Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Al-Huda lancar program pendidikan Islam percuma untuk belia kurang mampu

Sempena ulang tahun ke-100, masjid di Bukit Timah itu perkenal program Darul Arifin untuk remaja berusia 13 hingga 20 tahun
Jul 20, 2025 | 1:34 PM
Masjid Al-Huda
Terletak di Jalan Haji Alias, Bukit Timah, Masjid Al-Huda didirikan di atas tanah wakaf pada 1966. Kini, selepas satu abad kewujudannya, masjid ini mampu menampung sekitar 400 anggota jemaah. - Foto BH oleh KHALID BABA

Terselindung di celah kawasan banglo kelas baik (GCB) di Jalan Haji Alias, Bukit Timah, Masjid Al-Huda ibarat permata tersembunyi.

Masjid itu kurang dikenali ramai, khususnya dalam kalangan generasi muda dan mereka yang jarang menjejakkan kaki ke kawasan Bukit Timah.

Namun, bagi penduduk setempat dan bekas penghuni Kampung Coronation, masjid tersebut masih dikenali sebagai Masjid Kampung Coronation atau Masjid Kampong Tempeh – mercu tanda yang menjadi lambang warisan, kenangan dan kasih sayang masyarakat setempat yang telah terjalin sejak turun-temurun.

Terletak dalam kawasan kediaman eksklusif yang kebanyakan penghuninya bukan beragama Islam, Masjid Al-Huda, menggalakkan kerjasama antara agama sebagai teras pendekatan dakwah dan keterlibatan sosial.

Masjid tersebut telah menjalin hubungan silaturahim yang erat dengan gereja, kuil serta kumpulan akar umbi di sekitarnya.

Ia dilakukan bukan sahaja melalui acara silang budaya seperti Majlis Iftar Harmoni, Kongsi Raya dan Pesta Tanglung, malah menerusi inisiatif bersama yang lebih pragmatik.

Pendekatan itu termasuk perkongsian ruang letak kereta sewaktu tempoh sibuk, serta saling menyokong usaha kemasyarakatan masing-masing.

Lantaran itu, Masjid Al-Huda bukan sahaja relevan, malah penting dalam mewujudkan keharmonian dalam landskap kepelbagaian agama di kawasan itu.

Kini, dalam meniti usia seabad – di atas tanah wakaf yang didermakan oleh seorang pemberi pinjaman wang beragama Hindu – Masjid Al-Huda terus mengekalkan peranannya agar terus relevan dalam era digital.

Antara yang diusahakan adalah pelancaran Darul Arifin, sebuah inisiatif baru yang diterajui asatizah tempatan dalam menyediakan pendidikan Islam percuma kepada golongan belia daripada latar belakang kurang berkemampuan.

Semasa ditemui Berita Harian (BH) di masjid itu, Pengerusi Masjid Al-Huda, Encik Mohamad Idris Mohd Khair, 52 tahun, berkata: 

“Kerjasama antara agama lain penting kerana ia menjadikan kami sebahagian daripada landskap masyarakat setempat, lebih-lebih lagi ia berjauhan dari kawasan yang lebih ramai masyarakat Melayu/Islam.

“Tidak seperti masjid lain yang terletak di kawasan tengah atau berhampiran stesen MRT, capaian Masjid Al-Huda tidak boleh bergantung kepada trafik pejalan kaki atau penglihatan semata-mata.

“Justeru, pendekatan lebih proaktif dalam mendekati masyarakat sekitar perlu diambil.”

Pengerusi Masjid Al-Huda, Encik Mohamad Idris Mohd Khair, 52 tahun, telah berkhidmat di Masjid Al-Huda sejak 2008 dan menyandang jawatan selaku pengerusi sejak 2021. 
Pengerusi Masjid Al-Huda, Encik Mohamad Idris Mohd Khair, 52 tahun, telah berkhidmat di Masjid Al-Huda sejak 2008 dan menyandang jawatan selaku pengerusi sejak 2021.  - Foto BH oleh KHALID BABA

Antara bentuk kerjasama silang agama yang diusahakan saban tahun termasuk majlis iftar anjuran bersama Harmony Circle, yang turut dihadiri oleh wakil kuil Hindu, kuil Cina, gereja serta pemimpin akar umbi dari Ulu Pandan.

Acara seperti Kongsi Raya dan Pesta Tanglung turut dianjurkan, dan pihak masjid menyediakan stesen air minuman untuk pengunjung perayaan.

Masjid Al-Huda turut berkongsi tempat letak kereta dengan rumah ibadah yang berjiran ketika waktu sibuk, yang Encik Mohamad Idris sifatkan sebagai satu usaha kecil tetapi ikhlas.

Masjid Al-Huda turut diperbaharui seiring arus kemodenan, agar kekal relevan dan dekat di hati pelbagai lapisan masyarakat.

“Kami antara masjid yang terawal memasang alat hawa dingin.

“Keselesaan itu penting – ia sebahagian daripada adab kita terhadap jemaah,” ujar Encik Mohamad Idris yang telah berkhidmat di Masjid Al-Huda sejak 2008 dan menyandang jawatan selaku pengerusi sejak 2021.

Beliau, yang juga bekas penduduk Kampung Coronation, telah menyaksikan sendiri perubahan masjid itu daripada struktur kayu kepada konkrit seperti yang ada hari ini.

Sempena ulang tahun ke-100, Masjid Al-Huda melancarkan Darul Arifin pada 12 Julai.

Program pendidikan Islam percuma untuk belia berusia 13 hingga 20 tahun itu dikhususkan untuk kalangan yang memerlukan.

Dibiayai melalui sumbangan masyarakat, ia mencerminkan iltizam masjid terhadap jangkauan rohani dan sosial.

“Darul Arifin diwujudkan untuk menyediakan program pendidikan Islam yang lebih tersusun, dan kami mahu merapatkan jurang untuk belia yang mungkin tidak mempunyai akses kepada kelas agama.

“Ia juga boleh dijadikan satu detik sejarah dengan sumbangan yang bermakna.

“Pelancaran ini menjadi lambang sumbangan masjid kepada masyarakat, bukan sekadar dalam bentuk fizikal bahkan dalam pembinaan insan dan jiwa.

“Ia merupakan hadiah ulang tahun yang akan terus memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat,” kata Encik Idris.

Di samping itu, usaha tersebut diharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk asatizah tempatan.

Pihak pengerusi masjid berharap generasi muda akan mengenali masjid itu, bukan secara kebetulan, tetapi dengan kesedaran dan pilihan sendiri.

“Saya berharap lebih ramai akan mengetahui di mana letaknya masjid ini dan hadir untuk rasai sendiri suasana ibadah atau mengikuti kelas-kelas yang kami anjurkan.

“Jadikanlah Masjid Al-Huda salah sebuah masjid dalam senarai anda. Tak kenal, maka tak cinta,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg