Belia HGEF untuk memupuk kepimpinan, daya kreativiti dan keupayaan dalam kalangan golongan belia.

Sebanyak $20,000 akan diperuntukkan untuk projek yang diketuai belia daripada keluarga kurang bernasib baik.

Setiap projek akan menerima $2,000 dan perlu memberi tumpuan untuk meningkatkan kesedaran antidadah atau kesejahteraan belia.

“Melalui usaha ini, kami berharap dapat memperkasa golongan muda untuk membina semula kehidupan mereka dan memberi inspirasi dan dorongan kepada orang lain dalam masyarakat ,” ujar Dr Rashid.

“Penerima bantuan kami bukan sahaja berdepan dengan kesempitan kewangan, malah turut menanggung beban emosi apabila melihat ibu atau bapa mereka dipenjara atau menjalani pemulihan. Sumbangan dana ini membolehkan kanak-kanak tersebut bangkit semula dalam kehidupan mereka sambil menyuntik semangat kepada anggota masyarakat lain.”
Pengerusi Pengumpulan Dana Harun Ghani, Profesor Madya Dr Rashid Tahir.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg