Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih sejuta kunjungi bazar di Kampong Gelam

Mar 27, 2025 | 6:22 PM
Pengerusi One Kampong Gelam (OKG), Encik Zaki Ma’arof (kiri), berkongsi perkembangan mengenai bazar, Gemilang Kampong Gelam kepada Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 25 Mac, iaitu hari terakhir bazar tersebut.
Pengerusi One Kampong Gelam (OKG), Encik Zaki Ma’arof (kiri), berkongsi perkembangan mengenai bazar, Gemilang Kampong Gelam kepada Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 25 Mac, iaitu hari terakhir bazar tersebut. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO FACEBOOK ASSOC PROF MUHAMMAD FAISHAL IBRAHIM

Lebih sejuta pengunjung dianggarkan telah mengunjungi bazar, Raya Gemilang Kampong Gelam (GKG), anjuran One Kampong Gelam (OKG) sepanjang 35 hari ia beroperasi sejak 19 Februari.

Dalam satu perkongsian, pengerusi OKG, Encik Zaki Ma’arof, berkata jumlah tersebut menjangkau sasaran yang ditetapkan pihaknya.

Beliau berkata berdasarkan perangkaan sebelum minggu terakhir bazar beroperasi, lebih 900,000 pengunjung dicatatkan mengunjungi bazar itu.

Jumlah tersebut berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Kini (pada hari terakhir bazar), kami telah mencapai lebih sejuta pengunjung, jadi itu membuatkan kami lebih bertenaga untuk membuat sesuatu yang berbeza.

“(Di samping itu), kami dapat lihat semangat keusahawanan anak muda yang benar-benar ingin menyerlahkan produk dan menganggap GKG sebagai wadah yang mereka boleh mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian semasa bertemu Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada hari terakhir GKG pada 25 Mac.

Dr Faishal memuat naik video pertemuan tersebut dalam hantaran Facebook pada 27 Mac, dan beliau menzahirkan penghargaannya kepada pihak berkepentingan, termasuk OKG, atas kerjasama dan pencapaian yang telah diraih.

Dalam taklimat media pada 6 Februari, pengendali bazar, Eventify, berkongsi sasaran 1.1 juta pengunjung sepanjang tempoh operasi GKG.

Ini kali kedua berturut-turut syarikat itu dipilih untuk mengendalikan bazar Kampong Gelam, pertama kali pada 2024, dan ia menarik sekitar 1.1 juta pengunjung.

Sebanyak 120 gerai, termasuk 80 gerai makanan dan minuman (F&B) dan 40 gerai jualan runcit, diketengahkan dalam GKG kali ini, dengan kemampanan menjadi antara tumpuan utama.

Ini setelah penggunaan penjana kuasa bateri berkuasakan tenaga suria diperkenal buat pertama kali.

Ia khusus bagi menjana tenaga di beberapa bahagian bazar tersebut, di samping penggunaan bahan bungkusan mudah reput atau yang boleh dikitar semula.

Insentif bagi pengunjung membawa botol sendiri untuk minuman turut diterapkan sebahagian penjual F&B.

Semasa sesi taklimat itu, Pengarah Kreatif Doublevv Studios, yang juga pengurus kempen bazar tersebut, Encik Burhan Jumadi, berkata usaha kemampanan dijangka mengurangkan jejak karbon yang sering dikaitkan dengan pengendalian bazar berskala besar seperti bazar Kampong Gelam.

Beliau memberi contoh penggunaan penjana kuasa bateri berkuasakan tenaga suria syarikat penyelesaian tenaga hijau tempatan, Gorental.SG, yang menjana tenaga untuk gerai jualan runcit dan lampu gerbang masuk bazar, yang menurutnya, dapat mengurangkan sehingga 5,000 kilogram pengeluaran karbon sepanjang bazar itu berlangsung.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg