Satu daya usaha baru untuk mengajak kaum Adam berbincang tentang topik yang sensitif atau ‘taboo’ berkenaan kesihatan telah dilancarkan bersama oleh M Kuasa Tiga (M³) di Chua Chu Kang dan Jurong pada 30 November.
Dinamakan ‘Rangkaian Sokongan Kesihatan Lelaki’, inisiatif tersebut bertujuan mewujudkan ruang yang selamat bagi golongan lelaki berbincang tentang kesihatan dan menghapuskan stigma mengenai perbincangan kesihatan kaum Adam.
Sekitar 60 penduduk Chua Chu Kang dan Jurong mengambil bahagian dalam sesi pertama inisiatif tersebut yang diadakan di Kelab Masyarakat Keat Hong, di mana dialog terbuka mengenai cabaran kesihatan jasmani dan mental diadakan.
Peserta berpeluang belajar mengenai risiko papilomavirus manusia (HPV) melalui ceramah oleh pakar kesihatan sebelum menyertai perbincangan kumpulan kecil mengenai kesihatan jasmani, serta kesejahteraan mental dan seksual.
HPV ialah virus yang sangat lazim dan boleh mengakibatkan jangkitan, dengan sesetengah jenis HPV boleh menyebabkan masalah kesihatan termasuk kutil kelamin dan barah seperti barah serviks.
Inisiatif baru itu – diterajui Pusat Kebapaan, Projek Nakhoda, gerakan Bapa Sepanjang Hayat, Persatuan Barah Singapura (SCS), Perikatan Tindakan Aktif Terhadap HPV (A4HPV) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) sempena Bulan Kesihatan Lelaki – dilancarkan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang yang juga penasihat M³@Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, bersama AP GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak.
Encik Zhulkarnain berkata langkah membentuk sebuah rangkaian kesihatan buat kaum Adam itu menyediakan ruang yang selamat bagi golongan lelaki berbincang secara terbuka mengenai cabaran emosi dan mental yang dipikul mengenai kesihatan.
“Kita mahu mewujudkan ruang selamat untuk bercakap secara terbuka dan juga mendapatkan idea dan pandangan anda juga mengenai pengalaman anda sendiri, dan bagaimana kami dapat memberikan sokongan lebih baik kepada golongan lelaki dewasa dan juga remaja lelaki dari segi emosi, rohani dan sebagainya,” kata beliau di acara pelancaran tersebut.
Sementara itu, Dr Hamid, yang juga seorang pakar penjagaan ortopedik, pula berkata terdapat beberapa isu kesihatan yang menjejas kaum Adam secara berbeza berbanding kaum Hawa.
Oleh itu, “ruang seperti ini adalah penting bagi kita menjelaskan keraguan yang mungkin kita ada, legenda urban yang mungkin pernah kita dengar, atau mitos untuk menjelaskan misterinya”, tambah beliau.
Hasil dapatan daripada sesi pertama inisiatif itu akan membolehkan M³@Chua Chu Kang dan rakan kerjanya membangunkan siri acara kesihatan bagi kaum Adam pada 2026, menurut kenyataan Pejabat Pengarah Kawasan Undi Berkumpulan GRC Chua Chu Kang.
“Pendekatan berasaskan bukti ini memastikan inisiatif masa depan akan menangani keperluan masyarakat yang sebenar, dengan usaha perintis ini sebagai model bagi memperluas rangkaian serupa merentas kawasan undi yang lain,” menurut kenyataan itu.
Peserta boleh menjangkakan sesi dialog setiap suku tahun di pertemuan inisiatif ‘Rangkaian Sokongan Kesihatan Lelaki’ pada masa depan.
Pengerusi M³@Chua Chu Kang, Encik Imran Ahmad, menambah bahawa inisiatif itu akan membolehkan anggota masyarakat berkumpul bersama melalui pelbagai kegiatan.
Ini seperti kegiatan berbasikal, memancing dan bowling bersama masjid dan rakan masyarakat yang lain, sekali gus “memberikan mereka (peserta) peluang berehat dan belajar daripada rakan-rakan dengan cara yang seronok dan menarik dekat dengan rumah”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg