Penjaga kucing titipan yang memenuhi kriteria tertentu boleh memelihara hingga enam ekor kucing di flat HDB pada satu-satu masa di bawah skim perintis dua tahun baru oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS).

Skim yang akan bermula pada 3 Ogos 2026 itu bertujuan menyokong penjaga kucing titipan yang didapati sering kali menjaga kucing peliharaan di samping kucing titipan, hingga melebihi had dua ekor yang ditetapkan di bawah rangka kerja pengurusan kucing semasa.

“Relawan ini menawarkan rumah mereka kepada kucing masyarakat yang sakit, cedera, memerlukan penjagaan paliatif atau menunggu untuk diambil penjaga tetap,” kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, dalam ucapannya di acara Cats’ Day Out di Wisma Geylang Serai pada 18 Julai.

Dalam kenyataannya, AVS dan HDB berkata melalui tinjauan dan rundingan awam yang dijalankan, kebanyakan penjaga kucing titipan didapati memelihara hingga enam ekor kucing pada satu-satu masa, dan mempunyai kucing peliharaan di samping kucing titipan.

Mereka juga mendapati penjaga kucing titipan menghadapi cabaran mendapatkan penjaga tetap yang sesuai dan kos penjagaan yang tinggi.

Di bawah skim baru itu, penjaga kucing titipan di premis privet boleh menjaga hingga 10 ekor kucing, naik daripada had tiga.

Semua kucing yang dipelihara penjaga titipan perlu dikembiri setelah mencapai usia enam bulan atau dalam tempoh dua bulan selepas diambil di bawah jagaan, mengikut mana yang lebih lewat. Ini bagi mengelakkan pembiakan yang tidak disengajakan.

Penjaga kucing titipan yang disahkan boleh mendapatkan lesen untuk kucing titipan mereka secara percuma sepanjang tempoh perintis ini, yang akan berakhir pada 31 Julai 2028.

Mereka yang ingin memohon sebagai penjaga kucing titipan yang disahkan perlu mempunyai pengalaman menjaga kucing peliharaan atau kucing titipan, mempunyai kemampuan kewangan serta masa yang mencukupi untuk menjaga kucing-kucing tersebut, dan menetap di flat HDB tiga bilik atau lebih besar, atau di kediaman privet.

Mereka juga perlu mempunyai rekod yang baik, tanpa sebarang sejarah aduan atau pertikaian dengan jiran di tempat kediaman mereka dalam tempoh dua tahun sebelum permohonan dibuat.

Proses penilaian boleh mengambil masa hingga lapan minggu dan mungkin melibatkan lawatan ke rumah atau panggilan video bagi menentukan sama ada kediaman pemohon sesuai untuk aktiviti penjagaan sementara kucing.