Masjid Darul Makmur bakal dibuka semula bagi kunjungan jemaah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 7 Jun.
Mengumumkan demikian dalam satu hantaran di Facebook pada 4 Jun, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), turut berkata masjid tersebut akan menyediakan dua sesi solat Hari Raya Aidiladha pada 7.20 pagi dan 9.15 pagi.
Pada masa yang sama, orang ramai masih boleh menggunakan tapak sementara Masjid Darul Makmur di Blok 530, Yishun Ring Road, yang akan digunakan buat kali terakhir pada 7.20 pagi dan 8.15 pagi, sempena solat Aidiladha 2025.
Masjid yang terletak di Yishun Avenue 2 itu ditutup sejak 24 April 2023 bagi kerja-kerja naik taraf besar-besaran.
Sebelum ini, bangunan Masjid Darul Makmur mampu menampung sekitar 2,600 anggota jemaah pada setiap waktu solat.
Namun, apabila projek penambahbaikan siap sepenuhnya, kapasiti ruang solat akan meningkat kepada lebih 4,600 anggota jemaah.
Ini merupakan antara tumpuan utama dalam projek peningkatan tersebut, selain mempertingkat kemudahan seperti lif, penyediaan ruang masjid dan bilik pengajian yang lebih selesa serta laluan mesra warga emas.
Bagi menyokong keperluan pendidikan Islam, bilik-bilik darjah untuk program madrasah aLIVE di Masjid Darul Makmur juga akan ditambah daripada tujuh kepada 11.
Kini, lebih 1,000 pelajar mengikuti program madrasah aLIVE secara sambilan di masjid itu.
Apabila ia dibuka, masjid tersebut akan turut memberi tumpuan kepada program melibatkan warga emas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg