‘Mimpi Raya!’ Shazza jayakan telefilem Aidilfitri bersama Jalaluddin Hassan
‘Mimpi Raya!’ Shazza jayakan telefilem Aidilfitri bersama Jalaluddin Hassan
Juara ‘Berani Lakon!’ kini lebih semangat keluar dari zon selesa, rakam lagu Melayu
‘Mimpi Raya!’ Shazza jayakan telefilem Aidilfitri bersama Jalaluddin Hassan
Debaran Syawal kali ini terasa cukup istimewa bagi penyanyi dan penulis lagu tempatan, Shazza, atau nama sebenarnya, Shareefa Aminah Abdul Shariff.
Ini kerana buat kali pertama, beliau melangkahkan kaki ke dunia lakonan menerusi telefilem Aidilfitri berjudul, Mimpi Raya!
Kejayaannya merangkul gelaran juara dalam program realiti, Berani Lakon!, di saluran Mediacorp Suria baru-baru ini, telah membuka pintu rezeki bagi Shazza, 25 tahun, untuk menceburi bidang lakonan dengan lebih serius.
Tekanan itu, bagaimanapun, semakin terasa apabila penyanyi lagu, Right Person, Wrong Time itu, digandingkan dengan pelakon veteran dari Malaysia, Datuk Jalaluddin Hassan, 72 tahun.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom baru-baru ini, pemenang Anugerah Jauhari Harapan 2023 yang disampaikan BH itu, berkata:
“Apabila mengetahui saya bakal berlakon bersamanya (Jalaluddin Hassan), saya terus terfikir, ‘Betul ke ni?’
“Dengan perasaan penuh teruja itu, saya kongsi berita tersebut kepada ibu bapa saya dan mereka sangat gembira kerana mereka juga peminat besar beliau.
“Sejujurnya, saya berasa sangat gugup kerana tekanan yang dirasakan agak besar, apatah lagi apabila saya perlu bergandingan dengan pelakon veteran.
“Saya benar-benar ingin melakukan yang terbaik, namun, ini juga kali pertama saya melalui pengalaman (berlakon) sebegini.
“Saya akur sempat meragukan sejauh mana saya mampu memenuhi jangkaan diri sendiri.”
Telefilem Mimpi Raya! mengisahkan dua sepupu, Faiz (lakonan Hafidz Rahman) dan Muiz (Zuhairi Idris), yang membantu nenek mereka, Nek Mah (Zaliha Hamid), menyiapkan juadah Hari Raya.
Namun, usaha mereka sebenarnya didorong keinginan untuk menawan hati jiran mereka, Aliza, yang dilakonkan Shazza.
Keadaan menjadi kelam-kabut apabila datuk Aliza, Tok Budi (Jalaluddin), tidak senang dengan gelagat mereka, sementara tekanan daripada keluarga pula membuatkan persaingan antara dua sepupu itu semakin memuncak di ambang Aidilfitri.
Menurut Shazza, peluang berlakon dalam telefilem bersama Jalaluddin merupakan satu pengalaman mencabar yang menuntut dirinya membuat penyesuaian, terutama apabila beralih daripada lakonan dalam rancangan realiti hiburan kepada lakonan bagi telefilem.
Bagaimanapun, nasihat Jalaluddin, pelakon filem Lu Mafia Gua Gangster bahawa seorang pelakon perlu benar-benar mempercayai wataknya dan tidak terlalu cuba meramalkan apa yang akan berlaku seterusnya dalam babak lakonan.
Ia membuka mata Shazza tentang kedalaman dan keindahan seni lakon itu.
Malah, Shazza mengakui sifat baik dan keikhlasan Jalaluddin, yang pernah menjayakan telefilem, Raya Tak Jadi itu, termasuk kebiasaannya merakam video nyanyian bersama, meredakan tekanannya di set penggambaran.
“Beliau mempunyai sifat yang sangat baik dan tulus, sehingga rasa gementar saya pada awalnya hilang selepas beberapa ketika.
“Beliau juga gemar menyanyi ketika di set penggambaran.
“Terdapat beberapa kali ketika saya ingin mengulang dialog bersamanya, tetapi beliau meminta saya merakam video nyanyian kami bersama-sama.
“Detik santai seperti itu banyak membantu meredakan rasa gugup saya.
“Saya juga banyak belajar daripada beliau yang tidak lokek ilmu,” ujar Shazza.
Memandangkan Shazza sebelum ini kurang fasih berbahasa Melayu, pengalaman berlakon dalam telefilem Aidilfitri itu, turut memberinya ruang memperkukuh lagi penguasaannya dalam bahasa Melayu.
Namun begitu, cabaran yang dihadapi termasuk memastikan penyampaian dialog lancar supaya lakonannya tampak lebih meyakinkan.
“Saya boleh membaca dan memahami bahasa Melayu, tetapi cabarannya lebih kepada menyampaikan dialog dengan lancar tanpa tersasul.
“Saya akui saya sering tersasul di set. Jadi, saya perlu meluangkan banyak masa untuk membiasakan diri dengan apa yang saya katakan.
“Saya rasa cabarannya adalah apabila saya terlalu fokus untuk tidak kedengaran ‘kaku’, namun dari segi lakonan pula mungkin ia kelihatan kurang meyakinkan,” cerita Shazza, yang sudah terbiasa bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah.
Bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri kali ini, Shazza melancarkan lagu Hari Raya berentak joget berjudul, Seloka Dua Saudara, yang juga merupakan runut bunyi (OST) bagi telefilem yang dibintanginya itu dan digubah oleh penggiat seni muzik Melayu, Juraimi Johari.
Lagu yang dilancarkan pada 13 Mac di wadah YouTube itu, turut dinyanyikan bersama Zuhairi dan Hafidz.
Tidak hanya itu, buat julung-julung kalinya, Shazza berkongsi perancangannya untuk melancarkan lagu dalam bahasa Melayu, diilhamkan daripada lagu balada Indonesia yang biasa dinyanyikan oleh penyanyi terkenal seperti Afgan dan Datuk Seri Rossa.
“Selepas lagu Raya ini, saya merancang untuk mengeluarkan satu lagi lagu dalam bahasa Melayu.
“Kebetulan, saya baru saja selesai menulisnya dan berharap ia dapat dilancarkan pada tahun ini (2026) juga.
“Saya mendapat inspirasi daripada lagu balada Indonesia, terutama yang dinyanyikan oleh Afgan yang selalu menarik perhatian saya.
“Namun begitu, ketika menulis lagu Melayu pertama saya ini, entah mengapa saya lebih cenderung kepada lagu seperti Aku Bukan Untukmu, nyanyian asal Rossa.
“Lagu yang saya tulis ini adalah tentang patah hati, dan saya rasa tiada siapa yang dapat menyampaikan lagu patah hati secara berkesan seperti dalam lagu balada Melayu,” katanya, tanpa mengemukakan judul lagu tersebut.
Telefilem Mimpi Raya! bakal disiarkan di saluran Mediacorp Suria pada 21 Mac mulai 9.30 malam.
“
“Sejujurnya, saya berasa sangat gugup kerana tekanan yang dirasakan agak besar, apatah lagi apabila saya perlu bergandingan dengan pelakon veteran. Saya benar-benar ingin melakukan yang terbaik, namun ini juga kali pertama saya melalui pengalaman (berlakon) sebegini. Saya akur sempat meragukan sejauh mana saya mampu memenuhi jangkaan diri sendiri.”
