Walau tiada sawah padi atau rumah papan, suasana ‘balik kampung’ tetap akan terasa buat kira-kira 400 ahli keluarga keturunan Encik Mohd Diah dan Cik Jumirah, serta Encik Abd Latiff dan Cik Kartimun di HomeTeamNS Khatib pada 12 April.
Daripada bayi yang baru lahir hingga warga emas berusia 88 tahun, keluarga besar lima generasi itu diraikan dalam satu majlis Hari Raya yang menyatukan pelbagai generasi dan menggamit kenangan zaman dahulu.
“Rasa macam satu keluarga balik kampung, tapi versi bandar… Daripada kereta sorong bayi hinggalah ke skuter mobiliti warga emas – semua generasi bergerak dengan cara tersendiri untuk sampai ke sini,” kata Encik Zain, 52 tahun, seorang guru.
Bagi keluarganya, kemeriahan Hari Raya bukan terletak pada lokasi, tetapi pada kehangatan pelukan, gelak tawa sepupu-sepapat, dan tradisi turun-temurun yang terus dijaga di tengah kesibukan kehidupan.
Kali terakhir mereka menganjurkan perjumpaan Hari Raya berskala besar dan berhimpun dalam suasana sebegini adalah pada 2016.
Kini, setelah penantian lama disebabkan pandemik Covid-19, kehilangan ahli keluarga dan kesukaran menyelaras jadual, mereka akhirnya berkumpul semula di bawah satu bumbung.
“Kami rasa sudah tiba masanya. Ramai yang benar-benar merindui kemeriahan bersama keluarga besar, apatah lagi selepas bertahun-tahun tidak dapat bersua muka dalam satu majlis serentak,” ujar Encik Zain.
Mereka memilih HomeTeamNS Khatib sebagai lokasi perjumpaan kerana ia bukan sahaja selesa dan lengkap dengan kemudahan, tetapi juga mudah diakses bagi ahli keluarga dari seluruh pelosok Singapura.
Ruang yang luas, tempat letak kereta mencukupi dan mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menjadi antara faktor utama pemilihannya.
Antara kegiatan yang disediakan di majlis itu termasuk bacaan Al-Quran, tazkirah, kuiz keluarga, reruai mengambil gambar (photo booth) dan pelbagai permainan.
Tradisi bergambar sekeluarga, yang bermula sejak 1950-an, juga diteruskan sebagai kemuncak majlis.
Untuk menguruskan acara sebesar itu, sebuah ‘jawatankuasa keluarga’ telah dibentuk, terdiri daripada sukarelawan dalam kalangan ahli keluarga sendiri.
“Setiap aspek diuruskan, daripada tempat, makanan, program, pendaftaran, kutipan dana, penyambut tetamu, hingga ke audio visual (AV) dan permainan. Kami kerja macam nak kahwinkan 100 orang serentak!” seloroh Encik Zain.
Perjumpaan itu juga menjadi medan untuk mengenang ahli keluarga yang telah pergi.
Sejak perjumpaan terakhir pada 2016, ramai ahli keluarga telah mendirikan rumahtangga, menimang cahaya mata, dan ada juga yang kembali ke rahmatullah, kata Encik Zain.
“Perjumpaan ini beri peluang untuk mengenang mereka yang telah pergi dan perkenalkan generasi baru kepada keluarga besar mereka.
“Yang pergi tetap dalam doa kami, yang baru hadir disambut dengan kasih sayang,” tambahnya.
Bagi Encik Zain, Hari Raya bukan sekadar tentang baju baru, ia masa untuk bermaafan, menjalinkan silaturahim dan mengukuhkan kasih sayang sesama keluarga.
Malah, perjumpaan itu ibarat menghidupkan kembali kenangan silam dan menyuntik semangat baru dalam hubungan kekeluargaan.
“Peluk cium kali ini lebih bermakna, sebab kami tahu betapa lamanya kami menanti saat ini,” kongsi Encik Zain.
Disebabkan suasana perjumpaan itu, kenangan beraya di kampung dahulu juga terus segar dalam ingatannya, termasuk bermain bunga api dan menjamu selera dengan juadah istimewa.
Tambahnya, walaupun suasana kampung mungkin tiada, semangatnya tetap cuba dihidupkan semula dalam setiap perjumpaan seperti itu.
Mengulas tentang generasi anak muda dalam keluarganya, Encik Zain berkata mereka sangat teruja dapat belajar mengenali saudara mara, lantas membentuk jati diri sebagai sebahagian daripada legasi keluarga.
“Saya harap mereka akan belajar erti kekeluargaan, mengenal asal usul keturunan mereka dan memahami pentingnya silaturahim.
“Kalau kita tidak ajar mereka tentang keluarga, siapa lagi yang akan sambung kisah kita?” katanya.
Dalam setiap gambar dipetik, doa yang dilafaz dan tawa yang bergema, keluarga Encik Mohd Diah dan Cik Jumirah, serta Encik Abd Latiff dan Cik Kartimun menghayati makna Hari Raya yang sebenar, iaitu satu perayaan yang menghubungkan masa lalu, masa kini dan masa depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg