Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekitar 66,000 kucing peliharaan dilesen sejak Sep 2024
Sekitar 66,000 kucing peliharaan dilesen sejak Sep 2024
Tujuh daripada 10 kucing peliharaan di S’pura kini telah dilesen, namun baki 30% kucing belum; pemilik diingat tempoh bagi dapatkan lesen bagi kucing peliharaan secara percuma berakhir 31 Ogos
Sekitar 66,000 kucing peliharaan dilesen sejak Sep 2024
Sekitar 66,000 kucing peliharaan telah dilesenkan dalam tempoh hampir dua tahun sejak Singapura melancarkan rangka kerja pengurusan kucing, dengan 94 peratus daripadanya telah dikembirikan.
Mengumumkan demikian dalam ucapannya di acara Cats’ Day Out di Wisma Geylang Serai pada 18 Julai, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, berkata ini bermakna tujuh daripada 10 kucing peliharaan di Singapura kini telah dilesenkan, namun masih ada baki 30 peratus kucing yang belum.
“Kami telah menyediakan tempoh peralihan selama dua tahun untuk anda mendapatkan lesen bagi kucing peliharaan anda secara percuma. Tempoh peralihan itu akan berakhir pada 31 Ogos 2026,” kata Encik Tan.
Selepas tempoh peralihan berakhir, pemilik yang ingin mendapatkan lesen bagi kucing mereka perlu membuat bayaran bermula $15 bagi kucing yang telah dikembirikan, atau $90 bagi kucing yang belum dikembirikan.
Rangka kerja pengurusan kucing itu dilancarkan pada September 2024 oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) di bawah Lembaga Taman Negara (NParks).
Ia bertujuan memperkenalkan langkah lebih ketat serta mempertingkat usaha pendidikan awam mengenai pemilikan dan penjagaan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab.
Di bawah skim pelesenan bagi kucing peliharaan yang wajib dalam rangka kerja itu, semua kucing dikehendaki dipasang mikrocip dan dilesenkan bagi tujuan pengesanan.
Setiap flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hanya dibenarkan untuk memelihara dua ekor kucing, dan setiap kediaman privet dibenarkan memelihara tiga ekor kucing.
Mereka yang memelihara kucing lebih daripada jumlah yang ditetapkan masih boleh membelanya sekiranya mendapatkan lesen bagi haiwan itu semasa tempoh peralihan dan berupaya memastikan kesemua kucing itu dapat dijaga dengan baik.
Namun, setelah tempoh peralihan tamat, pemilik tidak boleh mendapatkan lesen tambahan bagi kucing yang melebihi had itu.
Mulai 1 September 2026, memelihara kucing peliharaan yang tidak berlesen akan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Haiwan dan Burung.
“Pemilik yang mempunyai kucing tidak berlesen perlu mencari tempat baru bagi kucing yang melebihi had yang dibenarkan,” kata Encik Tan.
“AVS juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan secara aktif terhadap pemilik yang gagal mematuhi peraturan pemeliharaan kucing. Oleh itu, jangan tunggu hingga saat-saat akhir. Jika anda masih belum mendapatkan lesen bagi kucing peliharaan anda, lakukanlah hari ini,” tambahnya.
Menurut Encik Tan, sejak September 2024, lebih 64,000 individu telah selesai mengikuti kursus pemilikan haiwan peliharaan dalam talian, yang wajib untuk pemohon lesen kucing kali pertama.
Dalam tempoh sama, sekitar 11,500 ekor kucing peliharaan telah dipasang mikrocip secara percuma menerusi program yang dianjurkan AVS serta sesi yang dijalankan dengan kerjasama klinik veterinar.
Lebih 5,200 kucing peliharaan daripada lebih 2,500 isi rumah berpendapatan lebih rendah pula telah meraih manfaat daripada Program Sokongan Kembiri Kucing Peliharaan (PCSS) yang menawarkan khidmat mikrocip dan kembiri secara percuma.
Sementara itu, lebih 4,600 kucing masyarakat telah diletakkan di bawah program Langkah Perangkap-Kembiri-Cari Rumah Baru atau Lepaskan Secara Terurus (TNRM) sejak ia dilancarkan.
TNRM adalah pendekatan berperikemanusiaan untuk menstabilkan jumlah kucing terbiar.
