Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 5,200 kucing peliharaan dikembiri, dipasang mikrocip
Lebih 5,200 kucing peliharaan dikembiri, dipasang mikrocip
Pemilik daripada keluarga berpendapatan rendah manfaat program Sokongan Kembiri Kucing Peliharaan sejak dilancar pada Sep 2024
Lebih 5,200 kucing peliharaan dikembiri, dipasang mikrocip
Lebih 5,200 ekor kucing peliharaan telah dikembirikan dan dipasang mikrocip menerusi program Sokongan Kembiri Kucing Peliharaan (PCSS) sejak ia dilancarkan pada September 2024, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pendidikan), Dr Syed Harun Alhabsyi.
“Sudah hampir dua tahun sejak Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) melancarkan Rangka Kerja Pengurusan Kucing, dan di bawah rangka kerja ini, pemilik kucing peliharaan sebenarnya diwajibkan untuk memasang mikrocip dan juga melesenkan kucing mereka,” ujar beliau.
Disokong sepenuhnya menerusi sumbangan kepada Dana Garden City, program tersebut menyediakan khidmat kembiri dan pemasangan mikrocip secara percuma bagi kucing peliharaan pemilik daripada keluarga berpendapatan rendah.
Dana tersebut adalah badan amal berdaftar dan Institusi Bertaraf Awam (IPC) di bawah Lembaga Taman Negara (NParks).
Menurut AVS dalam satu kenyataan media pada 18 Julai, bilangan kucing peliharaan berkenaan merupakan daripada lebih 2,500 isi rumah berpendapatan rendah.
Ketika ditemui media semasa melawat program ‘Spay Day’ ketujuh anjuran AVS di Pusat Pengurusan Haiwan (AMC), yang terletak di Sungei Tengah Road, pada 20 Julai, Dr Syed Harun berkata beliau rasa “senang hati” melihat semakin ramai pemilik kucing mengembirikan haiwan peliharaan mereka.
“Ini menunjukkan bahawa ramai yang prihatin dan memahami manfaat mengembirikan kucing dan kita harap ini dapat terus dilakukan, selain memberi jaminan kepada keluarga bahawa proses ini sesuatu yang selamat bagi haiwan peliharaan mereka,” jelas beliau.
Sekitar 80 kucing peliharaan telah dikembiri dan dipasang mikrocip semasa acara ‘Spay Day’ itu.
Dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kucing (CWS), kucing-kucing berkenaan diambil dari kediaman pemilik sehari sebelum prosedur dijalankan dan dibawa ke AMC bagi menjalani persiapan sebelum pembedahan.
Setiap kucing kemudian menjalani pemeriksaan kesihatan oleh doktor haiwan daripada AVS serta beberapa klinik haiwan swasta bagi memastikan ia sesuai menjalani prosedur pengembirian, selain memastikan kucing tersebut belum dipasang mikrocip.
Selepas pulih daripada prosedur tersebut, kucing-kucing itu dihantar pulang ke kediaman pemilik masing-masing pada hari yang sama.
Bersama-sama kucing tersebut, pemilik turut menerima sebuah pek penjagaan yang mengandungi barang-barang termasuk makanan, snek dan pasir kucing.
Pengarah AVS, Dr Lin Anhui, menjelaskan bahawa pengembirian bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan, malah turut membantu memperbaiki tingkah laku kucing.
“Pengembirian sebenarnya membawa pelbagai manfaat dari segi tingkah laku kerana ia mengurangkan keinginan kucing untuk mengawan.
“Ini sekali gus mengurangkan kecenderungan kucing untuk berkeliaran, mengiau bagi mencari pasangan, bergaduh, serta menanda kawasan di sekitar rumah dengan air kencing.
“Dari segi kesihatan pula, pengembirian mengurangkan risiko barah berkaitan sistem reproduktif, sekali gus membantu kucing menjalani kehidupan yang lebih sihat dan gembira,” katanya.
Sementara itu, AVS akan melancarkan skim perintis selama dua tahun bagi penjaga kucing titipan yang diluluskan mulai 3 Ogos.
Skim tersebut bertujuan menyokong penjaga kucing titipan yang didapati sering kali menjaga kucing peliharaan di samping kucing titipan, sehingga melebihi had dua ekor yang ditetapkan di bawah rangka kerja pengurusan kucing semasa.
Menyentuh tentang skim tersebut, Dr Syed Harun berharap ia dapat membina keyakinan kepada penjaga kucing titipan berkenaan.
“Kita harap ia melambangkan lagi sifat keihsanan kita kepada kucing dan haiwan peliharaan kita di rumah-rumah kita,” jelasnya.
