Lebih 4,000 keluarga berpendapatan rendah di serata Singapura mula menerima daging korban daripada Jamiyah bagi 2025.
Daging korban itu – sekitar 8,500 kilogram – diagih secara berperingkat sehingga 4 Ogos.
Pada 13 Julai, 240 kilogram daging kambing diberikan kepada 120 isi rumah di Eunos Crescent.
Setiap isi rumah menerima dua kilogram daging.
Dalam kenyataannya, Jamiyah Singapura berkata daging korban itu didermakan oleh sohibul korban (mereka yang melakukan ibadah korban) yang melaksanakan korban di Australia pada Jun, sempena hari tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah).
Turut hadir di Eunos Crescent semasa proses pengagihan itu ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim.
Beliau berkata: “Usaha seperti ini mencerminkan pendekatan Singapura yang menyeluruh dan tersasar dalam membantu masyarakat kurang berkemampuan.”
Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata pengagihan korban itu turut menonjolkan nilai keterangkuman dan keprihatinan masyarakat, selain mengukuhkan hubungan antara pertubuhan masyarakat seperti Jamiyah, agensi akar umbi dan penduduk setempat.
“Ia bukan sekadar pengagihan daging, tetapi lambang usaha kita memastikan tiada sesiapa yang terpinggir,” ujarnya.
Perkara itu turut ditekankan oleh Setiausaha Agung yang juga Ketua Pegawai Korporat bagi Jamiyah Singapura, Encik Muhd Khair Baharin.
Menurut beliau, komitmen pihaknya selama ini dipacu oleh kesan positif daripada amalan berkongsi yang mampu membawa kelegaan kepada keluarga yang memerlukan.
“Semangat memberi yang ditunjukkan benar-benar mencerminkan makna sebenar ibadah korban.
“Kami berterima kasih kepada semua yang telah melaksanakan korban bersama kami, yang telah memungkinkan agihan daging bermutu ini kepada masyarakat.
“Melalui kerjasama erat dengan organisasi akar umbi serta penasihat seperti Dr Faishal, jangkauan agihan Jamiyah dapat diperluas dan diselaraskan dengan lebih berkesan,” kata beliau.
“
Usaha seperti ini mencerminkan pendekatan Singapura yang menyeluruh dan tersasar dalam membantu masyarakat kurang berkemampuan... Ia bukan sekadar pengagihan daging, tetapi lambang usaha kita memastikan tiada sesiapa yang terpinggir.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg