Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Makan ‘steamboat’ di koridor, rai semangat jiran di Tampines

Jun 26, 2025 | 5:35 PM
Encik Zulkarnain (paling kiri) dan jiran-jirannya dari empat buah rumah bergotong-royong menganjurkan acara makan steamboat di koridor mereka.
Encik Zulkarnain (paling kiri) dan jiran-jirannya dari empat buah rumah bergotong-royong menganjurkan acara makan steamboat di koridor mereka. - Foto ihsan ZULKARNAIN MALIK

Tidak perlu menunggu Hari Raya atau acara besar untuk mengeratkan silaturahim – itulah semangat yang ditunjukkan oleh sekumpulan jiran sekoridor di Tampines.

Kumpulan yang terdiri daripada empat keluarga Melayu itu bergotong-royong menganjurkan sesi makan malam ‘steamboat’ di koridor mereka pada 20 Jun lalu.

Sesi makan santai itu, yang dimuat naik oleh Encik Zulkarnain Malik, 32 tahun, di akaun TikTok miliknya, telah menarik perhatian ramai netizen.

Dalam temu bual bersama wartawan, Encik Zulkarnain berkongsi bahawa hubungan kejiranan mereka amat erat.

View post on TikTok

“Jiran-jiran di sini sudah terasa seperti keluarga,” kata Encik Zulkarnain yang bekerja sebagai pengurus operasi dalam perniagaan keluarganya, Frin Car Valet Services.

Beliau dan isterinya berpindah ke kawasan itu enam tahun lalu, dan kini mereka mempunyai dua orang anak.

Selain menikmati hidangan bersama, satu sudut khas disediakan untuk kanak-kanak bermain dan menonton filem yang dipancarkan menggunakan projektor, menjadikan suasana lebih meriah dan mesra keluarga.

Menurut Encik Zulkarnain, semuanya bermula dengan satu tindakan kecil yang ikhlas.

“Saya dibesarkan dalam suasana kejiranan yang erat dan saling membantu. Apabila kami berpindah ke sini sekitar Mac 2020, saya beritahu isteri saya bahawa kami perlu lakukan sesuatu untuk rapatkan hubungan dengan jiran,” katanya.

Beliau memulakan langkah pertama dengan memberi lauk-pauk berbuka puasa kepada jiran, tanpa mengharapkan balasan.

Tindakan kecil itu ternyata membawa kesan besar – dan dari situlah hubungan mesra antara jiran-jiran mula terjalin.

Bagi jiran paling ‘veteran’ di situ, Encik Shamsudin Mohd Noor, 55 tahun yang sudah lebih 20 tahun menginap di blok itu, sedikit sebanyak, selain mengeratkan hubungan, beliau juga dapat mengubat rindu kepada anak dan cucunya yang tidak lagi tinggal sebumbung dengannya.

“Saya anggap anak-anak mereka seperti cucu saya sendiri,” katanya yang menyiapkan juga sudut permainan untuk kanak-kanak pada malam itu.

Pada malam itu, hampir 20 orang, termasuk lima kanak-kanak, menyertai sesi ‘steamboat’ yang penuh dengan pelbagai jenis makanan. Semuanya disediakan secara bergotong-royong.

“Kami buat persiapan bersama, semuanya dengan semangat muafakat,” tambahnya.

Walaupun hanya sekadar sesi makan malam, Encik Zulkarnain menegaskan mereka tetap peka terhadap keperluan jiran lain.

“Kami mulakan selepas Maghrib dan pastikan semuanya selesai sebelum pukul 10 malam, sebagai tanda hormat kepada jiran lain yang mungkin ingin berehat,” jelas beliau.

Baginya, nilai kejiranan dan perpaduan tidak memerlukan alasan besar – cukup dengan keikhlasan dan kesediaan untuk memulakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg