Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian nafi ‘like’ catatan FB Calvin Cheng, Meta siasat kegiatan tidak dibenar di akaun menteri

Apr 2, 2025 | 6:44 PM
Setiausaha akhbar Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata  satu laporan telah difailkan dengan Meta berhubung kegiatan tidak dibenarkan itu.
Setiausaha akhbar Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata satu laporan telah difailkan dengan Meta berhubung kegiatan tidak dibenarkan itu. - Foto GOV.SG

Syarikat induk Facebook, Meta, sedang menyiasat kegiatan tidak dibenarkan di akaun Facebook Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Akaun itu didapati telah memberi tanda “like” (suka) kepada satu catatan Facebook oleh mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, yang mencadangkan agar sekumpulan aktivis dihantar ke Gaza, selagi mereka tidak kembali ke Singapura. Catatan itu dibuat pada 13 Mac.

Setiausaha akhbar menteri itu berkata pada 2 April bahawa satu laporan telah difailkan kepada Meta berhubung kegiatan tidak dibenarkan itu.

“Meta sedang menyiasat,” tambah setiausaha itu, lapor The Straits Times.

Dalam satu catatan awal pada 2 April, Dr Balakrishnan berkata beliau tidak memberi “like” pada catatan Encik Cheng itu.

Dr Balakrishnan menambah bahawa beliau tidak berkongsi pandangan yang dikemukakan Encik Cheng dan bahawa beliau telah mengambil langkah untuk “meningkatkan keselamatan akaun (FB)”.

Encik Cheng berkata dalam catatannnya pada 13 Mac itu bahawa beliau akan menaja pemindahan ahli kumpulan Monday of Palestine Solidarity ke Gaza.

“Saya menawarkan penerbangan kelas perniagaan kepada para pemimpinnya. Dan kepada 928 pengikut mereka, boleh belikan mereka beberapa pasang kasut berjalan kaki setiap seorang. Jalan perlahan-lahan,” katanya, dengan syarat mereka tidak kembali ke Singapura.

Catatannya itu menarik 1,100 reaksi hingga 2 April, dengan 770 komen.

Walaupun ia tidak lagi ditemui dalam senarai reaksi, laman Facebook rasmi Dr Balakrishnan sebelum ini memberikan “like” pada catatan itu, dibuktikan oleh satu tangkapan layar yang diletakkan di Instagram.

Encik Tan Kiat How, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), juga memberi “like” pada catatan tersebut.

Encik Tan kemudian berkata beliau berbuat demikian secara tidak sengaja, selepas Monday of Palestine Solidarity menyoal beliau mengenainya pada salah satu catatan Instagram beliau.

Beliau kemudian menarik balik tanda “like” pada catatan Facebook Encik Cheng itu.

Tangkapan layar beliau memberi respons kepada kumpulan itu dipaparkan di akaun Instagram Monday of Palestine Solidarity pada 27 Mac.

Sementara itu, Encik Cheng berkata dalam satu catatan Facebook pada 2 April bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas kenyataan berunsur fitnah yang dibuat terhadapnya.

Ini termasuk kenyataan yang dibuat oleh bekas pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Jufrie Mahmood, yang memfailkan laporan polis terhadapnya, serta setiausaha agung Parti Reformasi, Encik Kenneth Jeyaretnam, dan penerbitan dalam talian The Online Citizen.

Kenyataan-kenyataan itu menuduh Encik Cheng sebagai seorang bersikap Islamofobia, dengan laporan polis Encik Jufrie pada 28 Mac menyifatkan beliau sebagai “berbahaya kepada keharmonian kaum dan agama kita yang berharga”.

Dalam laporan polis itu, didakwa bahawa catatan Facebook Encik Cheng merupakan “ancaman ke atas nyawa sesiapa sahaja yang menentang pembunuhan beramai-ramai yang berterusan”, dan perjalanan sehala ke Gaza membayangkan kematian serta-merta.

Encik Cheng, bagaimanapun, berkata catatannya itu dibuat sebagai respons kepada tindakan aktivis kumpulan Monday of Palestine Solidarity, dan secara khusus ditujukan kepada mereka yang muncul pada MPS Encik Shanmugam pada 12 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg