Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MFA: S’pura amat prihatin serangan disambung semula di Gaza

Mar 19, 2025 | 12:26 PM
Mendesak semua pihak agar “menyambung semula rundingan ke arah satu gencatan senjata kekal”, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata semua orang awam mesti dilindungi mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Mendesak semua pihak agar “menyambung semula rundingan ke arah satu gencatan senjata kekal”, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata semua orang awam mesti dilindungi mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa. - Foto AFP

Singapura amat prihatin dengan penyambungan semula pertempuran di Gaza, yang telah mengakibatkan jumlah korban awam semakin meningkat, kata jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 19 Mac.

Mendesak semua pihak agar “menyambung semula rundingan ke arah satu gencatan senjata kekal”, jurucakap itu berkata semua orang awam mesti dilindungi mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Semua tebusan juga perlu dibebaskan serta-merta dan penghantaran bekalan kemanusiaan ke Gaza tidak harus dihalang, tambah kenyataan itu, yang dipetik The Straits Times.

Serangan udara Israel telah membunuh lebih 400 orang di Gaza setakat ini sejak 18 Mac, selepas kededua pihak gagal dalam rundingan untuk meneruskan gencatan senjata yang bermula pada Januari.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata beliau telah mengarahkan serangan itu kerana Hamas telah menolak cadangan untuk mendapatkan lanjutan gencatan senjata tersebut.

Pada Februari, MFA telah mengulangi sokongan lama Singapura untuk hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka sendiri.

MFA berkata satu penyelesaian dua negara yang dirundingkan adalah yang paling ideal bagi mencapai penyelesaian yang “menyeluruh, adil dan teguh” bagi konflik itu.

Ia turut menambah bahawa Singapura akan bekerjasama rapat dengan Penguasa Palestin untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam pentadbiran dan pembinaan semula.

Israel telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada 18 Mac – yang terbesar sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Januari.

Serangan itu telah membunuh lebih 400 orang di seluruh Jaluran Gaza, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.

Encik Netanyahu, memberi amaran bahawa serangan semalaman besar-besaran tenteranya ke atas Gaza “hanya permulaan” dan rundingan masa depan dengan Hamas “hanya akan berlaku di bawah serangan”.

Encik Netanyahu berkata dalam satu kenyataan video pada petang 18 Mac bahawa “Hamas sudah merasai kekuatan tangan kami dalam tempoh 24 jam lalu. Dan saya mahu berjanji kepada anda... dan mereka... ini hanya permulaan”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg