Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Alkaff Kampung Melayu sedia ruang solat sementara ketika masjid dinaik taraf

Ruang sementara sebelah masjid hanya diguna bagi solat Jumaat; dewan solat utama kekal dibuka bagi solat Jumaat dan solat fardu
Dec 18, 2025 | 6:42 PM
Masjid Alkaff Kampung Melayu, ruang solat sementara, Faishal
Ruang solat sementara telah disediakan di sebelah Masjid Alkaff Kampung Melayu bagi memastikan keselesaan jemaah ketika menunaikan solat Jumaat sepanjang tempoh masjid tersebut dinaik taraf. - Foto FACEBOOK / ASSOC PROF MUHAMMAD FAISHAL IBRAHIM

Sebuah ruang solat sementara telah disediakan di sebelah Masjid Alkaff Kampung Melayu dengan semua persediaan telah dilaksanakan bagi memastikan keselesaan jemaah ketika menunaikan solat sepanjang tempoh proses naik taraf masjid tersebut.

Demikian kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam catatan Facebook pada 18 Disember.

Beliau berkata ruang tersebut kini sudah beroperasi dan akan hanya digunakan bagi solat Jumaat, manakala dewan solat utama kekal dibuka untuk sesi solat Jumaat dan solat fardu harian.

“Alhamdulillah, sebuah tapak sementara yang sesuai telah diperolehi bersebelahan masjid, dan kakitangan masjid telah membuat persiapan bagi memastikan suasana yang selesa untuk jemaah melakukan ibadah solat, sepanjang tempoh peningkatan.

“Ruang tersebut kini beroperasi dan akan digunakan untuk sesi solat Jumaat, sementara dewan solat utama kekal dibuka sepanjang masa untuk solat Jumaat dan solat fardu.

“Jika jadual anda mengizinkan, anda digalakkan sertai sesi kedua solat Jumaat untuk suasana yang lebih selesa,” tambah beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Dr Faishal turut merakamkan penghargaan kepada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) atas sokongan agensi itu dalam penggunaan tanah yang dikhaskan bagi ruang solat sementara itu.

Masjid yang terletak di Bedok Reservoir Road itu kini sedang melalui kerja-kerja naik taraf di bawah Program Naik Taraf Masjid (MUP) sejak April 2025 dan dijangka selesai menjelang 2027 melalui dua fasa.

Kerja peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu, yang dibina pada 1995 melalui Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), dianggarkan menelan belanja sekitar $15 juta dan sehingga November, ia masih memerlukan dana sekitar $7 juta lagi.

Menurut kenyataan Muis pada 25 Julai, antara ciri terbaru masjid itu adalah ia mampu menampung sehingga 3,200 anggota jemaah, berbanding 3,000 orang sekarang ini.

Ciri terbaru masjid itu akan memberi tumpuan kepada kemudahan akses dan memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada.

Sementara itu, aktiviti Masjid Alkaff Kampung Melayu terus berjalan dengan beberapa langkah diambil demi memastikan keselamatan, kelancaran ibadah dan pembelajaran.

Dalam laporan Berita Harian pada Mei lalu, Eksekutif Pemasaran dan Perhubungan Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah Nursakina Khalida Osman, berkata antara pengubahsuaian yang dilakukan termasuk pengalihan laluan ke dewan solat utama ke sebelah kiri masjid.

Beliau menambah sungguhpun ruang semakin terhad, aktiviti harian seperti solat berjemaah, kuliah dan kelas agama tetap diteruskan seperti biasa dengan beberapa penyesuaian lokasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg