Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata pandangannya berkenaan isu Israel dan Palestin amat berbeza daripada bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng.
Berucap kepada media pada 2 April di Masjid Maarof di Jurong West, beliau berkata: “Saya mempunyai pandangan amat berbeza mengenai Israel dan Palestin daripada Encik Calvin Cheng.
“Pada November 2023, saya telah mengatakan tindakan Israel adalah haram dan menindas rakyat Palestin.”
Kenyataan beliau dibuat selepas satu pos di Facebook oleh Encik Cheng pada 13 Mac, di mana beliau menawarkan membayar memindahkan sekumpulan aktivis ke Gaza, asalkan mereka tidak kembali ke Singapura.
Encik Shanmugam berkata memandangkan laporan polis telah dibuat berkenaan pos itu, tidak wajar baginya memberi sebarang ulasan, selain menggesa supaya membiarkan proses siasatan diteruskan.
“Daripada apa yang saya dengar, Encik Cheng telah berkata beliau akan memulakan tindakan undang-undang. Jadi saya perlu mengelak daripada mengulas secara terperinci.
“Encik Jufrie (mantan pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP)) berkata Encik Cheng adalah seorang Islamofobia. Encik Cheng tidak bersetuju dan berkata Encik Jufrie menuduhnya secara palsu membuat kenyataan yang sebenarnya dibuat oleh orang lain.
“Apakah faktanya? Saya tidak tahu. Saya telah mengatakan semua yang saya boleh katakan. Seperti yang anda tahu, ada laporan polis dan tindakan undang-undang sedang berlangsung,” kata Encik Shanmugam.
Pada 13 Mac, Encik Cheng memuat naik satu catatan di Facebook, mengkritik kumpulan aktivis Monday of Palestine Solidarity, yang mengganggu Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di beberapa tempat, dan berkata beliau akan “menaja mereka untuk dipindahkan ke Gaza”, dengan syarat “mereka tidak akan kembali” ke Singapura.
Beliau juga akan menawarkan “kelas penerbangan perniagan“ kepada ketua kumpulan itu, dan akan membeli “beberapa kasut berjalan” untuk “928 pengikut mereka”.
Sejauh ini, pos Facebook itu dikongsi 344 kali dan menarik lebih 1,100 reaksi serta 770 komen, dengan sebilangan netizen menyifatkan kenyataan Encik Cheng tidak sensitif.
Menyusuli catatan itu, Encik Jufrie memfailkan laporan polis terhadap Encik Cheng.
Mengulas tentang kejadian itu, Encik Shanmugam berkata beliau tidak mengikuti perbalahan yang sedang berlaku di media sosial antara mereka, dan tidak dapat mengulas secara terperinci kerana laporan polis telah difailkan dan kemungkinan diambil tindakan undang-undang.
Mengatakan beliau tidak setuju dengan pandangan Encik Cheng, Encik Shanmugam berkata: “Saya rasa adalah baik kita berpegang pada kebenaran dan bersikap sensitif dalam membuat sebarang ulasan mengenai situasi Israel-Palestin”
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Encik Cheng berkata meskipun beliau dan Encik Shanmugam tidak setuju dalam isu tersebut, mereka tetap kekal berkawan.
“Adalah baik untuk negara demokrasi yang matang mempunyai pelbagai pendapat. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju walaupun dalam topik kontroversi.
“Tetapi kita tidak boleh menyebarkan kepalsuan. Itu bahaya. Itulah sebabnya saya mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mengeluarkan kepalsuan terhadap saya,” kata Encik Cheng.
Pada 2 April, setiausaha akhbar Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, Cik Bhavani N, berkata satu laporan telah difailkan kepada Meta berkenaan “aktiviti tidak dibenarkan” di laman Facebook Dr Balakrishnan.
Akaun Facebook Dr Balakrisnan didapati memberi tanda “like” (suka) pada pos Facebook Encik Cheng itu. Dalam satu catatan pada 2 April, Dr Balakrishnan berkata beliau tidak memberikan “like” pada catatan itu.
Dr Balakrishnan menambah beliau tidak berkongsi pandangan Encik Cheng dan beliau juga telah mengambil langkah untuk “meningkatkan keselamatan akaun (Facebook)”.
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, juga memberi tanda “like” pada catatan Encik Cheng itu.
Encik Tan kemudian berkata beliau berbuat demikian secara tidak sengaja, selepas kumpulan aktivis itu menyoal mengenainya di salah satu pos Instagramnya. Beliau kemudian menarik balik tanda “like” itu.
Tangkap layarnya memberi respons kepada kumpulan itu diletak di akaun Instagram mereka pada 27 Mac.
Encik Cheng berkata dalam satu pos Facebook pada 2 April beliau akan mengambil tindakan guaman berkaitan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya, termasuk yang dibuat Encik Jufrie serta setiausaha agung Parti Reformasi (RP), Encik Kenneth Jeyaretnam, dan penerbitan dalam talian The Online Citizen.
Kenyataan itu menuduhnya bersikap Islamofobia, dengan laporan polis Encik Jufrie pada 28 Mac menyifatkan beliau “berbahaya kepada keharmonian kaum dan agama kita yang berharga”.
Dalam laporan polis itu, didakwa bahawa pos Facebook Encik Cheng merupakan “ancaman ke atas nyawa sesiapa saja yang menentang pembunuhan beramai-ramai berterusan”, dan perjalanan sehala ke Gaza membayangkan kematian serta-merta.
Encik Cheng berkata posnya itu dibuat sebagai respons kepada tindakan aktivis kumpulan Monday of Palestine Solidarity, dan ditujukan kepada mereka yang muncul pada MPS Encik Shanmugam pada 12 Mac.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg