Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan selepas didakwa menetak seorang lelaki di Hougang Avenue 8 pada 17 April.
Semasa ditahan, lelaki tersebut mencederakan tiga anggota polis selepas menyerang mereka dengan sebatang papan kayu berpaku.
Ketiga-tiga anggota polis itu mengalami cedera ringan.
Pihak polis menerima panggilan meminta bantuan sekitar 1.10 tengah hari dan melihat lelaki itu berlari dan tidak berpakaian, lapor The Straits Times (ST).
Lelaki itu didakwa menyerang seorang lelaki lain berusia 30 tahun sebelum itu.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan di Blok 681, Hougang Avenue 8, pada 1.30 tengah hari.
Suspek ditahan atas kesalahan menyebabkan kecederaan menggunakan cara yang mendatangkan mudarat dengan sengaja dan mencederakan penjawat awam bagi menghalang mereka daripada menjalankan tugas dengan sengaja.
Sebilah pisau dan papan kayu berpaku telah dirampas sebagai barang bukti.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Seorang wanita yang bekerja di kawasan itu dan hanya mahu dikenali sebagai Cik Seah, 27 tahun, berkata:
“Kami diberitahu oleh pihak polis sebelum ini untuk memastikan tingkap rumah ditutup dan dikunci kerana suspek telah melarikan diri pada mulanya.
“Kami berasa lega apabila dimaklumkan dia akhirnya telah ditangkap.”
Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Tan, 64 tahun, berkata beliau sedang memandu ke Poliklinik Hougang ketika menyaksikan penahanan suspek.
“Saya melihat empat anggota polis menahan lelaki yang tidak berpakaian itu di jalan raya. Lelaki itu tidak memakai seluar dalam pun. Saya terkejut,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg