Pasaran korban setempat kian rancak sejak beberapa tahun ini, dengan bilangan penyedia khidmat privet bertambah.
Pilihan korban yang ditawarkan kebanyakan penyedia khidmat yang kebanyakannya menyediakan pakej korban di luar negara pula pelbagai – dari kambing biri-biri dan lembu di negara jiran seperti Indonesia dan Malaysia, kepada kambing gurun dan kerbau di negara-negara lebih jauh seperti Uganda di Afrika dan Yemen di Timur Tengah.
Namun, pasaran yang kian kompetitif ini mencetus persaingan sengit atau ‘perang harga’ antara penyedia khidmat privet, selain memaksa mereka mencari cara ‘inovatif’ atau lain daripada yang lain untuk memasarkan khidmat masing-masing.
Pemeriksaan Berita Harian (BH) menunjukkan seekor kambing di Uganda, misalnya, boleh dibeli dengan harga di bawah $200. Satu bahagian lembu – dengan seekor lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian untuk tujuan ibadah korban – pula boleh dibeli dengan harga serendah $80.
Secara perbandingan, di bawah SalamSG Korban, khidmat korban yang dikendalikan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), seekor kambing biri-biri berharga $360; anak biri-biri berharga $365; dan satu pertujuh bahagian daripada seekor lembu berharga $365.
Selain menawarkan diskaun dan harga rendah, ada juga penyedia khidmat menyediakan pilihan bagi sohibul korban, iaitu orang yang melakukan korban, untuk membayar secara ansuran.
Kebanyakan penyedia khidmat ini juga menggunakan wadah media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram untuk memasarkan khidmat mereka, dengan sesetengah penyedia khidmat yang lebih kreatif mengadakan penjualan secara ‘live’ hampir setiap hari, sejak sekitar sebulan yang lalu.
Ada juga penyedia khidmat yang menggunakan khidmat ‘ejen’ korban – individu yang menjual haiwan korban bagi pihak penyedia khidmat – dengan bayaran komisen mengikut jumlah haiwan yang dijual.
Amalan sedemikian bermakna ibadah korban kini lebih aksesibel dan mungkin boleh dilakukan lebih ramai orang, menurut beberapa asatizah yang dihubungi BH.
Namun ia juga menimbulkan keprihatinan dalam kalangan sesetengah asatizah yang bimbang erti dan intipati sebenar ibadah korban mungkin tenggelam dalam persaingan bagi memikat sohibul korban ini.
Kaunselor dan pendidik bebas, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, berkata meskipun harga rendah dan bentuk promosi dalam jualan haiwan korban dapat memikat pelanggan, ia boleh “menjatuhkan nilai serta imej korban dari segi agama” terutamanya jika terjadinya promosi “lelong” dan “jualan habis”.
“Ibadah korban ini apabila sudah menjadi seperti bentuk perniagaan untuk meraih keuntungan yang berlebihan, maka pelaksanaannya membuat kita risau dan tidak dapat dikawal,” tambah Ustazah Kalthom.
Berhubung bayaran ansuran, pengasas dan pengarah urusan Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar, menjelaskan bahawa jika ansuran tersebut tidak melibatkan faedah dan ada akad yang jelas serta tidak menzalimi mana-mana pihak, maka ada kelonggaran, dengan beberapa syarat.
Ini termasuk sohibul memang tidak mampu membuat bayaran sekali gus dan ansuran tersebut membantu memudahkannya, dan tidak menjadikan ia sebagai budaya hutang untuk ibadah “kerana semangat korban adalah ikhlas memberi, bukan memaksa memiliki”.
Meskipun langkah memberi ruang kepada golongan berpendapatan rendah untuk menunaikan ibadah adalah satu bentuk rahmah, Ustaz Dr Leyaket berkata perlu diperhatikan bahawa ibadah korban adalah bagi mereka yang mampu dan mereka yang tidak mampu berhak mendapatkan daging korban, bukan memaksa diri melaksanakan korban.
“Dalam dunia yang berubah, pendekatan baru tidak semestinya salah. Namun sebagai Muslim, setiap bentuk inovasi harus berlandaskan niat yang betul, kejujuran dan keberkatan dengan suatu tujuan yang sangat besar, iaitu mencari keredhaan Allah swt.
“Ibadah korban adalah sebuah manifestasi cinta dan ketaatan kepada Allah, bukan sekadar transaksi,” kata beliau.
Encik Muhammad Noor Tijany Nezam, yang lebih dikenali sebagai Donjany, antara penyedia khidmat korban yang menyediakan khidmat bayaran secara ansuran melalui syarikat perkhidmatan Islam, Al Fajr SG.
Al Fajr SG menawarkan seekor kambing pada harga antara $197 dengan $227; $397 bagi biri-biri; dan $77 bagi satu pertujuh bahagian lembu.
Pelanggan boleh membeli haiwan korban itu terus di ‘TikTok Shop’ apabila Al Fajr strim secara langsung, hasil kerjasama dengan TikTok yang menyediakan khidmat ‘yellow bag’ – ciri yang membolehkan penjual mempamerkan produk dan menyediakan pautan untuk penonton membeli secara langsung.
‘TikTok Shop’ juga menawarkan diskaun dan pembayaran ansuran melalui GrabPay dan Atome.
GrabPay memberi pilihan kepada pelanggan untuk membuat bayaran penuh pada bulan hadapan atau melalui ansuran sepanjang empat, lapan atau 12 bulan yang akan dikenakan bayaran pemprosesan sebanyak 0.75 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Melalui Atome pula, pelanggan boleh pilih untuk bayar secara ansuran sepanjang tiga bulan atau enam bulan, namun bayaran ansuran selama enam bulan akan dikenakan bayaran pemprosesan sebanyak 3 peratus.
Ditanya jika bayaran ansuran sebegini akan mendatangkan isu bagi pelanggan kerana ia sejenis hutang tanpa jaminan, Encik Muhammad Noor Tijany berkata:
“Sebenarnya apabila kami menerima bayaran bagi pembelian dalam talian daripada ‘TikTok Shop’, kami akan mendapatkan jumlah sepenuhnya dan bukan ansuran.
“Berhubung dengan isu bayaran pemprosesan yang dikenakan, jika kita membeli rumah atau kereta dan bayar melalui ansuran, sama juga kita akan dikenakan bayaran tambahan.”
Selain menawarkan kaedah pembayaran bukan tradisional ini, Encik Muhammad Noor Tijany juga memilih memasarkan haiwan korban di TikTok melalui penstriman ‘live’ atau secara langsung.
Mereka juga merekrut ejen dan pegawai bersekutu untuk menjual haiwan korban serta memberikan diskaun untuk korban yang ditawarkan.
Ejen dan pegawai bersekutu dapat membawa pulang komisen antara $20 hingga $50 bagi setiap ekor kambing yang dijual dan $50 hingga $100 bagi lembu, kata Encik Muhammad Noor Tijany
“Kami ingin memberikan peluang bagi mereka yang mungkin tidak pernah menjalankan ibadah korban untuk melakukannya buat kali pertama dengan harga berpatutan.
“Dengan harga tawaran kami, golongan pelajar dan golongan yang tidak berada juga dapat menjalankan ibadah korban,” kata Encik Muhammad Noor Tijany ketika ditemui BH di pejabatnya di Ubi Crescent baru-baru ini.
Sementara itu, syarikat SignaturesofImran turut mengambil pendekatan merekrut ejen dan wakil untuk menjual haiwan korban, memberi peluang kepada suri rumah dan belia menjana pendapatan tambahan sebanyak sehingga $5,000.
Setiap ejen atau wakil perlu membuat bayaran $120 apabila mereka mendaftar sebagai ejen dan diberi bimbingan dan bahan pemasaran seperti poster untuk menjual haiwan korban.
Bagi setiap haiwan yang dijual, ejen atau wakil akan mendapat komisen hampir 20 peratus.
Pengasas SignaturesofImran, Encik Imran Mean berkata: “Bagi kempen korban ini... saya telah mendapat sekitar 20 ejen.
“Dengan membayar $120, mereka akan mendapat bimbingan daripada pasukan saya serta bahan-bahan pemasaran seperti poster.”
Syarikatnya menjalankan kempen ‘Jom Berqurban’ sejak 2020 yang menawarkan seekor kambing pada harga antara $205 dengan $245. Lembu pula dijual pada harga $99 bagi sepertujuh bahagian atau $690 seekor.
Pasukan SalamSG Korban, dalam jawapannya kepada BH, berkata:
“Pejabat Mufti sebelum ini telah memberikan bimbingan mengenai amalan perniagaan dalam konteks Islam, sambil menekankan bahawa walaupun Islam menggalak perdagangan, urus niaga harus telus dan pengambilan untung yang berlebihan atau eksploitasi perlu dielakkan.
“Model perniagaan harus mengutamakan hubungan yang jelas, langsung antara penjual dengan pembeli, terutamanya bagi kewajipan agama seperti ibadah korban,” katanya.
Asatizah yang dihubungi BH berkata kaedah perniagaan baru seperti melakukan jualan di TikTok atau mendapatkan ejen dan wakil tidak semestinya bercanggah dengan Islam selagi ia memenuhi syarat asas muamalat, atau transaksi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Pergas Investment Holdings (PIH), Dr Shamsiah Abdul Karim, berkata Islam mengiktiraf kepelbagaian kaedah perniagaan, selagi ia mematuhi prinsip keadilan, ketelusan dan tidak menzalimi mana-mana pihak.
Ini termasuk tidak berlaku unsur penipuan atau ketidaktelusan dalam harga dan perkhidmatan, dan tiada unsur paksaan untuk merekrut atau menyertai sistem yang menguntungkan pihak tertentu secara tidak seimbang.
Selain itu, pelanggan perlu memahami sepenuhnya urus niaga yang dibuat, termasuk siapa yang menyediakan korban, harga sebenar dan ke mana wang mereka disalurkan.
“Dalam konteks ibadah korban, lebih-lebih lagi, ketelusan dan keikhlasan sangat penting kerana ia bukan sekadar urusan jual beli, tetapi satu ibadah yang membawa seseorang itu mendekatkan diri kepada Allah.
“Justeru, amat disarankan agar semua bentuk pemasaran atau pengedaran perkhidmatan korban dilakukan dengan penuh tanggungjawab, dan menjauhkan sebarang bentuk penstrukturan yang boleh mengelirukan atau menjejaskan keyakinan orang ramai,” kata Dr Shamsiah.
“
“Kami ingin memberikan peluang bagi mereka yang mungkin tidak pernah menjalankan ibadah korban untuk melakukannya buat kali pertama dengan harga berpatutan. Dengan harga tawaran kami, golongan pelajar dan golongan yang tidak berada juga dapat menjalankan ibadah korban.”“
“Dalam dunia yang berubah, pendekatan baru tidak semestinya salah. Namun sebagai Muslim, setiap bentuk inovasi harus berlandaskan niat yang betul, kejujuran dan keberkatan dengan suatu tujuan yang sangat besar, iaitu mencari keredhaan Allah swt. Ibadah korban adalah sebuah manifestasi cinta dan ketaatan kepada Allah, bukan sekadar transaksi.”“
“Pejabat Mufti sebelum ini telah memberikan bimbingan mengenai amalan perniagaan dalam konteks Islam, sambil menekankan bahawa walaupun Islam menggalak perdagangan, urus niaga harus telus dan pengambilan untung yang berlebihan atau eksploitasi perlu dielakkan. Model perniagaan harus mengutamakan hubungan yang jelas, langsung antara penjual dengan pembeli, terutamanya bagi kewajipan agama seperti ibadah korban.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg