Selepas hampir setahun pemergian suaminya, Cik Salbiah Osman, 59 tahun, banyak meluangkan masa di rumah tanpa melakukan kegiatan senaman.
Manakala kakaknya, Cik Sitiaminah Osman, 61 tahun, aktif menyertai kelas Zumba anjuran Kelab Masyarakat Kolam Ayer sejak pertengahan 2025.
Lantas apabila dimaklumkan tentang acara senaman ‘Jom Sihat Bersama’, Cik Sitiaminah melihatnya sebagai peluang terbaik untuk membantu adiknya kembali aktif dan menjaga kesihatan, bukan sahaja dari segi fizikal, malah emosi.
“Kita harus bersikap terbuka untuk mencuba perkara yang baru, terutamanya jika ia memanfaatkan kesihatan kita.
“Kalau malu, cuba untuk mulakan senaman di rumah dahulu sebelum cuba bersenam di luar,” kongsi Cik Sitiaminah, anak kelima daripada lapan adik-beradik.
Cik Salbiah pula berkata:
“Saya rasa seronok walaupun ia merupakan kali pertama.
“Sesi Zumba mudah diikuti kerana jurulatih juga menyesuaikan pergerakan untuk mereka yang baru.”
Acara ‘Jom Sihat Bersama’ yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan fizikal serta menyediakan wadah bersenam, berlangsung pada 27 September di Pasir Ris Mall.
Ia merupakan sesi kedua selepas edisi ‘Cinta Minda Bersama’, yang bertujuan mengetengahkan isu berkaitan kesihatan mental yang berlangsung pada 20 September di Kelab Masyarakat Kolam Ayer.
Kededua edisi itu merupakan inisiatif gabungan oleh M Kuasa Tiga (M³)@Jalan Besar dan M³@Pasir Ris-Changi.
‘Jom Sihat Bersama’ menawarkan pelbagai kegiatan seperti sesi Zumba, latihan kekuatan, serta kegiatan kecergasan realiti maya (VR) – teknologi interaktif yang semakin popular dalam dunia kecergasan masa kini.
Sebagai kesinambungan kepada program ini, M³@ Pasir Ris-Changi turut merancang sesi susulan seperti pemeriksaan saringan mamogram untuk para penduduk kedua-dua daerah, sebagai langkah menjaga kesihatan secara berterusan.
Pengerusi M³@ Pasir Ris-Changi, Encik Mohd Azuan Tan, berkata kolaborasi kali ini cukup bermakna.
“Dalam tempoh tiga tahun ia dijalankan, acara ini hanya memberikan tumpuan kepada program kesihatan fizikal.
“Tahun ini (2025), kami ingin menjadikannya lebih menyeluruh.
“Kesihatan bukan sahaja satu dimensi. Tubuh yang sihat membentuk minda yang kuat. Keupayaan memastikan diri anda sihat secara fizikal dan mental saling berkait.”
Turut hadir di acara ‘Jom Sihat Bersama’ ialah Anggota Parlimen (AP) Encik Mohamed Sharael Mohamed Taha, selaku penasihat M³@Pasir Ris-Changi, yang juga mengikuti latihan kekuatan bersama para peserta.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM) mengenai stigma terhadap kesihatan fizikal, terutamanya bagi golongan warga emas, Encik Sharael berkata:
“Ramai yang tidak bersedia menjalani senaman fizikal kerana menganggap ia terlalu memenatkan.
“Namun apa yang kami cuba lakukan di acara seperti ini ialah untuk membenarkan mereka sekurang-kurangnya cuba menolak pemikiran ‘saya terlalu tua untuk bersenam’.
“Justeru kami menampilkan senaman mudah seperti Zumba yang boleh diubah suai mengikut peringkat umur yang berbeza.
“Dan yang paling penting, ia adalah langkah untuk mereka mulakan gaya hidup sihat.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg