Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Meriah apabila kumpul beraya, tak perlu ‘jalan Raya’

Apr 6, 2025 | 5:30 AM
Keluarga Cik Nur Hidayah Jazuli yang terdiri daripada 50 anggota daripada empat generasi berkumpul di chalet di Loyang selama tiga hari untuk menyambut Hari Raya bersama-sama.
Keluarga Cik Nur Hidayah Jazuli yang terdiri daripada 50 anggota daripada empat generasi berkumpul di chalet di Loyang selama tiga hari untuk menyambut Hari Raya bersama-sama. - Foto ihsan NUR HIDAYAH JAZULI

Walaupun ramai keluarga masih mengekalkan tradisi kunjung-mengunjung semasa Hari Raya, semakin ramai yang memilih untuk berkumpul di satu lokasi sahaja bagi meraikannya bersama.

Langkah itu bukan sahaja lebih mudah dan menjimatkan masa, tetapi juga mengurangkan kerumitan dari segi logistik, terutama bagi keluarga besar yang tinggal berjauhan.

Menurut Kelab Perkhidmatan Awam (CSC), pertubuhan yang menyediakan kemudahan rekreasi untuk pegawai awam dan keluarga, mereka menerima lebih banyak tempahan untuk chalet di Changi dan Loyang semasa Hari Raya.

Tambahnya, unit chalet di kedua-dua lokasi itu lebih besar dan boleh memuatkan keluarga berbilang generasi.

“Chalet kami mempunyai lebih 70 tempahan semasa Hari Raya. Terdapat peningkatan dalam tempahan berbanding tahun-tahun lepas, tetapi jika dibandingkan dengan tempahan yang dibuat semasa Tahun Baru Cina atau Deepavali, jumlahnya masih lebih rendah,” kata seorang jurucakap CSC.

Selain itu, penyedia katering, serta lokasi dan khidmat menyeluruh majlis perkahwinan, Muslim Delights, turut menyaksikan lebih banyak tempahan sepanjang Syawal.

Pengasas bersama Muslim Delights, Cik Hafidah Daud, berkata mereka menerima permintaan lebih untuk perhimpunan Hari Raya.

“Kami menerima lebih banyak tempahan katering terutamanya pada hujung minggu ini dan sepanjang bulan Syawal,” katanya.

Bagi Encik Sufian Sujai, 76 tahun, keluarganya telah mengamalkan tradisi perjumpaan secara ramai-ramai di masjid setiap Hari Raya sejak awal 2000-an.

Dengan ahli keluarga seramai sekitar 150 orang, perhimpunan secara beramai-ramai itu memastikan mereka dapat bertemu tanpa perlu bimbang tentang jadual bertindih atau perjalanan jauh.

Menurut Encik Sufian, perhimpunan pada 2025 yang diadakan pada 5 April dihadiri berbilang generasi dan ia bertujuan memperkukuhkan ikatan silaturahim antara keluarga dan juga meraikan kesinambungan warisan generasi, jelas Encik Sufian.

“Saya harap generasi seterusnya akan terus menganjurkan perhimpunan seperti ini pada tahun-tahun akan datang supaya tradisi keluarga kekal,” ujarnya.

Selain keluarga Encik Sufian, keluarga Cik Nur Hidayah Jazuli turut memilih konsep perhimpunan besar bagi menyambut Aidilfitri dengan menyewa dua unit chalet di Loyang pada 31 Mac, hari pertama Syawal.

Keluarga besar Cik Nurhidaya Johari pula akan menyambut Lebaran secara ramai-ramai pada hujung minggu panjang sempena cuti umum Good Friday dari 18 hingga 20 April.

Satu ‘jawatankuasa keluarga’ akan memberi tugas kepada anggota keluarga masing-masing untuk menguruskan pelbagai aspek seperti makanan, permainan dan logistik.

Fenomena ini mencerminkan perubahan cara sambutan Hari Raya dalam kalangan keluarga moden di Singapura.

Bagi mereka, bukan jumlah rumah yang dikunjungi yang menjadi keutamaan, tetapi nilai kebersamaan yang lebih erat apabila semua anggota keluarga berkumpul di satu tempat untuk meraikan Lebaran yang penuh bermakna.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg